Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Prinsip perjalanan hidup Som Said

May 28, 2023 | 05:31 AM



APABILA menyedari bahawa minatnya dalam bidang tarian tidak direstui arwah ibu pada peringkat awal, kekecewaan yang dirasakan memang tidak terkata.

Ibu Cik Som Said, Allahyarhamha Hjah Jaimah Bakri, prihatin bahawa bentuk seni itu mungkin membawa kepada pergaulan, pergerakan atau sentuhan yang tidak sepatutnya.

Ibunya juga mempersoalkan mengapa Cik Som perlu keluar rumah setiap hujung minggu untuk menghadiri latihan tarian.

“Memang pada masa itu beliau enggan membiarkan saya pergi,” kata Cik Som, dengan wajah yang menunjukkan emosi yang dirasakannya pada masa itu.

“Beliau berkata: ‘Kenapa anak dara nak pergi latihan tarian setiap minggu? Tak bagus. Wanita tak sepatutnya pergi menari. Tak bagus, apa lagi untuk wanita Melayu”.

“Saya datang dari keluarga yang konservatif, dan tarian tidak dianggap sebagai aktiviti yang dianggap baik atau sihat pada masa itu.”

Bapa Cik Som, Encik Mohd Said Basri, pula bertugas sebagai seorang pemandu lori bomba dan tidak banyak berkata-kata.

Sebagai seorang suri rumah membesarkan kesemua lapan anaknya, Allahyarhamha Hjah Jaimah begitu teliti dalam merancang.

Beliau biasanya menetapkan peraturan, ingat akan kejadian-kejadian penting, dan menurunkan tradisi keluarga.

Meskipun tidak pandai membaca atau menulis, beliau tidak membiarkan kekurangan itu membuat dirinya berasa kurang berguna.

Allahyarhamha Hjah Jaimah menambah pendapatan keluarga dengan mengadakan dan mengajar kelas memasak dan menjahit di rumahnya.

Beliau percaya nilai yang baik seperti hormat kepada ibu bapa dan orang tua perlu diutamakan melebihi keinginan meraih markah yang baik di sekolah.

“Beliau tak pernah menyuruh kita untuk jadi seseorang (yang berjaya) bila besar nanti,” kata Cik Som.

“Beliau berkata yang lebih penting ialah ‘Kau perlu jadi anak yang baik’.

“Beliau bukan ‘tiger mom’, tapi seorang ibu yang penyayang, konservatif dan tegas,” katanya.

Cik Som berusaha meyakinkan Allahyarhamha Hjah Jaimah secara bertahap.

Beliau menerangkan kepada ibunya tentang teman-teman beliau, membawanya ke latihan tarian untuk menunjukkan tentang keindahan seni tari itu.

“Saya membawanya bertemu dengan kumpulan seni saya, Sriwana, dan penonton yang menyaksikan persembahan itu biasanya terdiri daripada yang muda dan tua.

“Suasananya amat mesra keluarga dan semua orang menghormati satu sama lain,” kata Cik Som.

“Ibu saya dapat lihat perkara itu dan perlahan-lahan mula menerima dan memahami aktiviti yang saya lakukan. Tapi beliau tidak serta merta bersetuju dengan apa yang saya lakukan,” ujarnya.

Cik Som mengambil masa lebih dua tahun untuk meyakinkan Allahyarhamha Hjah Jaimah tapi semuanya akhirnya berbaloi.

Selepas diyakinkan, Cik Som berkata ibunya selalu bersengkang mata untuk menjahit pakaian tarian kumpulan seninya itu.

Pengalaman Cik Som dalam mengatasi kurang sokongan keluarga dan akhirnya berupaya meyakinkan ibunya mengajar beliau akan prinsip hidup yang kemudian dipegang teguh.

Pertama, ibu bapa mungkin tidak gembira dengan keputusan anak-anak namun ini tidak bermakna mereka tidak akan gembira seterusnya.

“Kita perlu tunjukkan kepada mereka bahawa pilihan kita itu bermakna bagi diri kita.

“Kedua, jika kita yakin dengan apa yang dilakukan, jangan biarkan sesiapa, termasuk individu tersayang, menggoyahkan kepercayaan itu.

“Ini kerana kita yang menentukan perjalanan hidup sendiri,” kata beliau.

Sekitar setahun selepas mengasaskan Sri Warisan pada 1997, Cik Som diminta oleh Sriwana untuk membuat pilihan sama ada untuk kekal bersama mereka atau meneruskan kegiatan dengan Sri Warisan.

Sebagai pengarah artistik Sriwana, beliau telah menerajui usaha reka tarinya.

Bagi pihak Sriwana, terdapat keprihatinan tentang konflik kepentingan di tengah-tengah kebimbangan persaingan antara dua kumpulan itu.

“Saya rasa amat sedih kerana saya telah mendakap mereka semua sebagai anak-anak saya,” kata Cik Som, yang menjadi sebak setiap kali teringat akan perpisahan itu.

“Dan anda tahu apa yang berlaku? Selama beberapa bulan saya kemurungan.”

Namun, beliau tidak berjumpa doktor.

“Oleh sebab ini persetujuan kolektif bahawa saya perlu tinggalkan kumpulan itu, ia bermakna saya tidak boleh berada di Sriwana,” kata Cik Som, yang mengeluh dan menundukkan kepala.

Perdamaian, jelasnya, berlaku bertahun-tahun kemudian semasa satu pementasan bersama pada 2010 yang melibatkan dua kumpulan itu, dipanggil Anak Wayang, mengenai kehidupan penari.

Mengimbas kembali kehidupannya, Cik Som berkata beliau mengingatkan dirinya supaya kekal ceria walaupun dalam keadaan mencabar.

Hidup tidak selalu lurus dan mudah. Jangkakan perkara yang tidak dijangka.

Dengan itu, apabila anda menyelesaikan masalah, anda boleh terima dengan lebih baik bahawa apa yang telah berlaku mungkin ada “hikmah di sebalik kejadian”.

Cik Som tidak pernah berasa kesal mengasaskan Sri Warisan, yang kini diterajui anaknya, Encik Adel Ahmad.

“Inilah yang saya ingin lakukan,” kata beliau.

“Ia mengambil masa perjalanan yang lama dan saya tidak tahu sama ada ia berjaya atau tidak. Tetapi, saya mahu menyediakan platform bagi profesionalisme,” kata Cik Som.

Dalam melayari perjalanan hidupnya, Cik Som berasa ibunya akan rasa bangga akan pencapaiannya.

“Saya tahu beliau gembira dan menyokong saya sehingga beliau meninggalkan kami,” kata Cik Som dengan suara perlahan.

Bakat Cik Som telah memberikan kelebihan dan peluang mewakili Singapura di pesta tarian utama.

Beliau menerima Pingat Kebudayaan Singapura pada 1987 dan Pingat Bakti Masyarakat pada 1992 bagi sumbangannya kepada tarian.

Pada 2004, beliau dianugerahkan Anugerah Persahabatan Antarabangsa Khas oleh Festival Internazionale del Folklore, sebuah pesta tahunan Itali diadakan di Agrigento, Sicily.

Anugerah itu mengiktiraf peranannya dalam membawa seni dan budaya Singapura ke persada antarabangsa.

Semasa mengakhiri wawancara, beliau menekankan perlunya “anda berani melayari hidup yang anda inginkan”.

“Anda perlu percaya,” kata beliau.

(Artikel dipetik dari buku Lessons For My Younger Self tulisan Gabriel Chan)




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >