Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Penjualan tapak tanah dekat Marina South bagi pembangunan perumahan, komersial

Dec 06, 2022 | 05:30 AM



SEBUAH tapak tanah bagi pembangunan perumahan bercampur dengan komersial di Marina South telah dilancarkan untuk dijual menerusi tender awam semalam, menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA).



Tapak tersebut, yang terletak di Marina Gardens Lane, merupakan tapak pertama di bawah program Penjualan Tanah Pemerintah (GLS) di Marina South yang dilancarkan untuk dijual menerusi tender.



Ini juga menandakan langkah pertama dalam usaha membangunkan kejiranan baru itu.



Tapak seluas 12,000 meter persegi yang terletak dekat Gardens by the Bay itu boleh menghasilkan sekitar 790 unit perumahan, menurut URA.



Pembangunan pegangan pajak 99 tahun itu, yang mempunyai keluasan lantai kasar (GFA) sebesar 68,573 meter persegi akan mempunyai ruang komersial di tingkat satu.



Sementara itu, bangunannya pula boleh dibina hingga setinggi 163 meter.



Dengan lokasinya yang menarik, penganalisis juga menjangkakan tender itu akan menarik minat ramai pemaju hartanah namun menarik perhatian bahawa saiz tapak itu mungkin mendorong sesetengah pemaju mengambil pendekatan lihat dan tunggu.



Tapak di Marina South dekat CBD, tawar sekitaran hijau yang luas



Tapak di Marina South itu diumumkan Jun lalu sebagai antara enam tapak yang disahkan di bawah program GLS bagi separuh kedua tahun ini.



Ia merupakan sebahagian daripada daerah seluas 45 hektar, dengan pemandangan Kolam Air Marina dan Selat Singapura.



Ia juga akan merangkumi gabungan ruang runcit, pejabat, hotel dan perumahan.



Tapak tersebut boleh menghasilkan lebih 10,000 rumah secara keseluruhan, dengan penduduk boleh menikmati kemudahan rangkaian rel bawah tanah yang menghubungkan stesen MRT Marina South dan Gardens by the Bay di Laluan Thomson-East Coast (TEL).



Daerah itu dibayangkan menjadi sebuah kawasan berdaya tahan dengan kurang penggunaan kereta dan jalan raya mesra pejalan kaki serta rangkaian berbasikal, kata URA.



Malah, pembangunan di kawasan itu perlu mendapatkan pensijilan Tenaga Amat Rendah Tanda Hijau Platinum Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA).



"Untuk membina kejiranan perumahan yang bersemangat, pemerintah sedang mengkaji pelbagai pilihan perumahan yang boleh diperkenal untuk merealisasikan visi perancangan jangka panjang bagi daerah ini," ujar URA.



Pengarah kanan jabatan penyelidikan Huttons Asia, Encik Lee Sze Teck, berkata tapak di Marina Gardens Lane itu merupakan yang paling menarik di bawah program GLS bagi separuh kedua tahun ini.



Oleh kerana ini merupakan tapak pertama di daerah Marina South yang ditawarkan untuk dijual, kedua-dua pemaju dan pembeli akan mempunyai kelebihan penggerak pertama, ujarnya.



"Pemilik rumah yang turut tinggal di rumah tersebut akan meraih manfaat daripada lokasi mereka yang dekat dengan kawasan pusat perniagaan (CBD) dan menikmati kehijauan yang meluas di Gardens by the Bay, manakala pelabur pula boleh meraih manfaat daripada jumlah penyewa yang ramai di CBD," katanya.



Bagaimanapun, sebuah pembangunan yang berdekatan di Marina View, yang dijual di bawah program GLS pada September tahun lalu, mungkin akan menjadi pesaing bagi tapak di Marina Gardens Lane itu, menurut ketua penyelidikan dan perundingan ERA Realty, Encik Nicholas Mak.



Encik Mak berkata saiz besar projek perumahan ini akan menarik pemaju besar dan konsortium pemaju serta dana hartanah.



Namun, beliau berkata jumlah besar unit yang akan dibangunkan dan dijual dalam tempoh lima tahun dari tarikh tanah itu diperoleh juga akan menambah risiko pembangunan projek tersebut.



"Oleh kerana terdapat empat tapak serupa dekat Gardens by the Bay yang akan dilancarkan untuk dijual kemudian, sesetengah pemaju mungkin akan melihat hasil tender ini sebelum bertindak.



"Oleh itu, tender ini mungkin akan menarik dua hingga lima bidaan daripada pemaju," ujarnya sambil menambah, bidaan paling tinggi boleh mencapai $1,360 hingga $1,490 bagi setiap kaki persegi setiap nisbah plot (psf ppr).



Encik Lee pula menjangkakan lima bidaan bagi tapak tanah itu, dengan bidaan tertinggi boleh mencapai antara $1,250 dengan $1,350 psf ppr.



Namun, ketua penyelidikan dan kandungan PropNex Realty, Cik Wong Siew Ying, pula menjangkakan bidaan tertinggi bagi tapak tanah di Marina South itu akan mencapai tahap lebih tinggi, antara $1,500 dengan $1,650 psf ppr, dengan menarik tiga hingga empat bidaan.



"Walaupun menginginkan tanah, kami menjangkakan pemaju akan bertindak dengan berhati-hati, dengan kos pinjaman dan binaan yang tinggi serta bekalan rumah baru di CBD pada masa akan datang," ujarnya.




"Pemilik rumah yang turut tinggal di rumah tersebut akan meraih manfaat daripada lokasi mereka yang dekat dengan kawasan pusat perniagaan (CBD) dan menikmati kehijauan yang meluas di Gardens by the Bay, manakala pelabur pula boleh meraih manfaat daripada jumlah penyewa yang ramai di CBD."



- Encik Lee Sze Teck, Pengarah Kanan jabatan penyelidikan di Huttons Asia. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >