Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Penjara seminggu buat bekas pegawai Certis kerana langgar Akta Rahsia Rasmi dengan kongsi pelan penguatkuasaan PMD

Jun 30, 2022 | 03:42 PM



TUGAS Syarifah Nur Nabilah Syed Omar sebelum ini adalah menangkap pengguna peralatan mobiliti peribadi (PMD) yang melakukan kesalahan.



Namun, apabila dia menjadi pengirim makanan, dia bertukar-tukar maklumat pula dengan pengirim lain agar dapat mengelakkan kawasan di mana pegawai penguatkuasaan biasanya dikerahkan.



Memandangkan Syarifah masih jadi sebahagian daripada kumpulan sembang pegawai penguatkuasaan, tugas yang pernah digalas sebelum ini, dia menerima maklumat mengenai operasi yang bakal diadakan.



Tangkap layar operasi itu kemudian diberikan kepada Afendi Mohamed Rashid. 



Wanita 24 tahun ini telah dihukum penjara seminggu pada Khamis (30 Jun) selepas mengaku bersalah berkomunikasi secara tidak wajar di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).



Afendi, 36 tahun, yang juga mengaku bersalah mengirim tangkap layar maklumat berkenaan kepada orang lain turut diberi hukuman serupa.



Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Seah Ee Wei memberitahu mahkamah pada Khamis (30 Jun) bahawa Syarifah adalah pegawai bantuan atau auksilari bersama Certis mulai Disember 2020 hingga 20 Mei tahun lalu. 



Dia dikerahkan sebagai pegawai penguatkuasaan mobiliti aktif Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), tugas yang telah diserahkan kepada Certis oleh badan berkanun itu.



Pegawai sebegini akan meronda jalanan pejalan kaki dalam berpasukan bagi mengesan pengguna PMD yang membuat kesalahan dengan mengubahsuai alat mereka, melanggar had kelajuan atau melanggar keselamatan jalan raya.



Kakitangan LTA akan merancang kawasan di mana setiap pasukan akan meronda dengan pemimpin pasukan akan siapkan pelan kerahan meliputi butiran di mana pegawai ini akan dikerahkan serta jumlah rondaan yang diperlukan.



Butiran ini berubah dari hari ke hari dengan maklumatnya tidak didedahkan kepada orang awam.



Ketika bersama Cisco, ketua Syarifah, Muhammad Khairee Salehan akan memberikan pelan kerahan kepada kumpulan sembang di WhatsApp yang terdiri daripada pegawai dalam pasukannya.



Selepas berhenti daripada Certis, Syarifah tidak meninggalkan kumpulan sembang itu. Dia juga tidak dikeluarkan daripadanya meskipun tidak sewajarnya menerima pelan tersebut.



Dari 21 hingga 31 Mei tahun lalu, sembilan pelan kerahan dikirimkan dan diterima Syarifah, sesuatu yang melanggar undang-undang OSA.



Pada 1 Jun tahun lalu, sekitar 10.30 pagi, Encik Khairee mengirimkan pelan kerahan itu kepada kumpulan sembang tersebut dengan Syarifah mengambil tangkap layar pelan itu dan mengirimkannya kepada Afendi sekitar 10.45 pagi menerusi pesanan Facebook Messenger.



Kata DPP Seah: "Syarifah melakukan demikian kerana Afendi dan dirinya akan bertukar-tukar maklumat mengenai usaha penguatkuasaan itu agar mereka tahu tempat mana untuk dielakkan ketika menaiki PMD. Dia ingin memberi amaran kepada Afendi."



Walaupun mengetahui maklumat itu mengandungi butiran rahsia, Afendi mengirimkannya kepada kumpulan sembang WhatsApp awam One Heart  A_B_S dengan 211 anggota dengan pesanan "Jangan kata saya tak payung ah. Hari ini kerahan GM (Green Men, merujuk pada jaket hijau mereka)".



Anggota kumpulan ini kemudian mengirimkan maklumat itu kepada sekurang-kurangnya tiga lagi kumpulan sembang WhatsApp untuk penunggang PMD.



Syarifah telah melenyapkan tangkap layar itu dan pesanannya kepada Afendi sekitar 1 hingga 2 Jun tahun lalu. Dia kemudian mengaku dia berbuat demikian kerana takut polis akan menjejak mereka.



Selepas 1 Jun tahun lalu, Afendi pula membuang kandungan sembangnya bersama Syarifah dan One_Heart_ABS, serta tangkap layar yang Syarifah kongsi bersamanya.



Pada hari yang sama, pegawai LTA melaporkan perkara itu kepada polis dengan menyatakan salah seorang daripada pegawainya telah ternampak pelan jadual kerahan harian mobiliti aktif LTA bocor di dalam satu sembang WhatsApp pengguna e-skuter.



Pada 2 Jun tahun lalu, pegawai polis menghubungi Afendi tetapi dia enggan menghadiri satu sesi soal jawab dan kemudian memblok sahaja nombor pegawai itu apabila menerima satu lagi pesanan WhatsApp daripadanya.



Seorang lagi pegawai polis menghubungi Afendi pada hari yang sama tetapi dia meletakkan telefonnya apabila diminta ke balai polis.



Afendi kemudian diberkas pada Disember tahun lalu.



Di mahkamah pada Khamis, DPP Seah meminta hukuman satu hingga dua minggu bagi setiap pesalah.



Syarifah diwakili Encik Azri Imran Tan daripada IRB Law manakala Afendi tidak mempunyai peguam.



Encik Tan meminta agar anak guamnya diberi hukuman lebih ringan daripada Afendi.



Dalam rayuan bertulisnya, beliau menjelaskan:



"Sebagai pengirim makanan GrabFood, apa jua denda atau tindakan penguatkuasaan LTA akan menjejas pendapatan dan/atau keupayaan mereka untuk bekerja dalam bidang pengiriman makanan dan anak guam saya berbuat demikian kerana dia mahu membantu menjaga periuk nasi Afendi.



"Dia berkongsi maklumat dengan Afendi hanya kerana Afendi dapat mengelakkan daripada pegawai penguatkuasa ini. Dia menyesali perbuatannya dan akur dia seharusnya meninggalkan sesi sembang LTA itu walaupun dia tidak dikeluarkan daripada kumpulan itu."



Afendi merayu agar dirinya diberi hukuman lebih ringan sambil menyatakan isterinya mengalami serangan keresahan dan dia merupakan satu-satunya penyara hidup keluarga.



 



Mereka yang didapati bersalah menyampaikan maklumat secara tidak wajar di bawah OSA boleh dipenjara hingga dua tahun dan didenda hingga $2,000.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >