Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

LAPORAN KHAS

Sejarah penubuhan sistem kariah

May 02, 2023 | 05:30 AM



SISTEM kariah dirintis oleh Masjid An-Nur pada 1986 yang memperkenalkan konsep 'kampung-kampung kecil' atau kejiranan dalam sebuah estet perumahan yang luas demi memastikan keluarga-keluarga di sana tidak ketinggalan oleh perkembangan sekeliling.



Idea kariah, yang berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud kampung, dicetuskan oleh mantan pengerusi lembaga pentadbir (LPM) masjid itu, yang juga mantan Presiden Mahkamah Syariah, Allahyarham Haji Abu Bakar Hashim.



Konsep itu timbul hasil daripada keinginan LPM An-Nur memanfaatkan sepenuhnya masjid itu sebagai nadi pembangunan masyarakat Islam di kejiranan Marsiling dan Woodlands ketika itu.



Langkah LPM An-Nur itu disusuli Masjid Al-Khair, yang membentuk majlis kariah bagi penduduk Islam di estet Choa Chu Kang dan Teck Whye.



Ia adalah majlis kariah pertama di bawah naungan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).



Mantan Setiausaha Kehormat LPM An-Nur, Encik Ramli Puteh, dalam pandangannya yang disiarkan dalam akhbar ini, berkata sistem kariah dibentuk untuk menjadi penghubung antara masyarakat dengan masjid menerusi jalinan berbentuk dua hala.



Beliau menambah, ini bermakna penduduk Muslim di kariah akan diberitahu apa saja yang berlaku di masjid dan diajak menyertai program-program anjuran masjid.



Pada masa yang sama, mereka juga akan menyalurkan maklumat - menerusi ketua-ketua kariah - kepada masjid mengenai keperluan mereka.



Sistem kariah Masjid An-Nur dimulakan dengan penubuhan 10 kariah dengan setiap kariah dianggotai penduduk dari sekurang-kurangnya 10 blok flat. Ada juga kariah yang besar saiznya dan terdiri daripada sehingga 20 blok flat.



Setiap kariah dinamakan berdasarkan angka.



Pengerusi Kariah Pusat An-Nur, Encik Sulaiman Sardi, memberitahu Berita Harian bahawa dari tahun ke tahun, sistem kariah semakin diterima penduduk dan kini terdapat sebanyak 31 kariah di bawah naungan masjid itu.



Setiap kariah mempunyai jawatankuasa pengendalinya sendiri yang dilantik sendiri oleh penduduk.



Setiap kariah akan mengirim dua wakil ke dalam Kariah Pusat, salah sebuah jawatankuasa di bawah LPM An-Nur.



Setiap kariah bebas mengatur kegiatan masing-masing, yang biasanya tertumpu pada sambutan hari kebesaran Islam, menganjurkan kumpulan membaca Surah Yasin, kelas agama dan kegiatan lain yang menggalakkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk.



Peranan Kariah Pusat adalah memberi bantuan kepada kariah menjayakan kegiatannya.



Contohnya, kariah boleh mendapatkan bantuan mendapatkan tenaga pengajar untuk kelas-kelas agama mereka.



Pada mulanya, Masjid An-Nur telah melantik imam kanannya pada ketika itu, Drs Ustaz Ahmad Dahri, sebagai duta yang menghubungkan masjid dengan penduduk di kariah.



"Selain menjadi guru kelas-kelas agama mingguan yang diadakan di kariah, Ustaz Ahmad Dahri juga menyampaikan kepada penduduk apa saja program anjuran masjid serta perkhidmatan yang disediakan oleh pihak masjid.



"Wakil-wakil kariah pula akan memberitahu masjid apa saja keperluan penduduk. Umpamanya, penduduk yang susah akan dirujukkan kepada Jabatan Kebajikan Masjid," kata Encik Sulaiman, yang juga Setiausaha LPM An-Nur.



Menurut Pengerusi Eksekutif LPM An-Nur, Encik Juraiman Rahim, pula, penduduk di kariah yang memerlukan pelbagai khidmat lain seperti khidmat guaman percuma, khidmat kaunseling dan lain-lain akan turut dirujukkan kepada agensi sosial Melayu-Islam yang menyediakan khidmat yang diperlukan.



"Bagi kegiatan sosial, kami pernah mengadakan program Dr Bola dan pertandingan bola sepak yang bertujuan membimbing remaja memanfaatkan masa.



"Masjid An-Nur juga pernah bekerjasama dengan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) untuk mengadakan kempen 'Dadah Itu Haram' dan dengan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan dan menggalakkan gaya hidup sihat bagi warga emas," katanya.



Kesemua khidmat ini, tambah Encik Juraiman, disediakan untuk memastikan masyarakat Islam di Marsiling dan Woodlands tidak menjadi masyarakat yang ketinggalan dan terasing daripada arus kehidupan masyarakat hari ini.



"Saya harap sistem kariah ini tetap bergerak dan peranannya dapat dikembangkan lagi dengan jalinan kerjasama dengan pihak kepimpinan akar umbi seperti di balai rakyat dan rangkaian Muis, Mendaki dan Majlis Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) atau M Kuasa Tiga (M3).



"Saya harap hubungan mesra antara masjid dengan penduduk tetap kuat, sekali gus mengembangkan lagi kegiatan keagamaan, kemasyarakatan dan sosial untuk masyarakat.



"Harapan saya memang tinggi untuk melihat kariah kita dapat terus memainkan peranan dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat Melayu/Islam di Singapura," ujar beliau.




"Sistem kariah Masjid An-Nur dimulakan dengan penubuhan 10 kariah dengan setiap kariah dianggotai penduduk dari sekurang-kurangnya 10 blok flat... Setiap kariah dinamakan berdasarkan angka... dari tahun ke tahun, sistem kariah semakin diterima penduduk dan kini terdapat sebanyak 31 kariah di bawah naungan Masjid An-Nur."
- Encik Sulaiman Sardi, Pengerusi Kariah Pusat Masjid An-Nur.




SEPINTAS ANTARA PERANAN KARIAH



► Diperkenal dan dirintis oleh mantan pengerusi lembaga pentadbir (LPM) masjid itu, yang juga mantan Presiden Mahkamah Syariah, Allahyarham Haji Abu Bakar Hashim pada 1986



►Memanfaatkan sepenuhnya masjid itu sebagai nadi pembangunan masyarakat Islam di kejiranan Marsiling dan Woodlands ketika itu



► Menjadi penghubung antara masyarakat dengan masjid



► Menjadi duta, mata dan telinga masjid untuk menyalurkan maklumat kepada penduduk dan mengetahui keperluan mereka



► Mengatur kegiatan bagi penduduk, biasanya tertumpu pada sambutan hari kebesaran Islam, menganjurkan kumpulan membaca Surah Yasin, kelas agama dan kegiatan lain yang mengerat silaturahim



► Peranan Kariah Pusat adalah memberi bantuan kepada kariah menjayakan kegiatan



► Membantu masjid mencari dana menerusi kegiatan yang dijalankan



► Membekalkan tenaga sukarelawan bagi kegiatan di masjid



► Mencungkil bakat muda menjadi muazin dan imam masjid serta ketua



► Membekalkan pegawai dan pemimpin pelapis masjid




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >