Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KORONAVIRUS

Perniagaan 'terhenti' bagi firma tawar pakej umrah

Susuli larangan tunai umrah di Makkah, Masjid Nabawi di Madinah oleh Arab Saudi demi cegah penularan Covid-19
Mar 24, 2020 | 05:30 AM



PERNIAGAAN seakan terhenti bagi bulan ini dan dijangka bagi bulan depan juga bagi kebanyakan firma pelancongan yang menawarkan pakej umrah.



Kelembapan perniagaan ini diakibatkan larangan menunaikan ibadah umrah di tanah suci Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah oleh kerajaan Arab Saudi bulan lalu demi mencegah penularan koronavirus Covid-19.



Larangan itu, yang menyebabkan banyak rancangan umrah bulan ini hingga Jun ditunda atau dibatalkan, telah menjejas perniagaan firma tersebut dan ramai juga meluahkan kebimbangan sekiranya wabak ini berterusan hingga menjejas ibadah haji tahun ini.



Firma yang lebih kecil turut berasa kesannya dengan lebih teruk memandangkan sumber pendapatan melalui pelancongan ke negara lain juga harus dibatalkan atau digantung.



Sewaktu ditemui Berita Harian (BH) baru-baru ini, pengurus besar Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid berkata sebanyak 180 hingga 200 jemaah umrahnya terjejas akibat larangan itu yang berkuat kuasa pada 27 Februari lalu.



"Dalam 60 peratus hingga 70 peratus jemaah meminta wang mereka dikembalikan," katanya sambil menjelaskan bahawa syarikatnya telah menawarkan bayaran balik sekiranya jemaah ingin membatalkan rancangan umrah bagi Mac dan April atau simpan wang itu jika mereka ingin menundanya hingga keadaan bertambah pulih.



"Ramai yang inginkan wang mereka dibayar balik kerana mereka tidak dapat mengatur hari cuti selain minggu cuti sekolah pada Mac. Kami juga telah membatalkan semua rancangan umrah pada dua bulan itu, mungkin juga hingga Jun.



"Keadaan semasa membabitkan perniagaan hampir terhenti dan memandangkan lebih banyak negara kini melaksanakan sekatan pergerakan dan larangan bagi pelancong, kami hanya boleh tunggu hingga keadaan pulih," tambahnya.



Encik Ayoob Angullia, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan syarikat Shahidah, yang menguruskan Shahidah Travels & Tours, berkata:



"Hanya terdapat sebahagian kecil sahaja jemaah yang ingin kami memberi bayaran balik kepada mereka kerana mereka tidak dapat mengatur tempoh cuti dengan majikan. Kebanyakan ingin tunggu hingga keadaan bertambah pulih dan teruskan rancangan umrah mereka mungkin setelah musim haji," tambahnya.



Namun, syarikatnya kini bercadang memanfaatkan tempoh wabak ini untuk melatih semula pekerjanya dengan menyertakan mereka ke dalam kursus pemasaran media sosial dan perkhidmatan pelanggan.



Encik Ayoob, juga pemilik Syarikat ST&T International yang menawarkan khidmat insurans dan liputan penjagaan kesihatan bagi jemaah umrah dan haji, turut meluahkan kebimbangan setelah menjangka nilai penjualan bernilai beberapa juta akan terjejas sekiranya larangan oleh kerajaan Arab Saudi itu berterusan hingga musim haji.



"Singapura menghantar sebanyak 1,500 jemaah haji tahun lalu dan tahun ini mungkin seramai 2,000 jemaah akan menunaikan haji.



"Jumlah nilai penjualan bagi haji tahun lalu adalah sekitar $18 juta. Kami menjangkakan angka itu bertambah tahun ini, mungkin sekitar $24 juta.



"Jika larangan kerajaan Arab Saudi berterusan, jumlah sebanyak itu bagi seluruh Singapura akan turut menjejas industri pelancongan, terutamanya bagi haji dan umrah, dengan teruk sekali."



Antara syarikat lain yang ditinjau ialah Babus Salam Holidays yang terpaksa menunda perjalanan ke tanah suci bagi 34 jemaah pada minggu cuti sekolah yang lalu.



Pengurus Besar syarikat itu, Encik Ismail Idros, berkata:



"Dengan adanya penggantungan umrah buat masa ini, tidak boleh ke negara Asia dan baru-baru ini lagi tidak boleh ke Malaysia juga, saya sudah dapat rasa keperitan sebagai agen pelancongan yang kecil."



Pada 27 Februari lalu, kerajaan Arab Saudi telah menggantung kemasukan ke negara itu bagi individu yang ingin mengerjakan umrah atau mengunjungi Masjid Nabawi di Madinah demi mencegah penularan koronavirus.



Sehingga semalam, Kementerian Kesihatan Arab Saudi melaporkan sebanyak 119 kes jangkitan koronavirus baru, dan jumlah kes bagi negara itu telah mencecah 511 orang.



Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, juga mengumumkan perintah berkurung dari 7 malam hingga 6 pagi selama 21 hari mulai semalam.



Pada 27 Februari lalu, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) turut mengumumkan lebih 2,000 jemaah umrah terjejas akibat larangan tersebut dalam satu kenyataan pada 27 Februari lalu.



Sementara itu, Ustaz Tengku Mohamad Fouzy, juga Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), berharap jemaah Singapura bersabar sewaktu tempoh kemelut wabak ini.



"Adapun haji dan umrah, ia merupakan ibadah dengan kita sebagai tetamu Allah. Kalau Allah jemput kita, maka kita datang dan jika tidak dijemput, maka kita tidak datang," katanya ketika dihubungi BH baru-baru ini.



"Bersabarlah dengan apa yang dikehendaki Tuhan semoga Allah memudahkan kita menghadapi ujian ini dengan berjaya."



Bagi seorang jemaah, Encik Musalla Simwan, 62 tahun, beliau bernasib baik dapat mengerjakan umrah dari 26 Februari hingga 6 Mac setelah kumpulan umrahnya berjaya mendapat pengecualian untuk teruskan ibadah itu.



Mutawwif kumpulannya berjaya mendapat kebenaran setelah berunding dengan pegawai di pusat pemeriksaan kerana kumpulan itu sudah dalam perjalanan ke Makkah dari Madinah pada hari pertama larangan itu berkuat kuasa.



Ketika dihubungi, beliau memberitahu tentang suasana lengang di Masjidil Haram setelah larangan atas lawatan umrah, termasuk bagi warga dan penduduknya berkuat kuasa pada 4 Mac lalu.



"Sekitaran kawasan tawaf di keliling Kaabah menjadi sepi setelah pegawai kesihatan menghalang jemaah masuk kecuali untuk solat wajib sahaja," katanya.




"Keadaan semasa membabitkan perniagaan hampir terhenti dan memandangkan lebih banyak negara kini melaksanakan sekatan pergerakan dan larangan bagi pelancong, kami hanya boleh tunggu hingga keadaan pulih."
- Encik Haffidz Abdul Hamid, Pengurus Besar Halijah Travels.



"Jumlah nilai penjualan bagi haji tahun lalu adalah sekitar $18 juta. Kami menjangkakan angka itu bertambah tahun ini, mungkin sekitar $24 juta.

Jika larangan oleh kerajaan Arab Saudi tetap berterusan, jumlah sebanyak itu bagi seluruh Singapura akan turut menjejas industri pelancongan, terutamanya bagi haji dan umrah dengan teruk sekali."

- Encik Ayoob Angullia, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan syarikat Shahidah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >