PERKEMBANGAN politik dan ketidaktentuan keadaan di Timur Tengah akan meninggalkan kesan mendalam ke atas Asia Tenggara, sebuah rantau yang diduduki hampir 300 juta penduduk Muslim.
"Sekiranya adanya ketegangan di Timur Tengah, ia juga akan mempengaruhi rantau ini," kata Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K Shanmugam, semalam.
Menurutnya, rantau Asia Barat kini sedang menjalani pembaharuan utama dalam tiga aspek: ekonomi, sosiobudaya dan geopolitik - mencakupi isu kenaikan harga minyak, jumlah golongan muda yang besar dan pengangguran tenaga muda yang tinggi.
Harga minyak, katanya, dijangka mencecah AS$55 setong ($74.23) tahun depan - di bawah harga fiskal yang balik modal - dan ini menimbulkan cabaran bagi negara-negara Teluk.
Selain itu, tinjauan ke atas Belia Arab tahun lalu pula mendapati 40 peratus warga mudanya menganggap agama sebagai aspek terpenting bagi identiti peribadi mereka, melebihi keluarga, kerakyatan dan jantina.
Bagi yang lain di rantau itu, termasuk Iran dan Turkey, juga mungkin bergantung pada agama bagi mengukuhkan keabsahan mereka.
"Kesemua ini mendatangkan pelbagai cabaran dan harus ditangani dengan berhati-hati," kata Encik Shanmugam yang juga merupakan Menteri Undang-Undang dalam ucapannya bagi merasmikan Kuliah Unggul S R Nathan secara maya anjuran Institut Timur Tengah (MEI), Universiti Nasional Singapura (NUS) itu.
Laporan lanjut: Hubungan rantau Timur Tengah, Asia Tenggara lebihi ekonomi, perdagangan