Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

LAPORAN KHAS BH

Pernah didera ibu bapa; perlukah si anak beri nafkah?

Dec 19, 2022 | 05:30 AM



HUBUNGAN keluarga yang sudah retak, sama ada berpunca daripada konflik atau ibu bapa yang mendera atau mengabaikan anak, merupakan antara sebab mengapa anak tidak memberi nafkah kepada ibu bapa.



Oleh itu, tidak menghairankan mengapa satu dalam empat kes tuntutan nafkah di Pesuruhjaya Penyaraan Ibu Bapa melibatkan dakwaan tentang ibu bapa yang pernah mendera, mengabaikan atau meninggalkan anak mereka, kata karyawan perkhidmatan sosial dan peguam keluarga.



Kaunselor Hab Perkahwinan AMP, Cik Nur Amira Jumali, berkata anak-anak yang mempunyai hubungan baik dengan ibu bapa lebih berkemungkinan memberi nafkah kewangan kepada mereka.



"Sebaliknya, anak-anak yang mengalami penderaan atau trauma ketika sedang membesar yang disebabkan ibu bapa mereka sendiri, lebih berkemungkinan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan mereka dan tidak akan mahu terlibat dalam kehidupan ibu bapa mereka apabila mereka dewasa.



"Ramai yang akan menjauhkan diri daripada ibu bapa mereka apabila mereka mendirikan rumah tangga atau berdikari dari segi kewangan. Dengan itu, mereka mungkin lebih enggan untuk menyumbang wang kepada ibu bapa mereka," ujarnya.



Bersetuju, pemilik firma guaman A. Rohim Noor Lila LLP, Encik Abdul Rohim Sarip, berkata anak yang mempunyai hubungan baik dengan ibu bapa biasanya memberi nafkah tanpa diminta.



"Tetapi jika hubungan itu retak kerana apa jua sebab, anak itu menjadi keberatan untuk memberikan sumbangan kepada ibu bapa... mungkin wujud terlalu banyak pertelingkahan keluarga," ujarnya.



Nasib individu yang menghadapi penderaan mendapat perhatian sedang Akta Penyaraan Ibu Bapa (MPA) kini disemak, antara lain untuk melindungi anak yang telah didera, dan mencegah akta itu daripada disalah guna.



Akta itu membolehkan ibu bapa yang sudah tua dan memerlukan, serta tidak berdaya menyara diri, menuntut nafkah daripada anak yang mampu menyokong mereka tetapi tidak berbuat demikian.



Antara pindaan yang disarankan, ibu bapa yang mempunyai rekod mendera, mengabaikan atau meninggalkan anak perlu mendapatkan izin Tribunal Penyaraan Ibu Bapa dahulu sebelum melaksanakan proses pendamaian bersama anak mereka di pejabat Pesuruhjaya Penyaraan Ibu Bapa.



Pengurus Pusat Kanan, Pusat Perkhidmatan Keluarga (Barat) PPIS, Cik Nooraini Mohd Razak, berkata anak yang didera mungkin rasa tertekan oleh institusi sosial di sekeliling mereka - seperti keluarga, agama dan pemerintah - untuk menanggung ibu bapa yang pernah menyakiti mereka.



"Bagaimanapun, adalah penting juga untuk menapis kes seperti ini untuk memastikan sebab mengapa mereka tidak menanggung ibu bapa bukanlah kerana mereka cuai dari segi kewangan, tetapi benar-benar merupakan kes di mana mereka tidak mahu bertanggungjawab ke atas ibu bapa yang telah mendera mereka," kata Cik Nooraini.



Seorang jurucakap PAVE, sebuah pusat yang menangani keganasan keluarga, berkata ramai ibu bapa yang menuntut nafkah itu sudah terputus hubungan dengan anak mereka.



"Ada yang mungkin mahu membaiki hubungan, dan ada pula yang mahu sokongan kewangan daripada anak yang mereka tidak pernah jaga, dan melihatnya sebagai hak mereka," kata jurucakap itu.



Beliau juga menarik perhatian hubungan ibu bapa dan anak yang didera yang berlainan daripada hubungan biasa.



"Walaupun perasaan marah dan sakit hati itu mungkin masih ada, peluang untuk membaiki hubungan sentiasa ada," ujar jurucakap itu.



Karyawan khidmat sosial turut menggalakkan ibu bapa serta anak yang didera untuk mendapat bantuan seperti kaunseling atau psikoterapi untuk menjalani pemulihan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >