POLIS Trafik (TP) dan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menjalankan operasi bersama semalam ke atas pemandu kenderaan berat yang melakukan kesalahan.
Sebanyak 53 saman dikeluarkan kepada 52 pemandu kenderaan berat atas pelbagai kesalahan trafik, misalnya memandu laju, tidak memandu di lorong kiri di ekspreswe dan menggunakan telefon semasa memandu.
Di samping itu, 14 kesalahan termasuk membawa penumpang berlebihan dalam dek lori dikesan.
Menurut kenyataan polis semalam, jumlah kemalangan yang melibatkan kenderaan berat berkurangan sebanyak 13.1 peratus - daripada 879 kes pada 2016 kepada 764 kes tahun lalu.
Namun, di Singapura, sekitar 3 daripada 10 kemalangan maut tahun lalu melibatkan kenderaan berat.
Perangkaan tersebut membimbangkan kerana kemalangan melibatkan kenderaan berat berpotensi menyebabkan kerosakan dan kehilangan nyawa lebih dahsyat.
Disebabkan pemandu kenderaan berat menghabiskan banyak waktu di jalan raya dan sentiasa mempunyai jadual ketat, maka lebih penting bagi mereka mematuhi semua peraturan jalan raya, ujar polis.
Sehubungan itu, TP akan terus bertegas dengan pemandu kenderaan berat yang melanggar peraturan jalan raya.
Pengguna jalan raya lain juga digalak memainkan peranan masing-masing dengan mengamalkan penggunaan jalan raya yang baik dan selamat.