Subuh
5:57
Syuruk
7:14
Zuhur
1:18
Asar
4:29
Maghrib
7:20
Isyak
8:29
Dapatkan laporan terkini berkaitan Covid-19. Ikuti kami di Telegram
Setempat0

Sekilas

Jan 17, 2021 | 05:30 AM

Polis: Penipuan 'phishing' libatkan e-mel, pesanan teks meningkat

POLIS telah melihat peningkatan penipuan 'phishing' (atau pancingan data) yang melibatkan e-mel dan pesanan teks yang berkaitan dengan penghantaran barangan.

Memberi amaran itu dalam satu kenyataan semalam, polis menyatakan mangsa akan menerima e-mel atau pesanan teks yang kononnya dihantar oleh syarikat penghantaran seperti SingPost dan DHL.

E-mel dan pesanan teks pancingan data itu biasanya meminta mangsa supaya memeriksa status penghantaran barangan mereka dengan mengklik pada pautan URL yang disertakan dalam e-mel dan mesej teks itu.

Setelah mengklik pautan URL itu, mangsa diarahkan ke laman web palsu di mana mereka dikehendaki memberi maklumat kad kredit/debit dan Kata Laluan Sekali (OTP).

Berita Popular

Dalam beberapa kes, mangsa diminta memasukkan maklumat Apple ID dan OTP mereka.

Sebilangan besar mangsa hanya menyedari mereka telah ditipu setelah mereka menemui transaksi tanpa izin yang dibuat menggunakan kad kredit/debit atau ke akaun Apple mereka.

Polis menyenaraikan beberapa langkah yang harus diambil orang ramai sebagai langkah pencegahan jenayah, dan ia seperti berikut:

- Jangan klik pada pautan URL yang disediakan dalam e-mel dan mesej teks yang tidak diminta;

- Sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat dengan laman web atau sumber rasmi;

- Jangan sekali-kali mendedahkan maklumat perbankan peribadi dan Internet dan OTP anda kepada sesiapa sahaja; dan

- Laporkan sebarang bayaran kad kredit/debit palsu ke bank anda dan batalkan kad anda dengan segera.

Jika anda mempunyai maklumat berkaitan dengan jenayah itu atau jika anda ragu-ragu, hubungi talian hotline polis di 1800-255-0000, atau kirimkan secara dalam talian di www.police.gov.sg/iwitness.

Hubungi '999' jika anda perlukan bantuan segera polis.

Untuk maklumat lanjut mengenai penipuan, orang ramai boleh mengunjungi www.scamalert.sg atau hubungi hotline antipenipuan di 1800-722-6688.


Menyamar sebagai pegawai polis dan mencuri: Lelaki didakwa di mahkamah

POLIS telah menahan seorang lelaki berusia 34 tahun kerana disyaki terlibat dalam kes menyamar sebagai pegawai polis dan melakukan pencurian.

Pada 7 Januari lalu, kira-kira 10.30 malam, mangsa berada di lorong di Rowell Road apabila seorang lelaki tidak dikenali mengenalkan dirinya sebagai pegawai polis dan meminta mangsa menyerahkan telefon bimbit kepadanya dengan alasan mahu melakukan pemeriksaan.

Dia kemudian meminta mangsa mengambil semula telefon itu pada 11 Januari di balai polis di Tanjong Pagar.

Apabila mangsa akhirnya sedar bahawa lelaki itu bukan pegawai polis, beliau membuat laporan polis pada 13 Januari lalu.

Melalui siasatan, pegawai daripada Divisyen Polis Central mengenal pasti identiti suspek lelaki itu dan menangkapnya kelmarin.

Lelaki itu didakwa di mahkamah semalam kerana menyamar sebagai kakitangan awam yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Polis ingin mengingatkan orang ramai agar berwaspada terhadap mereka yang mungkin menyamar sebagai pegawai polis untuk melakukan tindakan jenayah mereka.

Jika mereka berasa ragu, mereka harus meminta kad waran polis untuk mengesahkan identitinya sebelum mematuhi arahan pegawai itu.

Kad waran asli mempunyai ciri pengenalan seperti logo polis, gambar pegawai, namanya dan nombor kad pengenalan.

Jika mereka masih tidak yakin dengan kewibawaan seseorang itu sebagai pegawai polis, mereka boleh menghubungi 999 untuk mendapatkan bantuan.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map