Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Pindaan disaran demi perkukuh Akta Penyaraan Ibu Bapa

MPA disemak demi capai keseimbangan antara lindungi anak daripada penyalahgunaan akta, warga emas mudah terjejas
Dec 27, 2022 | 05:30 AM



'ENCIK T' hidup melarat di sebuah rumah kebajikan warga emas walaupun beliau masih mempunyai keluarga.



Bagaimanapun, anak-anaknya tidak dapat dicari kecuali seorang yang enggan menanggung atau menjaganya.



Anak lelaki itu, yang berjawatan tinggi, tidak mahu menanggung bapanya, dengan memberi alasan mempunyai komitmen kerja dan kewangan yang lain.



'Encik T' berasa keberatan untuk memfail tuntutan nafkah daripada anaknya, kerana bimbang ia akan menjejas lagi hubungan mereka, serta peluang untuk menemui anaknya yang lain.



Contoh kes 'Encik T' ini dikemukakan kumpulan kerja yang sedang menyemak Akta Penyaraan Ibu Bapa (MPA).



Di bawah perubahan yang disarankan kumpulan itu, Pesuruhjaya Penyaraan Ibu Bapa akan diperkasa untuk memulakan tuntutan, mencari anak warga emas yang hidup melarat, serta mendapatkan mereka menghadiri proses pendamaian, tanpa memerlukan ibu bapa untuk memulakan tuntutan.



"Ini akan membolehkan Pesuruhjaya mendengar pihak anak, memahami keadaan keluarga mereka dengan lebih baik, serta menyokong keluarga dalam proses pendamaian jika sesuai," kata kumpulan kerja itu.



Kumpulan kerja itu, yang terdiri daripada Anggota Parlimen, baru-baru ini membentangkan beberapa saranan untuk meminda akta tersebut supaya mencapai keseimbangan antara melindungi anak daripada penyalahgunaan MPA dan membantu warga emas yang mudah terjejas dengan lebih baik.



Antara pindaan yang disarankan itu melibatkan usaha untuk melindungi warga emas yang hidup melarat di rumah kebajikan.



Di bawah Akta Orang Melarat (DPA), individu yang hidup melarat boleh dimasukkan ke rumah kebajikan, jika mereka tidak berupaya menyara diri dan tidak mempunyai sokongan keluarga.



Sebelum individu itu dimasukkan, anggota keluarga akan dihubungi dan digalakkan untuk menjaga individu tersebut.



Bagaimanapun, rumah kebajikan melaporkan sekumpulan kecil ibu bapa melarat mempunyai anak yang mampu menyara mereka tetapi tidak berbuat demikian, atau malah enggan menghubungi warga emas itu.



Buat masa ini, Pesuruhjaya Penyaraan Ibu Bapa mempunyai kuasa untuk mendapatkan maklumat bagi mengenal pasti, mencari dan memanggil si anak menghadiri sesi pendamaian, tetapi ini hanya boleh dilakukan setelah permohonan difailkan.



Warga emas biasanya memilih untuk tidak berbuat demikian kerana tidak mahu menjejas lagi hubungan dengan anak, kata kumpulan kerja itu.



KEBANYAKAN PENGHUNI TIDAK MENERIMA NAFKAH



Ketua Rumah Perkumpulan Warga Emas Pertapis, Cik Nur Raudhah Zainuldin, berkata 10 daripada 40 penghuni rumah kebajikan itu mempunyai anak, dan menganggarkan seramai 95 peratus penghuni itu tidak menerima sokongan nafkah daripada anak mereka.



"Mereka tidak memberi nafkah kerana pendapatan rendah dan perlu menanggung keluarga sendiri.



"Satu lagi sebab ialah isu keluarga atau konflik semasa mereka bersama. Contohnya, ibu bapa itu dahulunya mendera, bersikap curang, atau tidak menyokong keluarga secara kewangan," ujar Cik Nur Raudhah.



Kumpulan kerja semakan itu telah menyarankan agar pesuruhjaya hanya menggunakan kuasa bagi memulakan tuntutan nafkah jika ibu bapa itu dahulunya tidak mendera, mengabaikan atau meninggalkan anak mereka, dan anak tersebut juga mampu membayar nafkah.



APA YANG BERLAKU SELEPAS PENDAMAIAN



Jika proses pendamaian berjaya, anak itu akan menandatangani memorandum perjanjian untuk membayar nafkah.



Pindaan tersebut akan hanya dilaksanakan bagi anak individu yang sedang dinilai untuk memasuki, atau sudah pun menghuni, sebuah rumah kebajikan di bawah Akta Orang Melarat.



Cik Nur Raudhah berkata pindaan itu akan membantu jika penghuni warga emas memutuskan untuk meneruskan dengan tuntutan nafkah tersebut.



"Kebanyakan penduduk yang mempunyai anak dan mendapatkan perlindungan di rumah kebajikan itu mempunyai hubungan yang rumit dengan anak mereka, dan ia mungkin memerlukan lebih daripada setakat pendamaian yang wajib, bagi anak itu untuk memberi nafkah kepada ibu bapa mereka," kata Cik Nur Raudhah.



Kumpulan kerja semakan MPA berkata penghuni rumah kebajikan mungkin mempunyai keperluan yang berbeza bergantung pada keadaan mereka.



Bagi ibu bapa melarat yang bersedia untuk diintegrasi semula ke masyarakat, antara keperluan utama ialah tempat tinggal.



"Satu kemungkinan ialah anak itu, selepas pendamaian, boleh mencapai persetujuan dengan pekerja sosial yang mengurus kes ibu bapa itu, untuk membayar yuran sewa dan bil utiliti untuk ibu bapa tersebut," kata kumpulan kerja itu.



WAJIBKAN KUNJUNGAN?



Cik Nur Raudhah juga menarik perhatian tentang gangguan emosi yang dihadapi penghuni warga emas yang tidak boleh tinggal dengan anak mereka, dan menyarankan kunjungan wajib oleh anak atau anggota keluarga.



"Kebanyakan penghuni mahu tinggal dengan anak mereka tetapi tidak mempunyai banyak pilihan kecuali menerima hakikat mereka telah diletakkan di rumah kebajikan dan mereka hanya boleh berdoa untuk kesejahteraan anak mereka.



"Seperti sokongan kewangan yang boleh dituntut menerusi MPA jika mereka memenuhi syaratnya, akta itu juga boleh mempertimbangkan menjadi wadah bagi penduduk disokong secara emosi menerusi kunjungan yang wajib oleh anak atau anggota keluarga mereka," ujar Cik Nur Raudhah.




"Ini akan membolehkan Pesuruhjaya mendengar pihak anak, memahami keadaan keluarga mereka dengan lebih baik, serta menyokong keluarga dalam proses pendamaian jika sesuai."
- Kumpulan kerja terdiri daripada Anggota Parlimen, yang sedang menyemak Akta Penyaraan Ibu Bapa (MPA).




EMPAT PINDAAN YANG DISARANKAN



■ Satu kumpulan kerja terdiri daripada Anggota Parlimen telah menyarankan empat pindaan demi memperkukuh Akta Penyaraan Ibu Bapa (MPA).



■ Pindaan tersebut bertujuan mengimbangi antara perlindungan anak-anak daripada penyalahgunaan MPA, serta membantu warga emas yang mudah terjejas.



■ Berikut pindaan yang diusulkan:



◆ Pindaan 1: Ibu bapa yang mempunyai rekod dera anak mesti dapatkan izin tribunal sebelum melaksana proses pendamaian bersama anak mereka di pejabat pesuruhjaya.



◆ Pindaan 2: Membenarkan tribunal untuk mengetepikan kes yang remeh atau sengaja menyusahkan, tanpa memberitahu anak tentang tuntutan ibu bapanya.



◆ Pindaan 3: Membenarkan pesuruhjaya untuk mencari anak-anak ibu bapa yang hidup melarat tanpa perlu permohonan rasmi daripada ibu bapa.



◆ Pindaan 4: Membenarkan tribunal untuk membuat arahan tidak berkaitan kewangan, seperti arahan kaunseling bagi ibu bapa yang ketagihan judi contohnya, atau kaunseling keluarga untuk mengatasi hubungan yang retak.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >