Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sasterawan Mohamed Latiff Mohamed meninggal dunia di Melbourne

Oct 13, 2022 | 08:29 PM



SASTERAWAN Singapura dan penerima Anugerah Pingat Budaya, Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Encik Mohamed Latiff Mohamed, meninggal dunia di Melbourne, Australia sekitar 7 malam (waktu Australia) atau 4 petang (waktu Singapura) pada Khamis (13 Oktober).



Ini disahkan anaknya, Encik Mohamed Haikel Fansuri Mohamed Latiff, 35 tahun, seorang perunding cara yang berpangkalan di Jerman, ketika dihubungi Berita Harian menerusi WhatsApp.



Beliau dalam penerbangan dari Jerman ke Singapura sebelum ke Melbourne bersama isterinya Cik Rita Zuhaida yang bertugas di Singapura.



Allahyarham Mohamed Latiff yang berusia 72 tahun dikatakan meninggal dunia dalam tidur. Punca kematiannya dikatakan adalah kerana faktor alamiah dan usia.



"Arwah ayah saya berhijrah ke Melbourne pada 2015. Beliau menetap di sana dengan ibu saya dan keluarga abang saya.



"Pada Julai lalu, saya bercuti di sana dan sebenarnya merancang untuk mengunjunginya lagi pada awal tahun depan," jelas Encik Haikel yang menyatakan ayahnya mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan darah tinggi.



Dalam laporan Berita Harian bertarikh 23 Oktober 2013, dilaporkan tentang perjuangan seni penulisannya yang tidak mengenal penat lelah.



Meskipun ada yang tersinggung dengan kata-kata jujurnya tentang isu kepincangan masyarakat, tiada noktah yang dapat menghentikan semangatnya berkarya.



Atas usaha cemerlang membangun dunia kesusasteraan Melayu, Allahyarham dianugerahi Pingat Budaya yang disampaikan Presiden ketika itu, Dr Tony Tan Keng Yam di Istana.



Mengamati setiap kepincangan mahupun jerih payah masyarakat Melayu di era pasca merdeka Singapura membuat Allahyarham diulit rasa gusar.



Suara lantang lagi jujur sasterawan prolifik ini kemudian ‘dilantunkan’ dalam karya-karya berupa sajak, cerpen dan novel.



Seawal usia 16 tahun, penanya tajam diasah dan beliau mencoretkan sepotong sajak bertajuk Kepincangan yang tersiar di lembaran majalah Sekolah Menengah Tun Seri Lanang.



Tidak diduga, hampir lima dekad selepas itu, sajak tersebut masih tersimpan rapi di Muzium British, nun jauh di kota London.



Allahyarham Mohamed Latiff akur dirinya dihujani kritikan oleh golongan yang payah menerima karya terus terangnya, yang dianggap membuka pekung masyarakat Melayu.



Namun, niatnya hanya satu – menyindir-nyindir sayang masyarakat yang dikhuatiri hanyut dek arus kemodenan dan budaya pop yang datang dengan pukulan ‘taufan’, menakluki minda dan jiwa yang lesu dan terpengaruh.



Allahyarham yang aktif bersama Angkatan Sasterawan '50 (Asas '50) pernah memenangi beberapa Anugerah Sastera Singapura bagi karyanya seperti antologi puisi Bagiku Sepilah Sudah dan Bila Rama-Rama Patah Sayapnya serta antologi cerpen Nostalgia Yang Hilang.



Beliau juga penerima Anugerah Tun Seri Lanang pada 2003 dan penerima Anugerah Kesusasteraan Montblanc-Pusat Kesenian NUS.



Beberapa karyanya juga diterjemah ke dalam bahasa Inggeris seperti buku puisi A Crackle of Flames, A Circle of Rainbow dan antologi cerpen Lost Nostalgia.



Menyingkap jasa Allahyarham, penulis dan pendidik Cik Noor Hasnah Adam berkata:



"Allahyarham dah macam mentor saya. Kalau beliau di Singapura, kami selalu jumpa dan minum petang sambil berbincang tentang sastera.



"Banyak perkara saya belajar tentang penulisannya. Saya juga lebih fahami karekter Allahyarham.



"Pemergiannya ke Melbourne sahaja sudah merupakan satu kehilangan apatah lagi kini setelah Allahyarham meninggal dunia.



"Saya minat dengan puisi Allahyarham terutamanya 'Melayuku Melayumu' dan 'Tekad'.



"Banyak rahsia puisi ini Allahyarham ceritakan dan biarlah menjadi rahsia. Singapura telah kehilangan penulis hebat."



Jenazah Allahyarham Mohamed Latiff dijadualkan dibawa ke Masjid Al-Iman College pada 10.30 pagi (waktu Australia) dan kemudian disolatkan selepas solat Jumaat sekitar 2.30 petang (waktu Australia).



Jenazahnya kemudian akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bacchus Marsh.



Allahyarham meninggalkan seorang balu, Cik Jamaliah Md Noor, 69 tahun, dua anak, Md Khairil, 48 tahun, dan Mohamed Haikel Fansuri serta dua cucu berusia 18 dan lima tahun.

 



 



 



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >