Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Perancangan AKHIR HAYAT

Penjagaan paliatif bertujuan kurangkan penderitaan, tingkatkan mutu pesakit terminal

Pakar penjagaan paliatif, perancang estet rancang bincang topik, termasuk aspek penjagaan kesihatan
Oct 25, 2022 | 07:11 AM



Mati itu pasti, tetapi ramai mungkin tidak bersedia membincangkan tentang perancangan akhir hayat, termasuk dalam aspek penjagaan kesihatan. Penjagaan paliatif bertujuan mengurangkan penderitaan dan meningkatkan mutu kehidupan mereka yang menghadapi penyakit berat dan terminal. Sedang pemerintah kini berusaha meningkatkan kapasiti penjagaan paliatif, BERITA HARIAN mengupas kesedaran masyarakat Melayu/Islam mengenai perancangan penghujung hayat. SUDAH lama Encik Ahmad, 86 tahun, hidup membujang dan tinggal berdikari di rumahnya, yang terletak di blok sama dengan rumah sepupunya.



Beliau mempunyai hubungan rapat dengan keluarga sepupunya itu, dan menganggap cucu saudaranya seperti anak kandungnya sendiri.



Beliau juga sering ke flat sepupunya untuk makan bersama mereka.



Namun, Encik Ahmad, mula kehilangan keupayaan untuk tinggal di rumah sendiri apabila beliau menghidap penyakit terminal yang tidak ada harapan untuk sembuh.



Keluarga sepupunya mula menghantar makanan ke rumahnya dua kali sehari.



Apabila keluarga itu tidak lagi mampu untuk memastikan keselamatan Encik Ahmad di rumahnya, warga emas itu kemudian dimasukkan ke Hospital Masyarakat Outram (OCH) pada Julai lalu untuk menerima penjagaan hospis.



Meskipun Encik Ahmad sebenarnya mahu melalui sisa-sisa kehidupannya di rumah bersama keluarga, beliau dan keluarganya sedar ia mungkin menjejas keselamatan dan penjagaannya.



Justeru, mereka bekerjasama dengan pasukan penjagaan di hospital itu untuk memenuhi permintaannya dengan cara lain - dengan membolehkan keluarganya menghabiskan masa dengannya di OCH hingga akhir hayatnya.



Pekerja sosial perubatan di OCH, Cik Sandy Koh, berkata ramai pesakit paliatif seperti Encik Ahmad yang ingin menghabiskan hari-hari terakhir mereka di rumah, dan mahu permintaan akhir mereka dipenuhi.



Namun, memandangkan Encik Ahmad memerlukan bantuan untuk kegiatan hariannya, keadaan tidak selamat bagi beliau untuk tinggal sendirian di rumah kecuali beliau mempunyai penjaga terlatih yang bersamanya.



"Walaupun ada permintaan yang tidak dapat dipenuhi, kehadiran keluarga untuk meluangkan masa bersama pesakit juga cukup berharga.



"Kami sering menggalakkan penjaga untuk hadir bersama orang kesayangan mereka di wad jika keputusan telah dibuat bagi pesakit itu untuk menghabiskan masa terakhir mereka dalam suasana penjagaan pesakit dalam," ujar Cik Koh.



Penjagaan paliatif, seperti yang diterima Encik Ahmad, bertujuan mengurangkan penderitaan dan meningkatkan mutu kehidupan individu yang menghadapi penyakit berat dan terminal.



Semasa menjalani penjagaan paliatif, Encik Ahmad menerima penjagaan dan penyeliaan jururawat selamat 24 jam, kata Cik Koh.



Dalam seminar kerja tahunannya pada Jun lalu, Kementerian Kesihatan (MOH) membentangkan usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan paliatif, serta meningkatkan kapasiti serta sokongan untuk penjaga di rumah.



Berucap di acara itu, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata 61 peratus orang masih menghabiskan hari-hari terakhir di katil hospital.



Singapura berharap untuk mengurangkan angka itu kepada 51 peratus dalam masa lima tahun dengan meningkatkan sokongan bagi penjagaan paliatif.



Ini bertujuan untuk membolehkan individu meniti hari-hari terakhir mereka dengan baik, dan mengurangkan tekanan kepada penjaga mereka.



Encik Ong juga telah menyebut satu tinjauan Yayasan Lien yang mendapati sekitar 77 peratus warga Singapura ingin menghembuskan nafas terakhir di rumah, tetapi hanya 26 peratus yang berbuat demikian.



Ini kerana ada anggota keluarga yang tidak sedar mengenai penjagaan paliatif dan mungkin tidak bersedia untuk menerimanya.



Sokongan bagi penjagaan paliatif juga bertujuan untuk mengurangkan kos hospital, sedang 50 peratus daripada kos hospital yang dialami sepanjang hayat biasanya terdiri daripada kos dalam tiga bulan terakhir kehidupan seseorang.



Cik Koh berkata penjagaan paliatif di Singapura disediakan pelbagai cara - menerusi perkhidmatan di rumah, hospis pesakit dalam, penjagaan harian hospis, hospital besar dan hospital masyarakat, serta di beberapa rumah warga tua.



Pasukan di OCH - yang merupakan sebahagian daripada Hospital Masyarakat SingHealth - bekerjasama dengan rakan masyarakat untuk membantu pesakit beralih ke tempat yang sesuai, bergantung pada keperluan penjagaan pesakit dan penjaga mereka.



"Golongan penjaga juga boleh bekerjasama dengan pasukan penjagaan paliatif untuk memenuhi keperluan pesakit sambil terlibat secara aktif dalam pemberian penjagaan dan keputusan melibatkan orang tersayang mereka.



"Selain itu, penjaga boleh mengenal pasti keperluan lain yang boleh dipenuhi dengan mudah untuk memastikan pesakit itu akan mendapat pengakhiran yang baik," ujar Cik Koh.




MEWUJUDKAN PENGAKHIRAN YANG BAIK BAGI PESAKIT



"Golongan penjaga juga boleh bekerjasama dengan pasukan penjagaan paliatif untuk memenuhi keperluan pesakit sambil terlibat secara aktif dalam pemberian penjagaan dan keputusan melibatkan orang tersayang mereka.

Selain itu, penjaga boleh mengenal pasti keperluan lain yang boleh dipenuhi dengan mudah untuk memastikan pesakit itu akan mendapat pengakhiran yang baik."

- Cik Sandy Koh, pekerja sosial perubatan di Hospital Masyarakat Outram (OCH).




"Walaupun ada permintaan yang tidak dapat dipenuhi, kehadiran keluarga untuk meluangkan masa bersama pesakit juga cukup berharga.

Kami sering menggalakkan penjaga untuk hadir bersama orang kesayangan mereka di wad jika keputusan telah dibuat bagi pesakit itu untuk menghabiskan masa terakhir mereka dalam suasana penjagaan pesakit dalam."

- Cik Sandy Koh.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >