Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Sajak 'diperam' lama akhirnya menang anugerah

Dec 14, 2021 | 05:30 AM



Ada pepatah menyatakan 'Mata pena itu lebih tajam daripada pedang'. Justeru, kata-kata yang dirangkaikan dalam bentuk cerpen mahupun sajak mampu menggoncang masyarakat dan membuat mereka berfikir tentang isu semasa. Pada Sabtu lalu, seramai 38 penulis cerpen dan puisi dalam bahasa Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris, diiktiraf Arts House Ltd (AHL) dalam majlis penyampaian Anugerah Pena Emas 2021. BERITA HARIAN melaporkan kisah tiga pemenang dalam kategori Melayu yang terus berkarya dalam tempoh mencabar pandemik Covid-19.




BEBERAPA kuntuman sajak yang dikirimkan Encik R Azmann A Rahman bagi sayembara Anugerah Pena Emas 2021 sudah 'diperam' lama.



Dari masa ke masa, beliau akan membacanya semula dan mengubah elok atau membaikinya untuk lebih memurnikan lagi karya tersebut.



Setelah dua kali tiada rezeki memenangi sebarang hadiah bagi Anugerah Pena Emas 2017 dan 2019, Encik R Azmann, 52 tahun, dinobatkan sebagai juara kategori Puisi Melayu, Anugerah Pena Emas 2021.



Ketua Subjek Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Ahmad Ibrahim itu membawa pulang wang tunai $7,000, sijil dan piala.



Lima sajak yang dikirimkannya bagi peraduan ini bertajuk Deru Derap Dongeng-dongengan, Di Hujung Tumit Sendiri, Titah Atas Dakota, Panglima Menolak Tanjak dan Tembusu yang Tumbang.



Ketika dihubungi Berita Harian, Encik R Azmann berkata:



"Karya-karya ini berdasarkan pengamatan, pengalaman dan harapan peribadi saya sendiri.



"Pada dasarnya ia berkisar mengenai dunia kita yang terus berputar dan sentiasa berubah.



"Deru Derap Dongeng-dongengan, misalnya, menggambarkan perubahan minda. Manusia yang lalai akan menjerat diri sendiri dan menjatuhkan masyarakatnya sekali.



"Di Hujung Tumit Sendiri adalah mengenai perubahan sikap. Ia menekankan pentingnya sikap berani. Kita perlu berani membiarkan anak-anak kita mencuba, meneroka dan membuat kesilapan."



Titah Atas Dakota, jelasnya, menyampaikan tentang perubahan demi pembangunan. Dunia yang terus-menerus membangun, tidak meninggalkan banyak ruang untuk manusia terus berpaut pada emosi dan kenangan.



Panglima Menolak Tanjak pula menunjukkan tentang perubahan kuasa.



"Yang berpangkat dan bernama belum tentu mampu menggalas harapan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan ke atas dirinya.



"Akhir sekali, Tembusu yang Tumbang mengisahkan tentang perubahan masa. Masa dengan sendirinya mampu menumbangkan kuasa dan kehebatan," katanya lagi.



Encik R Azmann yang meminati penulisan kreatif sejak di sekolah rendah menganggap karya yang dikirimkan bagi Anugerah Pena Emas mendokumentasikan perasaan, pandangan dan harapannya.



"Sebenarnya, puisi ini ditulis bukan untuk tujuan bertanding dalam Anugerah Pena Emas. Ia sebenarnya karya yang sudah agak lama saya 'peram'.



"Sebelum ini, saya pernah memenangi sayembara Pesta Puisi Nasional. Saya berada di tempat kedua pada 2018 dan 2021. Pada 2019, saya menjuarai sayembara ini," jelasnya.



Encik R. Azmann masih mengingati bahawa guru bahasa Melayunya sering mendenda kelasnys sekiranya murid-murid bising.



"Kalau tak nak 'stay back' (diminta tunggu), kami kena berkarya di depan kelas - karang pantun, menyanyi atau apa-apa saja.



"Secara tak langsung, denda tersebut telah menanam minat saya pada pantun Melayu. Di sekolah menengah, saya lebih kerap menghayati seni kata lagu-lagu Melayu dan mula cuba-cuba menulis.



"Saya benar-benar aktif menulis semasa di pusat pra-universiti setelah melibatkan diri dalam seni dikir barat," kongsinya lagi.



Melalui penulisan, Encik R. Azmann dapat menyelam dan menghayati apa yang berlaku di sekelilingnya sehingga mencetus kesedaran pada diri sendiri atau menyuntik semangat baru.



Ada kisah di sebalik setiap karyanya. Contohnya, Tembusu Yang Tumbang diilhamkan selepas sebatang pohon Tembusu di Kebun Bunga Singapura tumbang pada 2017.



Idea untuk menulis Titah Atas Dakota pula tercetus selepas beliau mendapat tahu bahawa estet perumahan Dakota akan dirobohkan untuk memberi jalan pada pembangunan.



Tiada hadiah kedua disampaikan apabila pemenangnya menarik diri kerana ketetapan peraduan yang tidak dipenuhi.



Encik Herman Rothman pula meraih hadiah ketiga dengan puisi Lawatan Percuma Ke Muzium dan puisi lain.



Encik Mohamed Pitchay Gani Mohamed Abdul Aziz (Tuan Raffles dan puisi lain) serta Encik Ahmad Syarifuddin (Sikap dan puisi lain) pula menerima Hadiah Sebutan Khas.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >