Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PILIHAN RAYA PRESIDEN 2023

Peranan Presiden diperjelas

Aug 23, 2023 | 03:31 PM



Bahang Pilihan Raya Presiden kian dirasai dan tanggungjawab presiden kini menjadi topik perbualan dalam kalangan warga.

Malah, baru-baru ini, Jabatan Pilihan Raya (ELD) telah mengeluarkan nota penjelasan mengenai peranan presiden. Nota itu juga telah dilihat oleh calon-calon Pilihan Raya Presiden bagi memastikan mereka faham.

Tiga yang bertanding jawatan presiden ialah mantan ketua pegawai pelaburan GIC, Encik Ng Kok Song; mantan Menteri Kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam; dan mantan ketua pegawai eksekutif NTUC Income, Encik Tan Kin Lian.

Mereka membuat akuan berkanun pada kertas pencalonan bahawa mereka telah membaca bahan penerangan dan memahami peranan presiden di bawah Perlembagaan.

Seorang jurucakap ELD berkata: “Calon telah menandatangani akuan janji untuk berkempen bagi pemilihan sebagai presiden secara bermaruah, sopan dan konsisten dengan kedudukan presiden sebagai ketua negara dan simbol perpaduan negara.”

Di bawah Perlembagaan, Presiden ialah ketua negara dan lambang perpaduan negara. Beliau mempengerusikan acara kebangsaan penting seperti Perbarisan Hari Kebangsaan dan pembukaan Parlimen, serta menjalankan kuasa penjagaan.

Presiden terpisah daripada parti politik. Justeru, beliau tidak boleh menganggotai sebarang parti politik.

BAGAIMANAKAH PRESIDEN BEKERJA DENGAN PARLIMEN DAN KABINET


Kabinet mempunyai arah tuju umum dan kawalan pemerintah, menggubal dan melaksanakan dasar. Kabinet dipimpin oleh Perdana Menteri, yang mesti mendapat kepercayaan Parlimen.

Kabinet secara keseluruhannya bertanggungjawab kepada Parlimen manakala Parlimen bertanggungjawab meneliti dan meluluskan undang-undang.

Kabinet dan Parlimen akhirnya bertanggungjawab kepada pengundi berhubung undang-undang dan dasar yang digubal.

Perlembagaan memerlukan presiden bertindak atas nasihat Kabinet dalam melaksanakan fungsinya, kecuali dalam bidang tertentu dengan Perlembagaan memberi kuasa kepada presiden untuk bertindak mengikut budi bicaranya.

FUNGSI PRESIDEN SEBAGAI PENJAGA NEGARA


Perlembagaan memberi presiden beberapa kuasa penjagaan.

Kuasa ini membolehkan presiden memveto atau tidak bersetuju dengan beberapa langkah yang disarankan, walau ada nasihat Kabinet. Kuasa penjagaan ini terbahagi kepada tiga kategori luas.

Kategori pertama berkaitan dengan rizab masa lalu Singapura yang tidak terkumpul dalam penggal pemerintah sekarang.

Presiden diberi kuasa untuk memeriksa dan boleh memutuskan untuk memveto langkah-langkah yang diambil oleh Parlimen atau pemerintah yang beliau anggap akan menggunakan rizab masa lalu.

Sebagai contoh, presiden boleh menolak daripada memberi persetujuan Rang Undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen jika, menurut pendapatnya, Rang Undang-undang itu akan menggunakan rizab masa lalu pemerintah.

Ini meliputi lembaga berkanun utama seperti Lembaga Perumahan dan Pembangunan  (HDB), Penguasa Kewangan Singapura dan Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF), serta syarikat penting pemerintah seperti Temasek dan GIC.

Presiden boleh tidak meluluskan belanjawan dan urus niaga entiti jika beliau menganggap bahawa mereka menggunakan rizab lalu entiti tersebut.

Kategori kedua melibatkan perkhidmatan awam. Presiden boleh memveto pelantikan ke pejabat awam utama, seperti Hakim Besar dan Hakim Mahkamah Agung, dan Pesuruhjaya Polis.

Presiden juga boleh memveto penyingkiran individu daripada pelantikan ini.

Kategori ketiga adalah fungsi perlindungan. Presiden boleh membenarkan penyiasatan oleh pengarah Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) jika perdana menteri enggan memberi izin.

Persetujuan presiden diperlukan bagi seseorang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jika lembaga penasihat ISA mengesyorkan menolak penahanan itu.

Presiden juga boleh membatalkan atau mengubah perintah sekatan yang dibuat di bawah Akta Penyenggaraan Keharmonian Agama jika nasihat Kabinet bertentangan dengan saranan Majlis Presiden bagi Keharmonian Beragama.

Apabila menggunakan dua kategori pertama kuasa penjagaan, presiden mesti merujuk kepada Majlis Penasihat Presiden (CPA).

Jika Presiden menggunakan kuasa veto yang bertentangan dengan saranan majlis, Parlimen boleh mengundi untuk menolak keputusan presiden. Usul untuk penolakan itu mesti disokong oleh tidak kurang daripada dua pertiga daripada jumlah Anggota Parlimen (tidak termasuk AP yang dicalon).

Peranan awam Presiden mencerminkan kuasa perlembagaan dan tugas jawatan. Sebagai ketua negara, Presiden ialah lambang perpaduan negara.

Presiden mesti dan dilihat sebagai berkecuali dari segi politik. Presiden tidak mempunyai peranan politik bebas dan tidak boleh terlibat dalam isu politik atau kontroversi.

Dengan cara ini, Presiden kekal tidak terlibat dalam isu-isu politik.

Secara terbuka, Presiden mesti bercakap dan bertindak mengikut nasihat Kabinet, terutama ketika menyatakan pandangan mengenai perundangan atau dasar pemerintah.

Pengecualian diberi kepada perkara yang berkaitan dengan kuasa penjagaan Presiden, dengan Presiden bertindak mengikut budi bicaranya, dan berhak untuk menerangkan kepada umum bagaimana beliau telah melaksanakan, atau berniat untuk melaksanakan, kuasa tersebut.

Dalam perbincangan peribadi dengan perdana menteri, Presiden boleh berkongsi nasihatnya secara bebas, tetapi perbincangan ini mesti dirahsiakan.

CONTOH PERKARA YANG BOLEH DAN TIDAK BOLEH DILAKUKAN PRESIDEN

Walaupun Presiden boleh memveto pelantikan bagi lembaga berkanun utama seperti Lembaga CPF dan HDB, beliau tidak boleh melantik calon pilihannya sendiri untuk pelantikan utama ini.

Presiden boleh memveto Rang Undang-undang Pembekalan yang menggunakan rizab masa lalu pemerintah, tetapi beliau tidak boleh memveto Rang Undang-undang yang meningkatkan kadar cukai.


Presiden juga boleh menyampaikan ucapan pada pembukaan Parlimen, yang didraf oleh pemerintah dan membentangkan agenda pemerintah, tetapi beliau tidak dibenarkan menyatakan pandangan secara terbuka mengenai perundangan atau dasar pemerintah tanpa nasihat untuk berbuat demikian oleh pemerintah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >