Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Portfolio Temasek lepasi $400b buat pertama kali

Jul 13, 2022 | 05:30 AM



NILAI portfolio pelaburan bersih firma pelaburan, Temasek Holdings, mencapai paras rekod melebihi $400 bilion buat kali pertama dalam tahun kewangan lalu, dengan Singapura menggantikan China sebagai destinasi pelaburan teratas bagi syarikat itu.



Temasek, dalam semakan tahunannya yang dikeluarkan semalam, berkata Nilai Portfolio Bersih (NPV) mereka mencapai $403 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac tahun ini - naik $22 bilion daripada $381 bilion dalam tahun kewangan sebelum ini.



Sepanjang tahun kewangan lalu, Temasek membuat pelaburan sebanyak $61 bilion dan menjual pelaburan bernilai $37 bilion.



Dalam usaha membina portfolio yang berdaya tahan, Temasek terus melabur dalam peluang yang sejajar dengan empat trend struktur jangka panjang - pendigitalan, kehidupan mampan, masa depan perbelanjaan, dan jangka hayat lebih lama.



Ketua Pegawai Pelaburan Temasek, Encik Rohit Sipahimalani, berkata meskipun prospek pertumbuhan semakin perlahan dan pandangan tidak menentu, syarikatnya tetap dipandu oleh "falsafah pelaburan" mereka untuk menjana pulangan terlaras risiko dalam jangka panjang.



"Kami akan secara berhemat mengendalikan risiko dan peluang yang muncul daripada kejadian makroekonomi dan pasaran.



"Mengambil kira kemungkinan munasabah berlakunya kemelesetan dalam pasaran maju sepanjang tahun hadapan, kami mengekalkan pendirian pelaburan yang berhati-hati sementara kekal fokus untuk membina portfolio berdaya tahan yang disokong trend struktur yang kami telah mengenal pasti," kata beliau.



Temasek dalam kenyataannya berkata aset Singapura kini merangkumi 27 peratus daripada portfolio mereka, naik daripada 24 peratus pada tahun sebelumnya.



Sementara itu, aset China turun kepada 22 peratus daripada 27 peratus dalam tempoh yang sama.



Sebahagian besar pelaburan Temasek terus berada di Asia, yang membentuk 63 peratus daripada portfolio mereka.



Mengikut sektor, khidmat kewangan (23 peratus), pengangkutan dan perindustrian (22 peratus), dan telekomunikasi, media dan teknologi (18 peratus) merupakan tiga sektor terbesar dalam portfolio Temasek.



Antara pelaburan Temasek termasuk Orca, sebuah platform keselamatan siber pelbagai awan di Amerika Utara, dan Hydrogenious, syarikat berpangkalan di Jerman yang membangunkan teknologi dan proses bagi penghantaran dan penyimpanan hidrogen yang selamat dan berkesan.



Di Singapura, Temasek terus melabur dan mendekati syarikat portfolio mereka sedang firma tersebut mempersiapkan diri bagi masa depan dan mempertingkat daya ketahanan jangka panjang.



Misalnya, tahun lalu, mereka mengambil bahagian dalam tawaran bon boleh ditukar mandatori $6.2 bilion Singapore Airlines (SIA), yang membantu memperkukuh penyata imbangan dan kedudukan syarikat penerbangan itu bagi penyambungan semula pelancongan global.



Sementara itu, kadar Pulangan Pemegang Saham Keseluruhan (TSR) Temasek pula ialah 5.81 peratus, lebih rendah berbanding 24.53 peratus dalam tahun kewangan sebelumnya.



Sejak dibentuk pada 1974, TSR mencatatkan 14 peratus tahunan secara kompaun. Ia mencecah 8 peratus bagi TSR selama 20 tahun dan 7 peratus bagi 10 tahun.



Pengerusi Temasek, Encik Lim Boon Heng, berkata dunia hari ini sangat rumit, dan cabaran yang dihadapi pemerintah, perniagaan dan masyarakat tidak pernah begitu pelbagai dimensi atau meluas.



Meskipun masa depan masih tidak dapat diramalkan, syarikat itu menyedari bahawa terdapat peluang besar untuk bekerjasama bagi mengatasi cabaran sejagat.



"Tujuan Kita, Agar Setiap Generasi Makmur, membimbing kami, lebih-lebih lagi dalam masa tidak menentu, untuk terus membina masa depan yang cerah untuk generasi semasa dan akan datang," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >