Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pergas lancar Ruang Hijau, usaha kurangi sisa makanan

Ruang di bumbung Paradise@Pergas inisiatif yang dimula sekitar Ogos 2022 supaya asatizah 'celik' tentang isu kemampanan dan alam sekitar
Mar 02, 2023 | 05:30 AM



USAHA mengurangkan pembaziran makanan dan memacu amalan kelestarian secara bersama akan dipergiatkan oleh Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).



Ini setelah perangkaan bagi pembaziran makanan di Singapura mencatatkan peningkatan saban tahun.



Demikian dinyatakan Naib Presiden Pergas, Ustazah Kalthom Muhammad Isa, semasa berucap dalam pelancaran rasmi ruang hijau 'Pergas Green Space' di bumbung bangunan Paradise@Pergas pada Rabu.



Ruang hijau tersebut merupakan inisiatif yang dimulakan sekitar Ogos 2022 supaya golongan asatizah 'celik' tentang isu kemampanan dan alam sekitar.



Beliau menjelaskan:



"Pada 2019, Singapura menjana 744 juta kilogram sisa makanan, iaitu bersamaan dua mangkuk nasi bagi setiap individu setiap hari.



"Jelas, sebagai masyarakat Muslim yang berbudi pekerti, kita diajar untuk tidak membazir makanan dan mensyukuri rezeki yang dikurniakan."



Oleh demikian, inisiatif yang dilancarkan itu menurutnya adalah seumpama sebuah gerakan untuk "menghimpunkan asatizah dan masyarakat Muslim secara amnya untuk melakar perubahan".



Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang hadir sebagai tetamu terhormat, menyambut baik inisiatif tersebut kerana ia sejajar dengan Pelan Hijau Singapura 2030.



Semasa berucap, beliau berkata: "Usaha seperti ini oleh Pergas adalah salah satu contoh bagaimana rakan kongsi masyarakat boleh berganding bahu untuk bantu Singapura kecapi sasaran."



Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, seramai 10 asatizah Pergas, atau Duta Hijau, bergilir-gilir melakukan kegiatan bercucuk tanam dan menguruskan ruang tersebut.



Mereka juga telah menjalani beberapa latihan dan kursus untuk mengendalikan ruang hijau itu - yang mengguna pakai ekosistem mapan berasaskan pertanian permakultur yang menggalakkan pelbagai kaedah pengkomposan sebagai kaedah pembaziran sifar sisa.



Lantaran itu, Ustazah Kalthom berkata harapannya adalah agar Duta Hijau dihantar ke madrasah atau organisasi Melayu/Islam yang lain bagi berkongsi kepakaran dan "membina komuniti hijau kita sendiri" pada masa hadapan.



Ketua Duta Hijau bagi ruang tersebut, Ustazah Nur Khadijah Ramli, berkata beliau teruja melihat inisiatif tersebut akhirnya membuahkan hsail.



"Ini adalah satu idea yang baik, lebih-lebih lagi untuk menjaga alam sekitar, diselitkan lagi dengan ajaran Nabi Muhammad saw, dicampur lagi dengan usaha sama menjalin hubungan sesama kita," ujar beliau.



Baginya, kegiatan ini juga secara tidak langsung menerapkan akhlak yang baik dalam diri kerana ia "membentuk peribadi insan yang indah."



"Saya dapat pelajari tentang jenis-jenis tanah. Tanah tidak boleh pakai satu-satu jenis saja, ia harus dicampur dengan pasir dan lain-lain," tambahnya.



Pengerusi projek tersebut dan Eksekutif Kanan di Pergas, Ustaz Abdul Majeed Maiden, berkata penyediaan ekosistem tersebut sememangnya mencabar, memandangkan ini belum pernah dilakukan olehnya mahupun anggota Duta Hijau yang lain.



Tambah beliau:



"Kami langsung tidak tahu-menahu tentang semua ini. Ini adalah kali pertama bagi kami, jadi kami banyak belajar."



Dalam pada itu, antara sayur-sayuran yang ditanam termasuk kangkung, salad, bok choy, edamame dan lobak.



Selain bercucuk tanam, beberapa tangki turut disediakan di ruang itu bagi menternak ikan melalui sistem akuaponik.



Melalui sistem akuaponik, pembelaan ikan atau haiwan air lain dalam tangki yang disediakan menjadi sumber nutrien kepada tumbuh-tumbuhan berkenaan apabila airnya, yang mengandungi najis ikan dan bahan buangan lain, dipam menerusi paip yang disediakan bagi membekalkan kepada tumbuh-tumbuhan itu 'makanan' yang diperlukannya secara hidroponik.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >