Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pengorbanan pasangan hingga akhir hayat anak bongsu

Aug 14, 2018 | 05:30 AM



KELELAHAN dek tidak cukup rehat bagi menjaga anak istimewa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK, dapat dikesan pada wajah suami isteri, Encik Mohd Jazlan Hamzah dan Cik Siti Zubaidah Mohd Daud.



Mereka menggagahkan diri demi memastikan puteri bongsu mereka, Armel Nadia, dua tahun, yang lahir dengan Sindrom Down dan mengalami penyakit paru-paru kronik mendapat rawatan terbaik bagi meneruskan hayatnya.



Namun, tengah hari Sabtu lalu, selepas bertarung dengan penyakit yang semakin kronik dek serangan virus adenovirus dan rhinovirus yang mengganas, si kecil menghembuskan nafas terakhirnya.



Dia pergi sehari selepas Berita Harian menemuinya di ICU, Jumaat lalu.



Kesulitan penyakitnya datang bertimpa-timpa sepanjang dua minggu dirawat di hospital.



Selain tidak sedarkan diri, ginjalnya mula tidak berfungsi dan pendarahan pada otak Armel turut dikesan.



Sekitar Jun tahun lalu, Encik Mohd Jazlan, 33 tahun, mengorbankan pekerjaannya sebagai jurutera kemudahan untuk memandu kereta Grab bagi meraih waktu lebih fleksibel bersama Armel.



Sejak keadaan Armel bertambah membimbangkan dan dia sering keluar masuk hospital, Cik Siti Zubaidah, 35 tahun, pengurus butik The Body Shop pula mengambil cuti tanpa gaji, lewat bulan lalu.



Apabila cuti tahunan sudah habis digunakan bagi keperluan menjaga anak sakit, kededuanya enggan menyusahkan majikan dan pekerja lain lantas mengambil langkah tersebut agar tidak menyulitkan keadaan.



"Walaupun majikan saya memahami, kekerapan kami ke hospital membuatkan saya rasa lebih baik berhenti kerja dan memandu Grab.



"Saya pernah memandu 15 jam tanpa henti kerana ingin kumpul seberapa banyak pendapatan dek risaukan biaya rawatan Armel yang semakin meningkat.



"Kerana tak makan dan minum, saya pitam dan nyaris pengsan di masjid. Akhirnya masuk ICU, Hospital Ng Teng Fong. Doktor kesan ada pendarahan jantung," kata Encik Mohd Jazlan.



Cik Siti Zubaidah menambah: "Walau kami menderita sakit, lebih merintih jiwa ini lihat Armel dalam kesakitan."



Laporan lanjut: Gagahi cabaran, ujian jaga anak istimewa




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >