Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

HENTI IMPORT DAGING DARI RUMAH SEMBELIH THOMAS FOODS INTERNATIONAL DARI AUSTRALIA

Proses sembelih automasi, sukar jamin prosedur halal dipatuhi

Dalam wawancara dengan BH, bekas pekerja penyembelih Thomas Foods International Lobethal dedahkan keselamatannya terancam
Jun 01, 2022 | 05:30 AM



Berikut kenyataan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berhubung pertanyaan BERITA HARIAN mengenai kesahihan status halal bekalan daging Thomas Foods International. 




SAKSI utama yang membuat pendedahan awal mengenai syarikat penyembelihan Thomas Foods International Lobethal (TFIL) berkata proses penyembelihan yang telah diautomasi menjadikannya sukar untuk TFIL menjamin prosedur halal dipatuhi sepenuhnya.



Antara prosedur yang tidak dipatuhi, menurut beliau, ialah memastikan penyembelihan dilakukan seorang Muslim.



Warga Australia asal Somalia yang beragama Islam itu, yang tidak mahu identitinya didedahkan atas sebab-sebab keselamatan, berkata demikian dalam satu wawancara dengan Berita Harian (BH) Khamis lalu.



Beliau, yang mendakwa telah bekerja sebagai penyembelih sejak 2006 dan memiliki sijil pengiktirafan dari Majlis Islam Tertinggi bagi Daging Halal di Australia (SICHMA), telah mengeluarkan rakaman video yang menunjukkan amalan-amalan yang tidak mematuhi peraturan dan prosedur penyembelihan secara halal.



Sejak itu, beliau memberitahu BH, keselamatan dirinya telah terancam, sekali gus memaksa beliau memberikan wawancara ini tanpa identiti sebenarnya didedahkan.



"Saya tidak boleh lagi berdiam diri kerana tidak mahu bersubahat mengedarkan daging yang tidak halal kepada masyarakat Islam," katanya, yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah, dalam wawancara secara maya itu.



Semalam, menjawab pertanyaan BH, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengeluarkan arahan untuk semua pemilik sijil halalnya agar serta-merta menghentikan penggunaan dan import produk daging daripada TFIL.



Dalam kenyatannya, Muis berkata:



"Ini adalah kerana hasil siasatan itu menunjukkan terdapat landasan kukuh bagi merumuskan kesahihan status halal bekalan daging dari rumah sembelih TFIL itu telah dikompromi.



"Penemuan Muis adalah bersandarkan fakta dan input yang dibentangkan pihak berkuasa yang cekap.



"Muis juga sedang berhubung dengan pemegang sijil yang telah mengimport daging dari TFIL agar mendapatkan bekalan daging daripada pembekal halal alternatif yang sah.



"Selepas ini, Muis akan menjalankan pemeriksaan bagi memastikan pemegang sijilnya mematuhi peraturan yang ditetapkan.



"Sebarang penggunaan bekalan tidak halal dianggap melanggar piawaian halal Muis."



Menjawab pertanyaan susulan BH, Muis berkata daging import dari TFIL hanya membentuk sebahagian daripada bekalan daging halal import dari Australia.



"Secara keseluruhan, bekalan daging halal di sini tidak terjejas," ujar jurucakap Muis.



Mengenai apa yang boleh dilakukan pengguna sebagai langkah berjaga-jaga, Muis menerangkan etiap loji penyembelihan yang diiktiraf oleh pihak berkuasa yang layak di negara asal mempunyai nombor loji unik.



Nombor loji TFIL adalah AU 866.



Apabila membeli produk daging dari pasar raya, pelanggan Muslim boleh mengelakkan daripada membeli produk daging dengan nombor tersebut.



"Produk daging dari Australia yang dicap halal dan tidak mempunyai nombor AU 866 boleh digunakan oleh pelanggan Muslim," kata jurucakap itu lagi.



Sementara itu, BH telah menghubungi kededua SICHMA dan syarikat TFIL untuk mendapatkan respons.



Pegawai SICHMA yang menjawab panggilan telah meminta wartawan mengirimkan jawapan menerusi e-mel untuk dibalas.



Namun, sehingga akhbar ini dicetak, pihak berkuasa Australia itu belum menjawab e-mel tersebut.



Percubaan BH mendapatkan jawapannya TFIL juga tidak terjawab.



Dalam pada itu, selain Muis, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengambil tindakan yang sama ke atas TFIL menyusuli maklum balas terhadap amalan penyembelihan syarikat itu.



Ia kemudian menjalankan pemeriksaannya ke atas pusat penyembelihan tersebut.



Menurut Jakim, pusat penyembelihan itu membekalkan 18 peratus bekalan daging kambing ke Malaysia.



BH juga telah menghubungi Jakim untuk maklumat lanjut, namun belum mendapatkan respons sehingga akhbar ini dicetak.



Menurut perangkaan dari sumber perusahaan halal Australia, TFIL, yang mempunyai dua pusat penyembelihan, membekalkan kira-kira 10 peratus keperluan daging ke Singapura.




KENYATAAN MUIS BERHUBUNG PERTANYAAN BERITA HARIAN MENGENAI KESAHIHAN STATUS HALAL BEKALAN DAGING THOMAS FOODS INTERNATIONAL



MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis), selepas satu siasatan yang dijalankan bersama beberapa pihak yang terlibat, telah mengarah pemilik sijil halalnya agar serta-merta menghentikan penggunaan dan import produk daging dari rumah sembelih Thomas Foods International Lobethal (TFIL).



Ini adalah kerana hasil siasatan itu menunjukkan terdapat landasan kukuh bagi merumuskan kesahihan status halal bekalan daging dari rumah sembelih TFIL itu telah dikompromi.



Penemuan Muis adalah bersandarkan fakta dan input yang dibentangkan pihak berkuasa yang cekap.



Muis juga sedang berhubung dengan pemegang sijil yang telah mengimport daging dari TFIL agar mendapatkan bekalan daging daripada pembekal halal alternatif yang sah.



Selepas ini, Muis akan menjalankan pemeriksaan bagi memastikan pemegang sijilnya mematuhi peraturan yang ditetapkan.



Sebarang penggunaan bekalan tidak halal dianggap melanggar piawaian halal Muis.



Muis sangat komited dalam mengekalkan kesahihan bekalan makanan halal kepada masyarakat Muslim di Singapura.




Respons tambahan Muis



1) Apakah antara langkah dilaksanakan Muis untuk memastikan pemegang sijil halal di Singapura sedar dan akur akan keperluan menghentikan pengedaran produk daging terjejas dari loji penyembelihan Thomas Foods International Lobethal (TFIL)?



Jawapan: Muis telah mengenal pasti golongan pemegang sijil halal dan kini dalam perbincangan secara langsung dengan mereka untuk mengemukakan aturan alternatif bagi mendapatkan bekalan yang mematuhi syarat halal.



2) Mungkinkah bekalan daging halal di Singapura terjejas dek kejadian ini?



Jawapan: Daging import dari TFIL hanya membentuk sebahagian daripada bekalan daging halal import dari Australia. Secara keseluruhan, bekalan daging halal di sini tidak terjejas.



3) Apakah alternatif yang boleh dilakukan mereka yang kini menggunakan produk dari TFIL?



Jawapan: Setiap loji penyembelihan yang diiktiraf oleh pihak berkuasa yang layak di negara asal mempunyai nombor loji unik.



Nombor loji TFIL adalah AU 866.



Apabila membeli produk daging dari pasar raya, pelanggan Muslim boleh mengelakkan daripada membeli produk daging dengan nombor tersebut.



Produk daging dari Australia yang dicap halal dan tidak mempunyai nombor AU 866 boleh digunakan oleh pelanggan Muslim.




"Ini adalah kerana hasil siasatan itu menunjukkan terdapat landasan kukuh bagi merumuskan kesahihan status halal bekalan daging dari rumah sembelih TFIL itu telah dikompromi.

Penemuan Muis adalah bersandarkan fakta dan input yang dibentangkan pihak berkuasa yang cekap."

- Kenyataan Muis.



"Saya tidak boleh lagi berdiam diri kerana tidak mahu bersubahat mengedarkan daging yang tidak halal kepada masyarakat Islam."
- Warga Australia asal Somalia yang beragama Islam dan hanya mahu dikenali sebagai Abdullah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >