Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Perbuatan Chuan-Jin, Li Hui terus hubungan selepas ditegur tidak boleh diterima: PM Lee

Jul 18, 2023 | 05:30 AM



Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong kongsi butiran peletakan jawatan Speaker, Encik Tang Chuan-Jin dan Anggota Parlimen Cik Cheng Li Hui semasa bertemu media pada 17 Julai. Berikut sebahagian hujahnya.

Soalan: Ada yang bertanyakan, kalaulah tidak kerana insiden ungkapan yang kedengaran melalui pembesar suara di Parlimen, apakah perkara ini terbongkar secepat ini?


PM Lee: Lambat laun perkara ini akan terdedah juga. Saya sudah bercakap dengan Encik Tan Chuan-Jin pada Februari dan menerima peletakan jawatannya. Saya mengatakan atur dulu soal pengganti di Marine Parade. Proses ini sudah dilaksanakan. Kami meletakkan Encik Edwin Tong dan Encik Tan See Leng sebagai menteri utama di Marine Parade.


Saya mendapat maklumat baru bahawa hubungan antara mereka masih berterusan. Selepas perbualan pada Februari, perkara ini tidak boleh diterima sama sekali. Maka beliau harus berundur. Malah, kedua-duanya harus berundur.

Soalan: Anda telah menjelaskan kes berkaitan hubungan antara Encik Tan Chuan-Jin dengan Cik Cheng Li Hui, tetapi terdapat juga desas-desus lain. Dan rakyat Singapura umumnya amat memandang tinggi terhadap ahli-ahli politik kita, AP kita. Justeru, sebagai Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP), apakah pendirian anda dalam perkara ini?


PM Lee: Terdapat banyak khabar angin, terutama di dalam talian. Kita tidak dapat mengawasi kehidupan peribadi Anggota Parlimen (AP), tetapi jika desas-desus itu tampak berasas maka kita menjalankan siasatan. Jika ia benar, kita akan bercakap dengan AP berkenaan untuk membetulkan keadaan.


Jika perbuatan mereka itu tidak keterlaluan atau bukan skandal dan AP itu terima teguran, membetulkannya, memperbaikinya, berhenti daripada melakukan apa yang tidak sepatutnya mereka lakukan, mungkin mereka tidak menerima hukuman terlalu berat, dan kami tidak akan langsung menyingkir atau menyingkir mereka dengan serta-merta.

Ini kerana apa yang orang itu lakukan dan padah yang seharusnya dihadapinya juga bergantung kepada jawatan yang disandangnya dan juga lain-lain faktor termasuk keadaan keluarga serta sejauh mana buruknya hal yang telah mereka lakukan.

Adalah penting bagi kita mengekalkan standard tingkah laku wajar, kejujuran dan tatalaku yang betul. Kita menjangkakan AP, terutama menteri tahu membezakan antara yang baik dengan yang tidak baik.

Tapi, semasa menangani keadaan sebegini, iaitu keadaan insani, kita juga perlu sedar kelemahan manusia dan sedar kesan tindakan kita terhadap pihak yang tidak bersalah, ke atas keluarga, pasangan, anak-anak dan menangani keadaan dengan cara seberapa sensitif yang termampu, tetapi dengan sentiasa berpegang pada keperluan asas iaitu memelihara tanggungajwab dan keyakinan yang dimiliki warga Singapura pada kita.

Soalan: Saya ingin bertanyakan beberapa soalan mengenai jangka masa. Anda menyatakan anda telah bercakap dengan Encik Tan pada Februari. Ia tidak jelas pada saya berapa lama perhubungan ini berlangsung. Kedua, jangka masa apabila anda menangani kejadian Michael Palmer mencadangkan garis masa yang berbeza, jauh lebih pantas dan mendadak. Dan yang ketiga, kini terdapat empat kerusi kosong dalam Parlimen, adakah ia menjejas bagaimana anda berfikir tentang bila anda akan mengadakan Pilihan Raya Umum seterusnya.


PM Lee: Saya bercakap dengan Tan Chuan-Jin dan Cheng Li Hui paling terkini pada Februari. Saya dimaklumkan tentang perkara ini selepas Pilihan Raya Umum (GE) 2020. Saya tidak tahu bila mula mereka menjalin hubungan, tetapi mereka telah dinasihati. Malangnya, perkara itu tidak selesai, maka percakapan lebih tegas diadakan pada Februari tahun ini.


Bagi perbandingan dengan Michael Palmer, saya fikir ia bergantung pada situasi kes itu, seperti yang saya katakan, anda perlu melihat keadaan, pasangan dan keadaan keluarga, bagaimana anda boleh menguruskan perkara ini secara sensitif yang mungkin dan masih boleh melakukan kewajipan anda dan ia bergantung kepada respons orang itu serta selok-belok sebenarnya, jadi saya rasa tidak mungkin untuk membuat perbandingan langsung.

Bagi GE, saya tiada rancangan untuk mengadakan segera GE. GE dijangka menjelang 2025... kita berada di separuh kedua penggal pemerintah sekarang. Kita baru buka parlimen. Kami mempunyai agenda penuh untuk penggal ini. Kami sedang berusaha gigih dan itulah yang akan kami tumpukan.

Soalan: Ini adalah hubungan seorang Speaker Parlimen dengan seorang AP, apakah terjadi sebarang penyalahgunaan kuasa atau konflik kepentingan?


PM Lee: Saya fikir tidak wajarlah seorang Speaker menjalin hubungan dengan seorang AP. Tidak wajar. Tidak boleh diterima. Itulah sebabnya saya bercakap dengan kedua-dua mereka. Dan kerana itu juga, Tan Chuan-Jun... menawarkan diri untuk meletak jawatan dan saya menerimanya.


Soalan: PM, telah ada beberapa insiden melibatkan AP PAP baru-baru ini. Ini telah membuat sebilangan orang berpendapat bahawa berlaku semacam kemerosotan tentang standard PAP. Apa pendapat anda tentang ini?


PM Lee: Saya fikir dari masa ke semasa perkara seperti ini berlaku. Apabila ia berlaku, kita harus memastikan yang ia ditangani dengan bersungguh-sungguh dan telus, dan semua orang boleh melihat bahawa kita melakukannya. Dan dalam proses ini, saya fikir semua orang harus membuat kesimpulan yang betul dan melakukan yang betul, sama ada mereka dalam pemerintah atau dalam parti atau pemerhati umum bagaimana kita menanganinya.


Tidak ada satu sistem yang sempurna. Anda melantik seseorang, kadangkala kesilapan berlaku, anda harus mencari jalan memperbaikinya. Anda harus mencari sendiri sama seseorang itu memberitahu anda sesuatu yang salah dan kemudian membetulkannya.

Saya fikir kita telah menghadapi beberapa isu berprofil tinggi kebelakangan ini. Saya fikir kes Ridout yang ditimbulkan melalui Internet. Menteri-menteri menjalani proses yang teliti, siasatan penuh oleh CPIB. juga disiasat oleh SM Teo Chee Hean, dan hasilnya dan laporannya dibentangkan sepenuhnya di Parlimen.

Dan sebagai Ketua Pembangkang, Encik Pritam Singh, berkata tiada siapa yang menuduh adanya rasuah atau salah laku. Jadi, saya fikir ini satu contoh bukan soal standard PAP merosot tetapi bagaimana kita menangani tuduhan terhadap AP PAP.

Dalam kes Encik Iswaran, perkara itu timbul bukan daripada sebarang laporan dari luar, tetapi kerana CPIB terserempak dengan isu itu semasa menjalankan siasatan lain dan mereka memberitahu saya, saya mengatakan, teruskan. Selepas beberapa bulan, mereka kembali menemui saya dan mengatakan, ada sesuatu dan mahu membuka siasatan rasmi,

Saya pelajari laporan itu, saya mengatakan, iya, lanjutkan dan itulah yang mereka lakukan dan akan diteruskan hingga mendapatkan keputusan sepenuhnya.

Dalam kes Tan Chuan-Jin dan Cheng Li Hui, mereka tidak memenuhi standard yang kita harapkan daripada mereka. Kami cuba mengajak mereka membetulkannya, tetapi tidak berhasil, dan mereka terpaksa berundur.

Salah satu ucapan terakhir Encik Lee Kuan Yew adalah semasa perayaan ulang tahun kelahirannya yang ke-90 dan kami mengadakan pesta di Parlimen. Saya menyebut perkara ini semasa saya menyampaikan belasungkawa.

Beliau ketika itu amat lemah, beliau di hospital, beliau datang dan kami semua berhimpun dan di situ ada kek ulang tahun, dan beliau bercakap hanya dua tiga potong ayat.

“Ingatlah, jangan sesekali membiarkan sistem ini tercemar. Jangan, jangan biarkan ini berlaku. Tegakkan standard, pastikan bahawa Singapura boleh bekerja.”

Itulah kuncinya dan saya bersungguh-sungguh mahu melakukannya dan saya pasti para pemimpin 4G kita juga bersungguh-sungguh melakukannya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >