SEDANG pemerintah mempunyai rancangan membantu perniagaan dan warga Singapura jika ekonomi meleset, rakyat negara ini turut perlu bersiap sedia, kata Presiden Halimah Yacob.
Singapura sebagai sebuah negara juga perlu kekal bersatu padu untuk berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi dunia dan mengatasi cabaran itu bersama.
"Sedang kita meraikan Hari Kebangsaan ini, kita mempunyai keprihatinan mengenai cabaran yang akan timbul daripada pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, permintaan global kian lemah serta sikap perlindungan meningkat, yang akan menjejas kita.
"Kita harus bersedia bagi cabaran ini, dan kekal kukuh dan bersatu padu untuk mengatasinya bersama," ujar Puan Halimah.
Beliau berkata demikian dalam satu video yang diterbitkan di Facebook semalam, menjelang sambutan Hari Kebangsaan Singapura esok.
Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, dalam satu wawancara sebelum ini berkata pemerintah sudah bersedia menghulurkan pakej bantuan jika ekonomi global meleset mendadak.
Sementara itu, Puan Halimah menggesa warga Singapura untuk memainkan peranan mereka dengan merebut peluang baru dalam ekonomi, serta mengekalkan perpaduan masyarakat.
"Marilah kita mainkan peranan untuk bantu berinovasi dan mengubah ekonomi kita, menajam kemahiran dan keupayaan untuk memanfaatkan peluang baru, memperkukuh ikatan kita dan meraikan kepelbagaian kita," ujar Presiden Halimah.
Sepanjang setahun lalu, Puan Halimah berkata beliau telah menemui ramai warga Singapura di Istana dan menerusi program pendekatan masyarakatnya.
"Warga Singapura mengongsi banyak persamaan.
"Kita mencintai Singapura dengan mendalam, mempunyai keinginan hebat memperbaiki kehidupan kita, dan kita mahu tinggal dalam masyarakat yang berkasih sayang," ujar Presiden.
Ramai warga Singapura yang kini menabur bakti dengan menyumbang wang dan tenaga sebagai sukarelawan, katanya.