Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

PERANAN M3

Dulu dibimbing, kini naib kadi muda bimbing pasangan lain pula

May 22, 2022 | 07:50 AM



APABILA mahu mendirikan rumah tangga dua tahun lalu, Ustaz Muhammad Zuhaili Md Yusof mendapat bimbingan Naib Kadi Ustaz Mokson Mahori di bawah program sokongan 'Bersamamu' untuk pasangan Melayu/Islam.



Kini, Ustaz Zuhaili, 29 tahun, pula yang menjadi naib kadi membimbing orang lain di bawah program yang sama.



Beliau menjadi naib kadi sejak awal tahun lalu, menjadikan beliau antara naib kadi termuda di Singapura.



Beliau menganggarkan telah melangsungkan pernikahan sekitar 80 hingga 100 pasangan dalam tempoh lebih setahun.



Namun, beliau tidak melihat faktor usia muda sebagai penghalang untuk membimbing pasangan.



"Bagi saya, usia muda boleh dilihat sebagai satu kelebihan kerana usia saya dekat dengan usia pasangan yang hendak bernikah.



"Jadi kami mungkin memahami trend dan isu terkini. Saya kira kami mungkin dapat interaksi dengan lebih mudah, dan membuat mereka bersikap terbuka untuk berkongsi dengan kami, dan kami dapat memberi nasihat dengan cara dan penyampaian yang sesuai dengan umur mereka," ujar Ustaz Zuhaili, yang juga seorang pegawai agama kanan di Masjid An-Nur di Marsiling.



Sebagai naib kadi, Ustaz Zuhaili akan menemui pasangan sebelum hari pernikahan mereka dalam sesi bersemuka di bawah program 'Bersamamu' itu untuk mengenali pasangan itu dengan lebih rapat serta menyampaikan panduan dan nasihat untuk membina rumahtangga yang harmoni.



Kemudian, beliau akan mendampingi pasangan itu dari masa ke masa dalam tempoh dua tahun selepas pernikahan, untuk bertanya khabar dan memberi nasihat dan bimbingan kepada pasangan itu jika diperlukan.



Bagi Ustaz Zuhaili sendiri, beliau juga akan menggalakkan pasangan yang dibimbingnya itu untuk mengikuti kelas asas agama yang ditawarkan di Masjid An-Nur.



Daripada pengalamannya, antara cabaran yang dihadapi pasangan termasuk dari segi perumahan, kewangan, dan penjagaan anak.



Encik Ahmad Fauzan Ahmad Jupri, 27 tahun, dan pasangannya Cik Batrisha Rehan, 27 tahun, menyertai sesi bersama Ustaz Zuhaili menerusi sidang video tahun lalu disebabkan pandemik Covid-19.



"Kami berpeluang menemui orang yang akan menikahkan kami sebelum hari pernikahan itu, jadi ia sedikit sebanyak membantu kami mengatasi perasaan gemuruh.



"Ustaz Zuhaili menasihatkan kami cara untuk membina rumah tangga berdasarkan ajaran Islam, dan ini membantu kami untuk menyokong satu sama lain," ujar Encik Fauzan, seorang ahli bomba.



Sebagai naib kadi, Ustaz Zuhaili juga telah menjalani latihan untuk mengenal pasti tanda-tanda yang mungkin menunjukkan pasangan memerlukan sokongan lanjutan semasa menghadiri sesi bersemuka dengan pasangan.



Pasangan ini termasuk mereka yang mempunyai isu seperti kewangan, kesihatan kronik, atau mempunyai rekod jenayah, contohnya.



Pasangan itu dirujuk kepada Projek Achieving Resilient and Inspiring Families (Projek Arif) yang menyediakan bimbingan keagamaan, perkahwinan, perubatan dan keibubapaan oleh kumpulan naib kadi, kakitangan masjid dan karyawan penjagaan kesihatan dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH).



Antara program yang ditawarkan termasuk webinar dan khidmat kaunseling, yang ditawarkan secara percuma.



Dilancarkan tahun lalu, projek Arif itu merupakan sebahagian daripada program 'Bersamamu'.



"Daripada program 'Bersamamu' ini kami hendak beritahu masyarakat bahawa apabila mereka bernikah mereka tidak bersendirian. Kami akan ada bersama dengan mereka untuk membimbing dan mendampingi mereka," kata Ustaz Zuhaili, seorang lulusan Universiti Al-Azhar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >