Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Permainan baru percuma di Taman East Coast dan Kebun Bunga

Apr 12, 2021 | 05:30 AM



TAMAN permainan berhawa dingin mungkin menjadi pilihan ramai keluarga yang mempunyai anak kecil.



Akan tetapi taman permainan besar yang baru dibuka di Coastal PlayGrove di Taman East Coast dan ComoAdventure Grove di Gallop Extension, Kebun Bunga membuktikan walaupun bakal berpeluh, kanak-kanak nyata lebih gemar bermain di luar, di bawah terik matahari.



Yang lebih menarik, kedua-duanya percuma.



Coastal Playgrove



Alamat: 902, East Coast Park Service Road

Vertical Challenge dan permainan air:

Selasa hingga Ahad, 8 pagi hingga 8 malam;

Gelongsor: 8 pagi hingga petang, 4 petang hingga 8 malam setiap hari.

Lungsuri: bit.ly/3drRe9A



SEPINTAS LALU



Mereka yang membesar pada era 1970-an hingga awal 2000-an akan menggemari papan gelongsor berwarna-warni Big Splash yang telah diubah suai ini.



Apa yang menarik, ia tetap menyeronokkan kerana Lembaga Taman Negara (NParks) telah mengubah ia menjadi taman permainan Coastal PlayGrove mesra keluarga sebesar 4.5 hektar.



Terdapat banyak tempat bagi golongan tua dan muda menjamu selera seperti Burger King dan Old Town White Coffee.



APA SERONOKNYA?



Ia kini dinobatkan sebagai gelongsor tertinggi di Singapura serta menawarkan tempat permainan paling tinggi di tapak Big Splash yang lama dan kini dikenali sebagai Play Tower



Ia sesuatu yang menarik minat kanak-kanak yang gemar memanjat.



Ada yang boleh memanjat halangan bertali setinggi empat tingkat yang dinamakan Vertical Challenge itu berjam-jam lamanya berulang kali tanpa jemu.



Terdapat juga menara yang menempatkan dua tiub gelongsor tertutup - yang satu bermula di tingkat tiga, manakala yang satu lagi di tingkat empat.



Ia umpama perlumbaan yang mampu menyesakkan nafas bagi orang dewasa yang mencubanya dari tingkat empat.



Kanak-kanak lebih kecil boleh bermain di Leisure Nets yang lebih dekat dengan permukaan dan tidak begitu mencabar.



Terdapat juga 'taman permainan alam semula jadi' di mana kanak-kanak boleh meneroka laluan terowong bambu, seimbangkan diri di laluan balak, sembunyi-sembunyi di khemah dan bermain di ruang berpasir.



NILAI PENDIDIKAN



Terdapat sebuah kelas tepian pantai khusus buat kanak-kanak prasekolah, lengkap dengan papan tulis dan kapur. Terdapat juga batu besar dan kerusi kayu untuk nereka duduk. Kanak-kanak boleh membuat permainan dengan mencari pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan yang terdapat di situ seperti bunga raya dan pokok pong pong.



RUANG UNTUK DIBAIKI



Gelongsor yang diperbuat daripada logam boleh menjadi panas menyengat di bawah terik matahari. Maka itu, adalah lebih baik ke sana pada lewat petang atau malam apabila ia lebih dingin.



PANDUAN DALAMAN



Bawa pakaian renang bersama. Kanak-kanak akan basah kuyup bermain dalam kolam randuk dan pancuran air.



Terdapat tandas awam dan bilik persalinan. Namun, tiada lokar di situ maka bersiap sedia untuk mengangkut barangan anda ke mana sahaja.



HARUS DATANG LAGI?



Ya! Taman permainan ini pasti menjadi taman permainan kegemaran ramai yang baharu di Taman East Coast. Ia menawarkan pilihan lain di samping Marine Cove yang berdekatan dan sering penuh sesak.




Como Adventure Grove



Alamat: Gallop Extension,  Kebun Bunga Singapura, Gallop Road

Waktu operasi: 7 pagi hingga 7 malam setiap hari

Lungsuri: bit.ly/3u81QRZ



SEPINTAS LALU



Terletak di dalam Kebun Bunga Singapura, Gallop Extension yang baharu dibuka mempunyai Como Adventure Grove. NParks menyifatkan ia sebagai ''taman permainan alam semula jadi''.



Ini bermakna anda akan berasa seolah-olah anda sedang bermain di tengah hutan, merehatkan diri anda daripada hingar bingar kehidupan bandar.



Apa yang anda boleh dengar hanyalah hilai tawa kanak-kanak dan bunyi ayam berkokok di balik belukar.



Tempat permainan itu direka khas untuk menyerupai tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan asli di kawasan itu.



Sebagai contoh, tempat memanjat, gelongsor dan buai direka untuk kelihatan seperti akar pokok weeping fig.



APA SERONOKNYA?



Hiasan utamanya ialah struktur menyerupai buah cempedak raksasa - tempat di mana kanak-kanak boleh mendakinya - yang pasti menjadi tarikan ramai sebagai tempat mengambil gambar untuk dimuat naik ke media sosial Instagram.



Terdapat juga biji saga merah di mana si cilik boleh panjat dan duduk di atasnya.



Taman itu juga diseliputi pasir. Ia menyerupai taman permainan mungkin semasa anda kecil dahulu. Bukan mudah untuk mencari taman permainan sebegitu di estet perumahan sekarang ini.



NILAI PENDIDIKAN



Kanak-kanak belajar melalui permainan dan terdapat banyak maklumat mengenai flora dan fauna setempat yang boleh mereka pelajari.



Di sebelah taman permainan, kami singgah seketika di Forest Discovery Centre @ OCBC Arboretum yang berdekatan. Ia ditempatkan di Gallop House No. 5 (Atbara), banglo hitam putih tertua di Singapura yang dibina pada 1898.



Paparan interaktif dan video di sana mengetengahkan habitat hutan Singapura. Ini bermakna kanak-kanak boleh mempelajari tentang sejarah dan botani.



RUANG UNTUK DIBAIKI



Anda mungkin mahu membawa kelengkapan permainan pasir anda sendiri. Sebelum ini terdapat penyodok, baldi dan sebagainya untuk kegunaan bersama. Namun, semua itu lenyap kira-kira dua minggu selepas tempat itu dibuka.



Jika anda mahu berehat dari terik mentari, tempat duduk di kafe berhawa dingin itu agak terhad.



PANDUAN DALAMAN



Jika anda membawa kereta sorong, anda harus tanggung risikonya kerana perlu membawanya naik dan turun anak-anak tangga.



Sekiranya anda menaiki pengangkutan awam, anda boleh turun ke pusat pelawat. Jika tidak, anda harus berjalan kaki selama 15 minit dari Farrer Road atau stesen MRT Botanic Gardens.



HARUS DATANG LAGI?



Itu sudah pasti. Namun, cuba elak daripada datang pada hujung minggu dan cuti umum kerana ia bakal sesak pada waktu-waktu itu menjadikannya sukar mengamalkan jarak selamat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >