Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PERBINCANGAN ISU LGBTQ DAN SEKSYEN 377A

Pergas kerjasama Muis, pemimpin agama lakar panduan kukuh keluarga

Aug 13, 2022 | 05:30 AM



PERSATUAN Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) sedang melakarkan pendekatan dan panduan bagi memperkukuh institusi keluarga dengan tujuan agar masyarakat Islam dapat bersama-sama memberi respons yang penuh rahmah kepada mereka yang menghadapi cabaran disebabkan kepelbagaian dan perkembangan masa kini.



Usaha itu, menurut Pergas, sedang giat dilakukan dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan para pemimpin agama setempat.



Ustaz Hasbi: Masyarakat, asatizah harus bincang penuh adab demi hurai cabaran kemasyarakatan



Presiden Pergas, Ustaz Mohamad Hasbi Hassan, berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) mengenai pendirian dan usaha persatuan itu dengan perbincangan mengenai isu kepelbagaian gaya kehidupan golongan lesbian, gay, biseksual, transgender, queer (LGBTQ) serta Seksyen 377A hangat dibicarakan pada masa ini.



Dalam Kanun Jenayah, Seksyen 377A menyifatkan seks sejenis antara lelaki sebagai satu jenayah.



"Ini (melakarkan pendekatan dan panduan) merupakan sebuah usaha yang memerlukan kerjasama padu oleh pelbagai pihak, demi kemaslahatan masyarakat dan negara," ujar beliau.



Ustaz Hasbi menekankan institusi keluarga merupakan asas masyarakat yang stabil dan kukuh serta amat penting di dalam Islam.



Justeru, menurutnya, Pergas amat prihatin akan pelbagai cabaran kemasyarakatan yang harus ditangani bersama, apatah lagi dalam menghadapi perkara kompleks yang perlu dilihat daripada pelbagai dimensi.



"Namun, kita juga akur akan prinsip-prinsip agama yang jelas dalam memelihara institusi keluarga dan nilai-nilai yang berkaitan dengannya," tekan beliau.



Lantaran itu, beliau berkata masyarakat dan kepimpinan agama secara keseluruhan perlu berbincang dan mendapat panduan yang jelas dan cermat dalam menghadapi dan menangani perkara ini.



Memandangkan ia adalah sensitif dan rumit, maka tidak ada jalan pantas untuk menyelesaikannya malah diskusi dan perbincangan yang berkala perlu diteruskan, tambah Ustaz Hasbi.



Pergas kini sedang giat bekerjasama dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan para pemimpin agama untuk melakarkan pendekatan dan panduan bagi memperkukuh institusi keluarga.



Ini dengan tujuan agar masyarakat Islam dapat bersama-sama memberi respons penuh rahmah kepada mereka yang menghadapi cabaran disebabkan kepelbagaian dan perkembangan masa kini.



Sementara itu, menyentuh isu LGBTQ dalam satu wawancara awal, Mufti Dr Nazirudin Nasir berkata terdapat asas agama yang tidak boleh dikompromi dan Islam tidak membenarkan perbuatan seperti amalan seksual dalam LGBTQ.



Namun, masyarakat harus memikirkan bagaimana mempertimbang peranan mereka dalam evolusi sosial ini.



Memetik contoh isu LGBTQ, beliau berkata apa yang menjadi cabaran adalah apabila seseorang Muslim itu sendiri... akur memang sesuatu itu tidak dibenarkan agama tetapi mereka ada keinginan dan ini kerana pelbagai sebab.



"Jadi bagaimana peranan kita sebagai masyarakat walaupun kita tahu dalam agama tidak membenarkan sesuatu perbuatan seperti amalan seksual dalam LGBTQ.



"Ini perlu kepada lonjakan paradigma dari segi menganalisis sesuatu masalah dan pada akhirnya membuat penyesuaian dalam pendekatan kita," ujar Dr Nazirudin dalam wawancara dengan Berita Mediacorp.



Sehubungan dengan itu, Ustaz Hasbi berkata Pergas menggalak masyarakat dan asatizah untuk mengambil bahagian dalam perbincangan untuk mencari penyelesaian bagi cabaran kemasyarakatan.



"Ini adalah salah satu tuntutan agama," ujarnya.



Beliau menambah, Islam menganjurkan agar perbincangan perlu disertakan dengan adab agar matlamat yang ingin dicapai terlaksana tanpa membina permusuhan sama ada di kalangan aktivis, pemimpin negara, pemimpin agama, masyarakat umum serta mereka yang berkepentingan.



Bulan lalu, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata pemerintah sedang mempertimbangkan apa yang perlu dilakukan kepada Seksyen 377A.



Pemerintah juga turut memikirkan cara mempertahan kedudukan perkahwinan yang sah dari segi undang-undang, agar ia tidak dicabar sepertimana berlaku bagi Seksyen 377A dalam beberapa siri kes yang berlaku.



Kenyataan Encik Shanmugam itu mendapat sokongan kumpulan agama setempat.



Pada 4 Mac, mereka mengeluarkan kenyataan bersama bahawa kumpulan agama di sini termasuk Majlis Gereja Kebangsaan Singapura (NCSS), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Lembaga Penasihat Sikh bersedia bekerjasama dengan pemerintah untuk mempertimbangkan "cara terbaik ke hadapan" berhubung Seksyen 377A.



Awal sebelum itu, Gereja Roman Katolik Singapura, turut menekankan perlunya pemerintah melindungi institusi tradisional keluarga dari segi undang-undang.



"Sedang kumpulan LGBT harus dihormati, mereka juga perlu menghormati hak gereja untuk mengekalkan pendirian kami berkenaan perkahwinan dan keluarga sebagai unit yang merangkumi bapa, ibu dan anak-anak mereka," ujarnya dalam satu kenyataan pada 31 Julai.



Komen Encik Shanmugam itu menyusuli penganjuran acara 'Protect Singapore Townhall', yang ditolak sesetengah anggota masyarakat LGBTQ.



Acara di Singapore Expo pada 23 Julai lalu dihadiri lebih 1,200 orang, bertujuan menggesa perlindungan bagi keluarga dan perkahwinan berhubung Seksyen 377A.



Ia dianjurkan Encik Jason Wong, ahli lembaga pengarah dan bekas pengerusi pertubuhan Kristian, Focus on the Family; dan Encik Mohamed Khair Mohamed Noor, pengerusi eksekutif SuChi Success Initiatives, yang menjalankan kursus persediaan perkahwinan untuk pasangan Islam dan program latihan lain.



Pada Februari tahun ini, Mahkamah Rayuan memutuskan Seksyen 377A akan terus dikekalkan, namun tidak boleh digunakan untuk mendakwa lelaki yang mengadakan seks dengan lelaki lain.



Panel lima hakim Mahkamah Tinggi kemudian memutuskan bahawa Seksyen 377A tidak melanggar Artikel (1) Perlembagaan Singapura, yang menyatakan, tidak ada seorang pun yang harus dinafikan kehidupannya atau kebebasan peribadinya kecuali mengikut undang-undang.Keputusan oleh panel hakim itu menyusuli tindakan undang-undang yang diambil tiga lelaki yang mendakwa undang-undang itu melanggar perlembagaan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >