PERDANA Menteri Encik Lee Hsien Loong telah didapati menghidap barah prostat dan akan menjalani pembedahan bagi membuang kelenjar prostatnya esok.
Oleh itu, Encik Lee akan mengambil cuti sakit seminggu.
Sepanjang tempoh tersebut, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik Teo Chee Hean, akan menjadi Pemangku Perdana Menteri.
Ketua pakar urologi Hospital Besar Singapura (SGH), Profesor Christopher Cheng, akan melakukan pembedahan ke atas Encik Lee.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Encik Lee telah menjalani ujian imbasan magnetik (MRI) bagi prostatnya yang menunjukkan tumbuhan yang meragukan.
Setelah menjalani biopsi pula, satu daripada 38 contoh didapati mempunyai sel barah.
Encik Lee memutuskan mendapatkan pembedahan itu atas nasihat panel doktor yang dipimpin oleh Profesor Cheng.
Encik Lee dijangka pulih sepenuhnya menyusuli pembedahan tersebut.
Data Pusat Barah Memorial Sloan Kettering menunjukkan bahawa pesakit dengan profil perubatan dan rawatan serupa mempunyai 99 peratus peluang tidak menjadi korban dek barah itu 15 tahun selepas pembedahan tersebut.
Barah prostat merupakan barah ketiga paling biasa dihidap ketiga paling biasa dihidap lelaki Singapura.
Barah itu bermula di kelenjar prostat, yang merupakan sejenis organ dalam sistem reproduktif lelaki di bahagian depan rektum dan bawah pundi kencing.