WARGA Singapura berusia 60 tahun dan ke atas boleh menjalani pemeriksaan kesihatan mata, pendengaran dan mulut pada harga $5 atau kurang daripada itu.
Khidmat itu ditawarkan di bawah program Projek Pemeriksaan Kesihatan Warga Emas (Project Silver Screen), yang merupakan kerjasama antara Kementerian Kesihatan dengan Yayasan Temasek.
Menteri Kedua Kesihatan, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, menggalakkan warga emas untuk menjalani pemeriksaan kesihatan tersebut.
"Tahun baru menandakan permulaan baru, dan kita boleh bermula dengan membuat penyesuaian sihat - dengan mempunyai pemakanan seimbang, kerap bersenam, bebas daripada rokok, dan cukup berehat.
"Satu perkara penting yang selalu diabaikan adalah menjalani pemeriksaan kesihatan," kata Encik Masagos dalam satu catatan di media sosial, semalam.
Salah satu pemeriksaan tersebut ialah pemeriksaan fungsi yang memeriksa kesihatan mata, telinga dan mulut.
Ini penting khususnya bagi warga emas untuk mengesan tanda-tanda awal kemerosotan fungsi, kata Encik Masagos.
"Dengan rawatan dan perubahan gaya hidup yang sewajarnya, warga emas boleh hidup secara aktif dan berdikari dalam usia senja mereka," kata Encik Masagos.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai cara menempah janji temu bagi pemeriksaan itu di laman https://www.healthhub.sg/programmes/144/functional-screening.
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Hotline AIC di 1800 650 6060 dari 8.30 pagi hingga 8.30 malam (Isnin hingga Jumaat), atau 8.30 pagi hingga 4 petang (Sabtu), kecuali pada cuti umum.
Mereka juga boleh mendaftar di pautan ini: https://www.form.gov.sg/forms/pgo/5c45c47aaf7dc60010e5dbb5