Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Program kesihatan jantung skala besar dilancar, kenal pasti tanda tersembunyi

Dipanggil Projek Reset, lebih 10,000 warga usia 40-70 tahun akan jalani pemeriksaan
Sep 27, 2023 | 05:02 PM



Lebih 10,000 warga Singapura berusia 40 hingga 70 tahun akan diperiksa sebagai sebahagian daripada program kesihatan jantung yang dilaksanakan pada skala besar dipanggil Projek Reset, bagi mengenal pasti penyakit jantung yang “tersembunyi” dalam individu sihat supaya usaha mencegahnya dapat dilaksanakan.

Penyakit jantung merupakan punca kematian utama di Singapura.

Secara purata, sekitar 34 orang mengalami serangan jantung dan 23 orang meninggal dunia disebabkan serangan jantung setiap hari dan jumlah tersebut dijangka meningkat dengan warga Singapura yang semakin menua.

Menurut perangkaan, satu dalam tiga warga Singapura mungkin mengalami penyakit jantung yang tidak diketahui.

Bagi menangani cabaran ini, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, yang telah melancarkan projek tersebut semasa Simposium Pencegahan Penyakit Jantung di Hotel Singapore Mariott Tang Plaza pada Rabu, berkata timbul keperluan melabur dalam lebih banyak kajian dan membentuk gaya hidup sihat kerana sekadar menyediakan penjagaan yang baik bagi pesakit jantung tidak mencukupi.

Projek Reset, inisiatif kerjasama berskala besar yang diterajui Profesor Roger Foo dan pasukannya daripada Program Penyelidikan Translasi Penyakit Kardiovaskular-Metabolik, telah menerima geran sebanyak $25 juta.

“Seperti yang kita sedar, penyakit jantung merupakan pembunuh senyap. Arteri yang menyalurkan darah ke jantung boleh tersumbat secara senyap, tanpa diketahui, disebabkan faktor seperti pengambilan makanan yang tidak sihat, kurangnya aktiviti fizikal dan genetik.

“Projek Reset bertujuan menentukan tanda-tanda awal penyakit jantung dengan mengenal pasti petanda dari segi kardio, metabolik dan hati yang wujud dalam diri individu yang mempunyai penyakit jantung tetapi tidak mengalami sebarang gejala. Diharapkan dengan pertemuan ini, kita dapat menangani pembunuh senyap ini,” kata Encik Ong.

Pengkaji akan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menganalisis data dan mengenal pasti petanda awal, tambah Encik Ong.

Semasa pelancaran itu, Profesor Foo, seorang perunding kanan di Pusat Jantung Universiti Nasional, berkata penyakit jantung merupakan penyakit kompleks yang dipengaruhi pelbagai faktor, dan pasukan Projek Reset ini akan menilai data berbeza termasuk maklumat gaya hidup dan data klinikal pada skala besar yang belum pernah dijalankan sebelum ini.

“Kita ingin mengkaji penyakit ini dan mengenal pasti semua kaitan antara keadaan yang boleh menyebabkan seseorang menghadapi risiko tinggi mengalami penyakit jantung dan angin ahmar, termasuk arteri yang tersumbat, tekanan darah tinggi, hati yang terlalu banyak lemak dan ventrikular fibrosis (dinding jantung yang berparut).

“Hasil daripada usaha ini akan memaklumkan kita mengapa seorang pelari maraton boleh rebah dengan tiba-tiba dan meninggal dunia atau mengapa seorang individu muda boleh meninggal dunia dalam tidur,” kata Profesor Foo.

Projek Reset akan mengenal pasti 3,000 peserta bagi program susulan selama lima tahun, dengan teknologi baru yang dapat membantu mereka menangani penyakit jantung yang tersembunyi boleh digunakan.

Peserta akan diberi jam tangan bijak selama lima tahun, dan akan menjalani program realiti maya yang lengkap dengan sarung tangan yang membolehkan pengguna “memegang” sendiri ketegangan tisu hati mereka serta merasakan denyutan jantung semasa perbincangan kesihatan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >