Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Program urus pokok NParks bantu kurangi insiden pokok tumbang

NParks turut guna teknologi buat analisis risiko, perbaiki proses pemeriksaan
Mar 04, 2021 | 05:30 AM



PROGRAM pengurusan pokok komprehensif yang dikendalikan Lembaga Taman Negara (NParks), telah mengurangkan jumlah insiden pokok tumbang atau akar dan dahan yang patah hampir sembilan kali ganda, dari 3,100 pada 2000 kepada 339 pada tahun lalu, kata Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee.



Program tersebut merangkumi pemeriksaan berkala dan langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko pokok tumbang atau akar dan dahan yang patah.



Walau bagaimanapun, Encik Lee menegaskan bahawa ia tidak mungkin untuk mencegah sepenuhnya insiden berkaitan pokok kerana pokok merupakan organisma hidup yang juga boleh dijangkiti penyakit dan serangan serangga perosak, serta keadaan persekitaran.



"Pokok yang sihat dan kuat secara struktur juga boleh mengalami kerosakan seperti semasa cuaca buruk disebabkan angin kencang atau hujan lebat," kata beliau di Parlimen semalam.



Encik Lee berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Cik Hany Soh (GRC Marsiling-Yew Tee) dan Encik Shawn Huang (GRC Jurong) mengenai rejim pemeriksaan pokok yang dijalankan NParks kini.



Ini menyusuli kematian seorang wanita berusia 38 tahun setelah dihempap sebatang pokok yang tumbang di Taman Marsiling pada 18 Februari lalu.



Pesuruhjaya taman dan rekreasi NParks, Dr Leong Chee Chiew, berkata pokok Araucaria excelsa setinggi 20 meter dan mempunyai ukur keliling 1.3 meter itu didapati sihat ketika kali terakhir diperiksa pada April tahun lalu.



Encik Lee berkata NParks mempunyai rejim pemeriksaan dan pemeliharaan pokok yang ketat yang selaras dengan Amalan Pengurusan Terbaik, Persatuan Arborikultur Antarabangsa (ISA).



Pemeriksaan pokok secara berkala dilakukan oleh pemeriksa terlatih setiap enam hingga 24 bulan, bergantung pada lokasi dan ukuran pokok. Pokok yang berdekatan dengan kawasan yang sering digunakan orang ramai akan diperiksa lebih kerap, menurut Encik Lee lagi.



"Semasa pemeriksaan pokok, pemeriksa NParks akan melakukan pemeriksaan visual menyeluruh mengenai bahagian atas pokok, dahan, batang dan akar untuk menilai kesihatan dan kestabilan pokok tersebut.



"Pokok yang didapati mempunyai kerosakan akan menjalani pemeriksaan mendalam tambahan, yang melibatkan penggunaan peralatan diagnostik untuk menilai keadaan dalaman pokok berkenaan," ujarnya.



Lebih dari sekadar melakukan pemeriksaan, NParks juga menerapkan langkah-langkah lain untuk mengurangkan risiko kerosakan pokok.



Antaranya menjalankan rawatan arborikultur yang disasarkan untuk meningkatkan kesihatan pokok dan kemampuannya untuk bertahan sewaktu keadaan cuaca buruk dan NParks juga secara progresif menggantikan spesies pokok yang rentan ribut dengan spesies yang lebih berdaya tahan.



Selain itu, NParks turut menggunakan teknologi untuk membuat analisis terhadap risiko dan memperbaiki proses pemeriksaan.



Kursus latihan yang dikendalikan pakar arborikultur antarabangsa dan tempatan, juga ditawarkan kepada kakitangan NParks serta pegawai penjagaan pokok di sektor swasta dan agensi awam lain yang menguruskan pokok.



Terdapat lebih daripada 620 ahli arboris di Singapura yang mendapat pengiktirafan ISA.



NParks juga mewajibkan kontraktor penyelenggaraan pokoknya untuk mengambil arboris yang berkelayakan dalam pasukan mereka, kata Encik Lee lagi.



Encik Lee berkata pihaknya kesal dengan kejadian yang berlaku di Taman Marsiling dan insiden itu perlu dielakkan daripada berlaku lagi.



Beliau berkata: "Satu kematian dan kecederaan akibat insiden pokok tumbang adalah terlalu banyak.



"Rakan-rakan saya di NParks dan masyarakat arboris akan terus bekerja keras, hari demi hari untuk memelihara alam persekitaran kami agar taman dan kawasan semula jadi, selamat untuk dinikmati oleh semua penduduk Singapura."




USAHA PEMERINTAH URUSKAN POKOK



1) Jangka masa pemeriksaan



Pemeriksaan pokok dilakukan secara berkala oleh pemeriksa terlatih setiap enam hingga 24 bulan, bergantung pada lokasi dan ukuran pokok. Pokok di kawasan yang sering digunakan orang ramai akan diperiksa lebih kerap.



2) Kesihatan pokok jadi keutamaan



NParks menjalankan rawatan arborikultur yang disasarkan untuk meningkatkan kesihatan pokok dan kemampuannya untuk bertahan dalam keadaan cuaca buruk.



Dahan pokok yang lemah dan kering atau terlalu lebat akan dicantas agar dapat memperbaiki struktur dan keseimbangan pokok.



3) Menggantikan pokok yang boleh membahayakan



NParks secara progresif menggantikan spesies pokok yang rentan ribut dengan spesis yang lebih berdaya tahan.



4) Manfaatkan teknologi



NParks menggunakan teknologi untuk membuat analisa terhadap risiko dan memperbaiki proses pemeriksaan. Teknologi baru bagi mengesan keadaan persekitaran yang buruk, seperti angin kencang, yang boleh menjejas keutuhan struktur pokok sedang diuji. Ini akan membantu NParks untuk menentukan cara mencantas yang sesuai untuk meningkatkan kestabilan pokok dengan lebih baik.



5) Bina kepakaran



NParks jalankan kursus latihan yang dikendalikan pakar arborikultur antarabangsa dan tempatan, yang ditawarkan kepada kakitangan NParks serta pegawai penjagaan pokok di sektor swasta dan agensi awam lain yang menguruskan pokok.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >