Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Penulis Rohani Din diiktiraf Anugerah Adijasawan Sastera

Aug 19, 2023 | 08:04 PM



Jeritan “Allah” yang “mungkin lebih daripada 14 harakat dan hingga ke blok sebelah” menjadi reaksi penulis tempatan, Cik Rohani Din ketika mendapat e-mel daripada Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) yang memaklumkan tentang sumbangan hampir tiga dekadnya dalam menghasilkan sastera Melayu telah mendapat penghormatan.

Cik Rohani, 70 tahun, telah menerima Anugerah Adijasawan Sastera oleh MBMS dalam acara Hari Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) 2023 pada Sabtu.

Lebih mesra dengan panggilan ‘Bunda’, Cik Rohani telah mula berkarya pada 1997 ketika beliau menerbitkan buku Diari Bonda, yang ditulis apabila beliau bergelar seorang nenek.


Sejak itu, Cik Rohani telah menghasilkan kira-kira 13 novel, enam koleksi puisi dan sekitar 60 antologi puisi.

Mengimbas kembali detik itu bersama para hadirin dalam ucapannya di edisi pertama Hari Mastera, yang berlangsung di The Arts House, Cik Rohani berkata: “Saya pandang ke luar pintu dan jerit ‘Allahhhhhh’. 

“Berapa banyak harakat saya tak tahu. Rasanya macam 14 harakat tetapi mungkin lebih dan sehingga ke blok sebelah.”

Cik Rohani, yang tiga bulan lalu, telah menjalani pembedahan jantung keduanya dan sedang pulih dilihat beberapa kali menitiskan air matanya sepanjang acara.

Ditanya apa makna penganugerahan itu untuknya, beliau berkata: 

“Tinggi sangat anugerah ini. Takut. Gayat. Sesungguhnya Allah melihat dan mengetahui apa yang Bunda buat.

“Justeru itu, Allah membuka hati dan mata orang-orang yang menilai Bunda. Bunda tidak tahu siapa-siapa yang menjadi jurunilai namun mereka sudah lama mengintip dan menapis. Terima kasih banyak kepada mereka.”

Karya terkenal Cik Rohani, Anugerah Buat Syamsiah dan Sanggar Anugerah Istana Kami I & II telah memenangi anugerah Sayembara Novel Watan manakala beberapa bukunya telah dicalonkan dalam Anugerah Sastera di Singapura dan Malaysia.


“Sepanjang 20 lebih tahun, banyak kenangan pahit ketika menulis. Tetapi, ia tidak pernah melemahkan semangat Bunda untuk menulis.

“Pada Bunda, menulis itu kalau orang tak ingin baca tidak mengapalah, saya akan meninggalkannya untuk anak dan cucu, yang mungkin pada masa akan datang tidak tahu bagaimana tahapnya bahasa Melayu,” kata Cik Rohani, yang mempunyai empat cahaya mata dan 10 orang cucu.

Beliau berharap generasi mendatang dapat terus melestarikan bahasa Melayu dan giat menulis.

“Jangan tidak menulis. Hari-hari harus tulis walaupun hanya sebaris. Apabila tulis jangan fikir bila nak habis. Apabila sudah habis tulis menjadi buku, jangan fikir sama ada ia laris atau tidak. Buku ada jalur dan nasibnya sendiri.

“Bersasteralah untuk bersilaturahmi dan bersilaturahmilah dalam sastera,” pesan beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >