Perkukuh hubungan antara kaum melebihi toleransi: DPM Heng

HUBUNGAN masyarakat berbilang kaum di Singapura perlu diperkukuh melebihi sikap toleransi, kata Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat.

Menurut beliau, sedang warga menikmati keharmonian kaum dan agama, namun kita perlu membangunkan semangat keharmonian yang lebih utuh dan sejati dengan memupuk kesefahaman yang mendalam selain sikap saling hormat menghormati.

"Saya rasa ini adalah perkara utama ...Kita mesti menunjukkan komitmen terhadap memelihara keharmonian kaum dan agama di sini," tegasnya, sambil memberi contoh terhadap perselisihan yang berlaku di negara lain disebabkan perbezaan kaum, bahasa atau agama.

Encik Heng berkata demikian di sesi perkongsian bersama 60 peserta selepas perasmian program warisan antara agama, 'Faithful Footprints' semalam.

Dalam sesi tersebut, beliau, yang juga Menteri Kewangan, berkata warga Singapura wajar berbangga dengan bagaimana masyarakat telah berkembang dan mampu membincangkan isu kepelbagaian dan keharmonian kaum dan agama dengan serius dan rasional.

Pelbagai usaha dan kegiatan juga diadakan bagi memperkukuh hubungan antara kaum.

Namun, beliau menegaskan usaha tersebut merupakan sesuatu yang berterusan.

"Jika anda menyingkap kembali sejak beberapa tahun yang lalu, kita telah membuat kemajuan yang besar, tetapi ini adalah satu usaha yang mesti kita teruskan kerana ia tiada tujuan akhir," tambah Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan.

Sewaktu sesi perkongsian itu, yang dipengerusikan oleh Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar Negeri) Dr Mohamad Maliki Osman, Encik Heng turut berkongsi bagaimana rakyat dan penduduk Singapura boleh mendakap kepelbagaian dan menjadikannya satu kekuatan.

"Saya rasa kepelbagaian budaya ini merupakan kekuatan yang hebat untuk kita dan ia memberi kita peluang melihat semula apakah nilai-nilai yang penting kepada Singapura sempena memperingati tahun Bicentenial tahun ini.

"Saya berharap rakyat dan penduduk Singapura dapat bekerjasama sebagai satu masyarakat sambil berkongsi bagaimana kita dapat membina Singapura bersama-sama.

"Lebih dari itu, kita juga dapat melihat bagaimana kita dapat bekerjasama dengan penduduk di negara lain. Jika Singapura dapat melakukannya, saya rasa kita juga dapat membuat sumbangan kecil kita dalam menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik," ujarnya.

Sementara itu, sebelum sesi perkongsian tersebut, para peserta telah dibawa meninjau beberapa bangunan warisan yang terdapat di sepanjang kawasan bersejarah Kampung Bencoolen termasuk lapan tempat ibadah pelbagai agama.

Acara tersebut bertujuan memupuk penghargaan terhadap kepelbagaian kaum dan agam di Singapura selain mempromosikan integrasi dan perpaduan yang lebih baik dalam kalangan rakyat Singapura termasuk warga baru.

Seorang peserta, Cik Christine Chen, 44 tahun, yang telah menetap di sini selama 11 tahun selepas berpindah dari China berkata program warisan antara agama ini telah membuka matanya tentang sejarah negara ini yang tertumpu kepada keharmonian kaum.

Laporan lanjut: Jejak warisan sejarah di kawasan Bencoolen

Galeri Foto