Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Dakwah Ustaz Tarmizi dalam bahasa Inggeris popular di luar negara

Kebolehan, kecekapan dan kelancaran asatizah setempat menyampaikan ceramah dalam bahasa Inggeris kini mempunyai tarikannya yang tersendiri di seberang Tambak. Malah kehadiran para asatizah ini amat dialu-alukan memandangkan bilangan mereka yang lebih selesa mendengar dan menerima ceramah agama dalam bahasa Inggeris kian bertambah di Malaysia. Atas permintaan ini, beberapa asatizah setempat seperti Ustazah Liyana Musfirah Anwar dan Ustaz Tarmizi Wahid sering diundang untuk pelbagai sidang berbentuk keislaman yang turut dihadiri dan dianjurkan oleh selebriti terkenal di sana. BERITA HARIAN meninjau usaha asatizah usahawan ini menebarkan sayap ke luar negara sambil mengekalkan jenama Singapura.
Sep 19, 2022 | 05:30 AM



SATU ketika dulu, Ustaz Muhammad Tarmizi Abdul Wahid pernah terfikir mengapa apabila Singapura menganjur forum keagamaan, panelis luar negara pasti akan diundang dan selalunya dibayar lebih tinggi daripada asatizah setempat.



Terdetik dalam hati, apakah mungkin satu hari nanti asatizah Singapura pula diundang ke luar negara dan mendapat layanan istimewa serupa itu.



Ternyata 15 tahun kemudian, barulah impian itu dapat direalisasikannya.



Ustaz Tarmizi yang lebih mesra dengan panggilan Ustaz Mizi, kini bukan sahaja diundang berceramah di samping selebriti terkenal Malaysia malah turut memberi ceramah kepada beberapa keluarga di-Raja di sana seperti di Pahang dan Selangor.



Menurutnya, bilangan golongan pertengahan, profesional dan lulusan universiti yang baru menamatkan pengajian di luar negara yang dahagakan kandungan berbentuk keislaman dalam bahasa Inggeris, semakin meningkat.



Melihat kekosongan itu, Ustaz Mizi mula memberanikan diri dan mengorak langkah pada 2017, menawarkan ceramah bersifat kerohanian dalam bahasa Inggeris.



Bermula dengan hanya 200 tetamu, bilangannya kemudian meningkat kepada 2,000 hadirin pada 2019.



Buku tulisannya, The Art of Letting God mendapat perhatian beberapa selebriti dan pempengaruh terkenal Malaysia seperti Neelofa, Lisa Surihani dan Mizz Nina.



"Saya perlu berterima kasih kepada peminat mereka yang menghadiahkan buku saya kepada selebriti itu. Perkongsian selebriti seperti Neelofa dalam media sosialnya mengenai buku saya secara tidak langsung mengembangkan pengikut saya kepada mereka di seberang Tambak," katanya yang mempunyai lebih 135,000 pengikut di Instagram.



Ustaz Mizi berkata jenama Singapura yang mahir bertutur dalam bahasa Inggeris selain pemahaman terhadap keperluan Nusantara, menjadikan asatizah sepertinya diminati ramai.



"Mereka boleh sahaja mendapatkan pengetahuan keagamaan daripada pendakwah asal United Kingdom dan sebagainya tetapi mereka memilih asatizah Singapura seperti saya kerana saya lebih memahami budaya, lingo dan konteks mereka dengan lebih baik," katanya.



Sekitar bulan lalu juga, Ustaz Mizi telah diundang oleh pihak kementerian Brunei untuk mengadakan ceramah tiga hari bersama beberapa individu berkepentingan berbeza di sana termasuk para pegawai daripada pelbagai pihak kementerian dan belia.



Beliau juga berpeluang bertemu Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah semasa di sana.



Dalam pada itu, beberapa pengikutnya di Brunei juga telah membeli token tidak mudah alih (NFT) - Miziology NFT yang memberi mereka akses kepada sesuatu yang berbentuk ketara (tangible) miliknya seperti barisan tempat duduk pertama apabila menghadiri ceramahnya ataupun menjadi antara yang pertama untuk mendapatkan buku terbarunya.



Beliau telah melancarkan sekitar 100 NFT awal tahun ini dengan yang tertinggi berharga sekitar $300. Sejauh ini sepertiga telah pun dijual.



Buat masa ini, asatizah usahawan ini juga merupakan pelabur kepada beberapa syarikat pemula (start-up) di Malaysia termasuk sebuah syarikat ladang udang galah dan sedang meninjau untuk meneroka pasaran penerbitan buku pula.



Beliau turut berharap sepertimana, pelakon dan penyanyi berbakat tanah air merebut peluang mengembangkan sayap mereka ke seberang Tambak, lebih ramai asatizah setempat juga mengambil langkah berani sedemikian.



"Penting kita perlu sabar. Pastinya banyak cabaran dan adakalanya mungkin ia tidak menjadi seperti mana yang kita idamkan. Tetapi jika niat kita murni, insya-Allah akan ada jalannya," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >