Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Perkasa keluarga sebagai asas masyarakat terus maju: Masagos

* Pejabat Penyelarasan Penglibatan Masyarakat M3 akan ditubuh bagi dekati, bantu keluarga memerlukan * Kursus persiapan perkahwinan 'Cinta Abadi' dipertingkat bagi perkukuh pasangan muda * Tekankan peranan penting asatizah pikul tanggungjawab bimbing masyarakat
Mar 09, 2021 | 05:30 AM



KELUARGA Melayu/Islam, termasuk pasangan muda dan mereka yang tinggal di flat sewa, akan mendapat lebih banyak bantuan sedang pemerintah memperkukuhkan sokongan dan penyampaian perkhidmatan, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.



Antaranya, sebuah Pejabat Penyelarasan Penglibatan Masyarakat M³ atau Eco, akan ditubuhkan pada tahun ini untuk menyelaras usaha mendekati masyarakat menerusi program pemerintah dan agensi lain.



Kandungan kursus persiapan perkahwinan Cinta Abadi juga akan dikemas kini, satu usaha sama Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan MoneySense Kementerian Tenaga Manusia (MOM).



Kursus itu merangkumi kandungan seperti fatwa mengenai pemilikan bersama flat atau rumah (joint tenancy) supaya keluarga dapat dilengkapi dengan maklumat yang diperlukan.



Semasa bahas Belanjawan bagi ehwal masyarakat Islam di Parlimen semalam, Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga berkata memperkukuh keluarga penting supaya masyarakat Melayu/Islam terus maju sebagai sebuah Masyarakat Gemilang.



"Satu bidang penting yang harus diberi tumpuan ialah keperluan keluarga yang kian berubah. Keluarga kini bersifat lebih pelbagai ekoran perkahwinan silang kaum, perkahwinan semula dan struktur keluarga yang rumit dengan adanya ibu bapa atau adik-beradik tiri," kata beliau.



Peri penting pendidikan awal juga ditekankan di Parlimen semalam, dengan Mendaki dijangka melancarkan program prasekolah perintis baru Kelas Siap Sekolah untuk mempersiapkan kanak-kanak yang bakal menjejakkan kaki ke darjah satu pada Mei nanti.



Encik Masagos turut menekankan pentingnya peranan asatizah yang memikul tanggungjawab besar dalam menyediakan bimbingan kepada masyarakat dan melengkapi mereka dengan kemahiran relevan.



"Sebagai pemimpin agama, asatizah memikul tanggungjawab besar dalam menyediakan bimbingan tentang ehwal keagamaan dalam konteks masyarakat Singapura yang berbilang budaya dan agama, terbuka dan sering berhadapan dengan cabaran-cabaran yang datang bertubi-tubi. Bimbingan sedemikian membentuk keperibadian masyarakat kita, agar kita boleh mengatasi apa juga cabaran di masa hadapan dan terus maju sebagai sebuah Masyarakat Gemilang," kata beliau.



Dalam usaha meluaskan jangkauan kepada masyarakat, dua lagi bandar M³ - rangkaian kerjasama Mendaki, Muis dan Mesra - di Geylang Serai dan Jalan Besar juga telah dilancarkan awal tahun ini, dengan satu lagi bakal dilancarkan di Toa Payoh tidak lama lagi.



Ini menjadikan bilangan M³@Bandar kepada 11 secara keseluruhannya.



Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, turut mengumumkan bahawa sebuah Pejabat Penyelarasan Penglibatan Masyarakat M³ atau Eco, akan ditubuhkan pada tahun ini.



"(Pejabat ini) akan menyelaras dan mengukuhkan usaha-usaha mendekati masyarakat bersama program-program pemerintah yang lain seperti Uplift dan ComLink, serta usaha-usaha oleh badan Melayu/Islam yang lain," kata beliau.



Di samping itu, Dr Maliki berkata M³ juga akan terus mencari peluang kerjasama dengan badan-badan lain, termasuk agensi pemerintah, untuk memanfaatkan data dan huraian digital bagi mempertingkatkan keberkesanan usaha yang dijalankan.



Antara isu lain yang turut dibahaskan ialah isu tudung, sistem pensijilan halal dan ajaran sesat.



Sementara itu, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, pula mengumumkan inisiatif bagi memperkukuh sektor seni dan budaya serta sukan semasa perbahasan Belanjawan kementeriannya. Antaranya ialah suntikan dana tambahan $20 juta kepada Pakej Daya Tahan Seni dan Budaya, dengan peningkatan itu akan merangkumi beberapa geran baru dan lanjutan skim sedia ada.



Lagi $25 juta pula ditambahkan bagi Pakej Daya Tahan Sukan dipertingkat, dan satu projek nasional bagi bola sepak pula akan dijalankan untuk memupuk bakat dan mengembangkan potensi sukan itu di sini.



Dalam pada itu, Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin dalam ucapan penutup bahas Belanjawan semalam menggesa para Anggota Parlimen (AP) agar mengingati peranan mereka sebagai pemimpin negara.



Mengambil pengajaran daripada pilihan raya presiden di Amerika Syarikat tahun lalu, Encik Tan berkata kata-kata yang diucapkan dan cara AP membincangkan dan melahirkan pandangan di Parlimen memberikan kesan.



Beliau menambah bahawa perpecahan dan polarisasi mendalam yang dilihat semasa kempen presiden Amerika merupakan "satu peringatan untuk tidak pernah mengambil ringan apa yang kita miliki".



"Kita perlu membantu masyarakat kita faham mengapa kita melakukan ini. Kita boleh bersependapat dan kita boleh bercanggah pendapat... tetapi kita harus melakukannya dengan cara yang membina dan tidak hanya bersetuju dengan perkara yang paling kecil sahaja," kata beliau.




INILAH KISAH MASYARAKAT MELAYU/ISLAM SG YANG UNIK



"Inilah kisah masyarakat Melayu/Islam Singapura, yang menyumbang kepada negara sebagai sebuah Masyarakat Gemilang... menyesuaikan diri dan sentiasa mencari huraian tersendiri secara senyap untuk menangani cabaran kita sendiri apabila ia timbul. Pada tahun 70-an, kita membentuk Dana Pembinaan Masjid dan memanfaatkan setiap orang dewasa Islam yang bekerja untuk membiayai dan membina semua masjid-masjid kita, agar tiada wang dan pengaruh asing tiba di sini. Baru-baru ini, kita menubuhkan institusi penting seperti Skim Pengiktirafan Asatizah agar hanya pemimpin agama setempat dari madrasah kita boleh mengajar di sini."
- Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.




Sekilas inisiatif bagi masyarakat Melayu/Islam



KELUARGA & MASYARAKAT



  • Laman Facebook ‘Bersamamu’ kongsi maklumat tentang perkahwinan, keibubapaan dan pembangunan awal kanak-kanak

  • Program Masyarakat Amalan Bersamamu bagi kadi dan naib kadi kongsi pengalaman dan belajar amalan terbaik

  • Kandungan diperbaharui bagi program ‘Cinta Abadi’, seperti fatwa mengenai pemilikan bersama flat atau rumah

  • Tiga M³@Bandar baru dilancarkan tahun ini di Geylang Serai, Jalan Besar dan Toa Payoh

  • Pejabat Penyelarasan Penglibatan Masyarakat M3 (Eco) akan ditubuh untuk selaras usaha dekati masyarakat

PENDIDIKAN



  • Program prasekolah baru ‘Kelas Siap Sekolah’ dirintis Mei ini untuk sepadu kemahiran pemikiran pengiraan, konsep dan celik matematik

PEKERJA



  • Mendaki Sense bantu lebih 4,000 pemohon kerja Melayu/Islam sejak Januari 2020, dengan lebih 800 berjaya dapat kerja

  • Mendaki Sense sedang kenal pasti kursus di bawah WSQ untuk dilakukan dalam bahasa Melayu

Sekilas inisiatif MCCY bagi seni



Suntikan tambahan $20 juta bagi Pakej Daya Tahan Seni dan Budaya dipertingkat. Ia akan liputi:



  • Geran SEP baru untuk penggiat seni dan budaya bebas

  • Dana Transformasi Perniagaan baru bagi pertubuhan seni dan budaya. Terdapat dua laluan:

    – Geran Transformasi Perniagaan baru untuk sokong aspek digital dan bukan digital

    – MCCY dan NAC akan tugaskan atau kerjasama dengan rakan untuk cipta bersama huraian transformasi niaga

  • Lanjutan Geran Operasi ACRP

  • Lanjutan Subsidi Sewa Tempat 80% untuk tiga bulan lagi sehingga Jun 2021

Sekilas inisiatif MCCY bagi sukan



Suntikan Tambahan $25j bagi Pakej Daya Tahan Sukan Dipertingkat



  • Geran Projek SEP untuk bangun projek tingkat kesihatan dan kesejahteraan

  • Tambahan $22.5 juta bagi Geran Pembangunan Keupayaan dan Inovasi Perniagaan

  • Lanjutan Geran Operasi bagi perniagaan, dan Elaun Latihan dan Pementoran Berstruktur bagi Jurulatih

Projek Nasional bagi Bola Sepak



  • Untuk cipta lebih banyak peluang bagi rakyat Singapura bangunkan bakat

  • 8 tunggak pelaksanaan, daripada bina minat dalam golongan muda hingga ke pertingkat keupayaan, gunakan teknologi dan tingkat prasarana




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >