Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Presiden Halimah pelita, teladan masyarakat Melayu/Islam: Masagos

Pemimpin muda diseru ikut jejak Puan Halimah sumbang kepada negara, masyarakat
Sep 12, 2023 | 08:19 PM



Pemimpin Melayu/Islam memberi setinggi-tinggi penghormatan kepada Presiden Halimah Yacob bagi sumbangan beliau kepada masyarakat dan negara, sehari sebelum beliau mengundur diri sebagai Presiden kelapan Singapura hari ini.

Memberikan penghormatan bagi pihak masyarakat, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata Puan Halimah, 69 tahun, mencerminkan nilai masyarakat Melayu/Islam gemilang – 3C, iaitu keperibadian, kemahiran dan kewarganegaraan.

Dalam ucapan pembukaannya di majlis jamuan malam Jalinan Rangkaian M³ di Wisma Geylang Serai pada Selasa malam itu, Encik Masagos berkata pemimpin masyarakat Melayu/Islam, khususnya golongan muda, harus belajar dan mengikut jejak langkah pemimpin utama seperti Presiden Halimah, yang banyak menyumbang kepada masyarakat dan negara.

“Tahun demi tahun, Puan Halimah menyumbang kepada pelbagai inisiatif M³, badan Melayu/Islam dan badan kebajikan.

“Selain daripada dialog yang beliau hadiri bersama pelbagai lapisan masyarakat, beliau membantu mengumpul dana untuk membantu golongan rentan dan memupuk semangat kewarganegaraan dalam kalangan kita,” kata Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan.

Puan Halimah, yang diiringi suaminya, Encik Mohamed Abdullah Alhabshee, menjadi tetamu terhormat di majlis anjuran badan-badan M³ itu.

Ketibaan Puan Halimah disambut meriah dengan tepukan gemuruh oleh lebih 240 hadirin terdiri daripada pemimpin badan Melayu/Islam, penasihat akar umbi, pengerusi dan relawan M³@Bandar, dan juga karyawan serta belia itu.

Dalam ucapannya, Encik Masagos turut mengimbas kembali perjalanan Puan Halimah sejak beliau memulakan kerjaya politiknya pada 2001 dengan berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) di GRC Jurong dan GRC Marsiling-Yew Tee.

Pada 2013, beliau dilantik sebagai Speaker Parlimen dan kemudian Presiden pada 2017. Beliau wanita Melayu/Islam pertama menjadi Speaker dan Presiden.

Sebelum itu, Puan Halimah banyak memperjuangkan nasib pekerja, khususnya di bawah Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), dan isu lain yang dekat dihatinya, seperti kesihatan mental.

“Dedikasi beliau kepada masyarakat luas – daripada isu keterangkuman, kepelbagaian dan keharmonian sosial yang mengukuhkan talian masyarakat kita.

“Sikap penyayang dan empatinya juga telah menyentuh kehidupan ramai orang. Di bawah pemantauannya, Cabaran Presiden memberi tumpuan pada pemerkasaan orang kurang upaya, membina masyarakat digital yang inklusif dan menyokong nasib penjaga,” kata Encik Masagos.

Sebagai Presiden, Puan Halimah banyak bersuara dan memperjuangkan nasib wanita demi memartabatkan kesaksamaan jantina untuk bersaing dalam dunia yang sengit.

“Beliau menyokong Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura yang dikeluarkan oleh pemerintah tahun lepas. Puan Halimah juga merupakan penyokong kuat dalam usaha membina hubungan antara agama dan menggalakkan dialog berbilang budaya.

“Pada 2019, beliau mencetus Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) yang sejak itu telah membawa orang ramai membincangkan topik seperti kepercayaan, identiti dan perpaduan sosial.

“Puan Halimah juga akan diingati sebagai seorang pemimpin yang tabah dan cekal dalam mengemudi negara melalui pandemik Covid-19,” kata Encik Masagos. Semasa pandemik Covid-19, Puan Halimah memberikan persetujuan kritikal untuk pemerintah mengeluarkan rizab negara.

“Respons beliau yang tegas dan tepat pada masanya membolehkan Singapura bangkit lebih kukuh daripada pandemik itu. Peranan beliau menunjukkan peranan penting Presiden bukan sekadar melindungi rizab daripada disalah guna, bahkan mengetahui bila dan untuk apa rizab harus dikeluarkan,” tambahnya.

Semasa majlis itu, hadirin dihiburkan dengan persembahan oleh Dato’ Ramli Sarip, Rahimah Rahim, SG Oudist dan Kirana Seni. Encik Masagos turut menghadiahkan sebuah cenderahati dalam bentuk lukisan batik kepada Puan Halimah sebagai tanda penghargaan.

Majlis itu turut dihadiri Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, dan Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East, Encik Mohd Fahmi Aliman.

Hadirin lain termasuk AP Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (GRC Chua Chu Kang), Dr Wan Rizal Wan Zakariah (GRC Jalan Besar) dan Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Punggol).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >