Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

WAWANCARA BERSAMA…

Penuhi janji pada abah, Crave Nasi Lemak kini jenama popular di S’pura

Aug 07, 2023 | 05:30 AM



Sebut sahaja nasi lemak, pasti ramai yang akan setuju bahawa ia satu hidangan yang tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan sejak zaman kanak-kanak lagi.

Nasinya dengan aroma harum santan, dan ayam atau ikan yang rangup serta sambalnya yang pedas bercampur manis sedikit, mampu membuka selera makan sesiapa sahaja.

Bahkan, nasi lemak begitu digemari rakyat Singapura sehinggakan ramai yang dengan penuh semangat dan bangga menyatakan ‘nasi lemak Singapura lagi sedap’ dalam perbahasan negara manakah yang mempunyai nasi lemak terbaik.

Rasa cinta pada nasi lemak itulah antara faktor utama yang mendorong Encik Abdul Malik Hassan mengembangkan perniagaan gerai nasi lemak bapanya di Adam Road sehingga ia mempunyai rangkaian jenama Crave Nasi Lemak dengan 43 kedai serata negara hari ini.

“Nasi lemak ini, jika dibandingkan dengan makanan lain, adalah satu hidangan yang boleh dinikmati pada bila-bila masa – sama ada sarapan, sebelum makan tengah hari, waktu tengah hari, waktu minum teh, atau makan malam.

“Harga sebungkus atau sekotak nasi lemak juga tidak terlalu mahal dan boleh dimampui segenap lapisan masyarakat. Nasi lemak... ada nasi, ada ayam atau ikan, ada telur, sambal dan kacang. Jadi, nasi lemak ini makanan yang dapat satukan semua orang,” kata pengasas bersama Crave Nasi Lemak itu yang berusia 51 tahun.

PEGANG TEGUH PADA JANJI KEPADA ABAH

Pada 1998, Allahyarham Haji Hassan Abdul Kadir – bapa Encik Malik – menerajui niaga Selera Rasa Nasi Lemak di Pusat Makanan Adam Road yang sehingga hari ini terkenal dalam kalangan warga Singapura dan pelanggan luar negara.

Namun, sedang adik-beradiknya yang lain mula terlibat dalam niaga gerai tersebut, Allahyarham Haji Hassan meminta Encik Malik agar mula memikirkan tentang usaha mengembangkan jenama nasi lemak mereka.

“Saya berjanji dengan abah untuk kembangkan niaga agar nasi lemak kita terus dikenali di Singapura dan juga luar negara. Ini supaya melalui pendapatan yang diraih itu, saya dapat terus menjaga keluarga. Tetapi sejujurnya, pada masa itu, saya sebenarnya tak tahu apa nak buat.

“Namun, selepas abah meninggal dunia pada 2011, saya mula fikirkan perkara itu dengan serius,” kata anak sulung lima beradik itu.

Aspirasi mengembangkan jenama nasi lemak itu pada awalnya bermula di Sydney, Australia, kongsi Encik Malik.

Pada ketika itu, beliau sudah pun menemui rumah di sana dan berjumpa dengan peguam bagi mendapatkan visa perniagaan, namun pada detik terakhir, hasrat itu dibatalkan selepas ibunya meminta beliau pulang ke Singapura.

“Saya sepatutnya tandatangani semua dokumen pada keesokan hari. Tetapi apabila saya hubungi mak pada malam itu dan beritahunya saya perlu tinggal di Australia selama dua tahun selepas semua dah ditandatangani, mak saya mula menangis.

“Bagi saya, apabila hendak lakukan sesuatu itu perlu ada restu dan izin orang tua. Sebelum ini, mak saya katakan okay tetapi apabila saya tanya beliau sekali lagi sama ada beliau beri restu dan keizinan, beliau katakan ‘tidak’,” kongsi Encik Malik.

Walaupun rancangan terputus di tengah jalan, harapan kembali cerah apabila Encik Malik pulang ke Singapura.

Seorang pelanggan tetapnya, yang kini menjadi rakan kongsi niaganya, bertemu beliau dan mengusulkan gagasan mengembangkan perniagaan nasi lemak di Singapura dahulu.

“Idea beliau adalah untuk perluaskan perniagaan di Singapura dahulu supaya ia menjadi jenama popular yang dikenali semua,” kata beliau yang telah berumah tangga dengan Cik Shireen Ikhsan, 46 tahun, dan dikurniakan empat anak berusia antara 15 dengan 24 tahun.

Isterinya itu membantu dalam pengurusan pentadbiran perniagaannya.

Menurut Encik Malik, kini terbukti usaha kerjasama dengan rakan kongsi niaganya itu merupakan keputusan terbaik yang membuahkan hasil tidak dijangka – nama Crave, yang diasaskan pada 2015, hari ini sinonim dengan nasi lemak di Singapura.

JATUH BANGUN PERNIAGAAN

Bagaimanapun, perjalanan membina nama Crave Nasi Lemak penuh rintangan.

Encik Malik langsung tidak mengambil sesen pun daripada hasil niaga di gerai Adam Road dan menjual kereta Volvo miliknya untuk mendapatkan modal $50,000.

Kedai Crave Nasi Lemak yang pertama dibuka di pusat beli-belah Hougang Mall, dan Encik Malik sendiri mengendalikan apa jua yang melibatkan masakan.

Ia termasuk mengisar 30 kilogram bawang dengan menggunakan alat pengisar biasa di rumahnya.

Bawang itu kemudian disimpan di peti ais sebelum dibawa ke gerai Selera Rasa Nasi Lemak di Ang Mo Kio untuk memasak dua periuk sambal. Sambal itu kemudian beliau hantar ke kedai Crave di Hougang Mall.

Perniagaan di Hougang Mall pada bulan pertama mendapat sambutan memberangsangkan, namun penjualan merosot mulai bulan kedua.

“Jadi, kita tak nampak keuntungan selama 10 bulan, sampaikan saya tak dapat bayar duit rumah untuk tiga bulan. Isteri saya menjual semua beg mewahnya untuk membantu saya.

“Saya pun beritahu rakan kongsi niaga saya kalau sampai bulan ke-11 kita tak dapat untung, saya mungkin perlu mula pandu Grab atau teksi untuk tampung kos hidup,” kata Encik Malik.

Namun, “dengan kuasa Allah swt”, keadaan berubah apabila mereka membuka cawangan di pusat beli-belah ION Orchard dan Waterway Point di Punggol, dengan dua kedai itu melihat pelanggan beratur panjang.


Kesan positif itu turut dapat disaksikan di kedai-kedai kendaliannya yang lain.

Orang ramai mula mengenali jenama Crave.

“Kita tak tahu apa yang berlaku tetapi alhamdulillah, pada bulan ke-11 itu barulah kita dapat cek yang pertama,” singkap beliau.

Dalam masa setahun, Crave Nasi Lemak membuka 15 kedai serata negara dan Encik Malik juga melabur dalam dapur pusat untuk mempertingkatkan operasi menyediakan bahan-bahan dan makanan selain membangunkan prosedur operasi standard (SOP) dan latihan untuk kakitangan.

Pada 2019, Encik Malik berkata mereka sudah bersedia memasuki pasaran Malaysia dengan sasaran membuka kedai Crave di tiga lokasi di Kuala Lumpur, namun malangnya, pandemik Covid-19 melanda dan rancangan mereka terpaksa ditarik balik.

Bahkan, selepas pandemik, lima kedai Crave di Singapura perlu ditutup disebabkan kos sewa yang melonjak tinggi atau jumlah pelanggan yang menjunam.

Di tengah-tengah Covid-19, Encik Malik melanjutkan pengajiannya dengan mengikuti program kedoktoran dalam pengajian perniagaan dari Universiti Kutztown Pennsylvania secara dalam talian.

Memanfaatkan ilmu yang ditimba itu, beliau kemudiannya mengorak langkah mengatur strategi untuk membawa jenama Crave ke tahap lebih tinggi.

BANTU PENIAGA LAIN

Dengan kejayaan dan pengalaman luasnya dalam industri makanan dan minuman (F&B) itu, Encik Malik tidak lokek berkongsi ilmu demi membantu peniaga F&B lain untuk sama-sama maju dan membawa jenama mereka ke tahap lebih tinggi.

Antara projek beliau ialah Kaaakis – seakan pusat makanan kecil yang menampilkan pelbagai jenama seperti Padang Grill by Rumah Makan Minang di Kandahar Street.

Bezanya, peniaga di pusat makanan itu tidak perlu membayar sewa dan mereka mendapat bimbingan daripada Encik Malik tentang cara mempertingkat operasi dan mengembangkan perniagaan.

“Setiap perniagaan itu ada keperluan dan masalah yang berbeza. Oleh itu, apabila menjadi mentor, kita perlu fahami apa keperluan mereka dan cara terbaik untuk bantu niaga mereka,” kata beliau, yang juga Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

Bagi pihaknya sendiri, Crave Nasi Lemak akan membuka lembaran baru dalam laluan perniagaan mereka dengan menjual produk makanan siap dimakan – seperti nasi lemak dalam kotak dan sambal dalam botol – untuk diperkenalkan dalam pasaran luar negara seperti Britain, Australia, Malaysia dan Indonesia pada masa depan.

Mereka kini sedang dalam proses menjalankan penyelidikan dan pengembangan (R&D) bagi produk tersebut.

“Kadangkala saya duduk terfikir bagaimana kita dapat capai kemajuan hingga ke tahap ini. Bahkan, saya gembira dapat tahu apabila kanak-kanak ingin makan nasi lemak, mereka tidak akan kata yang mereka mahu makan nasi lemak. Sebaliknya, mereka akan kata ‘Saya nak makan Crave’. Ini bukti kami berjaya dalam membina jenama Crave Nasi Lemak.

“Kalaulah arwah abah masih hidup, saya ingin beritahu beliau: ‘Abah, saya berjaya! Saya gembira dapat buat abah bangga’.”




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >