Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PEMANSUHAN SEKSYEN 377A DAN PINDAAN PERLEMBAGAAN

Seksyen 377A diperkenal di S'pura pada 1938 di bawah jajahan British

Nov 29, 2022 | 05:30 AM



SEKSYEN 377A, iaitu undang-undang zaman penjajahan yang menjadikan seks antara lelaki satu jenayah, telah diperkenalkan di Singapura pada 1938 apabila negara ini merupakan tanah jajahan British.



Undang-undang itu merupakan hampir salinan penuh seksyen 11 (S 11) Akta Pindaan Undang-Undang Jenayah United Kingdom (UKCL) yang diluluskan pada 1885.



Membentangkan latar belakang sejarah seksyen 377A semasa bacaan kedua Rang Undang-Undang untuk memansuhkan Seksyen 377A Kanun Jenayah di Parlimen semalam, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, berkata asal usul S11 UKCL agak kabur.



Namun, pihaknya mendapat tahu bahawa S11 yang diluluskan 137 tahun yang lalu itu merupakan pindaan mengenai homoseksualiti lelaki yang diperkenalkan pada saat akhir oleh seorang Anggota Parlimen (AP), Encik Henry Labouchere, kepada rang undang-undang yang sama sekali tidak berkaitan, iaitu mengenai perlindungan wanita dan kanak-kanak perempuan.



Ia diperkenalkan di Dewan Rakyat UK pada 2.30 pagi dengan beberapa AP yang hadir.



Encik Shanmugam berkata motif Encik Labouchere memperkenalkan S11 ke dalam rang undang-undang mengenai perlindungan wanita dan kanak-kanak perempuan itu tidak jelas, namun terdapat beberapa pandangan.



"Satu aliran pemikiran ialah Encik Labouchere berhasrat ia menjadi "pindaan yang meranapkan" untuk menggagalkan dan mencemarkan keseluruhan Rang Undang-undang mengenai Perlindungan Wanita dan Kanak-kanak Perempuan. Beliau mempunyai reputasi itu.



"Ahli akademik yang mengkaji hal itu telah merujuk kepada teknik penghalang parlimen Encik Labouchere yang lazim - beliau akan membuat pindaan yang merosakkan untuk mencemarkan rang undang-undang yang telah diperkenalkan.



"Satu lagi aliran pemikiran ialah Encik Labouchere sangat homofobia dan oleh itu beliau memperkenalkan pindaan itu," kata Encik Shanmugam.



Encik Labouchere sendiri memberi penjelasan di Parlimen bahawa pindaannya adalah untuk melindungi mana-mana individu daripada serangan "jenis yang ditangani" di bawah S11, sama ada individu itu berusia lebih atau bawah 13 tahun.



Selepas penjelasan ringkas itu, Encik Labouchere kemudian berkata beliau berpendapat cadangan itu tidak perlu dibincangkan dengan panjang lebar, kerana kerajaan sedia menerimanya.



Encik Shanmugam berkata jika diterima pada nilai lahirnya apa yang dikatakan Encik Labouchere di Parlimen pada 1885, maka tujuan S11 adalah untuk menghindari serangan tidak senonoh oleh seorang lelaki terhadap lelaki lain.



Bagaimanapun, undang-undang yang akhirnya diluluskan adalah lebih luas, dengan ia meliputi semua perbuatan seks antara lelaki, termasuk yang dilakukan antara lelaki dewasa yang bersetuju.



"Oleh itu, pindaan yang diperkenalkan agak berbeza daripada penjelasan yang diberi. Memang penjelasannya agak bertentangan. Dan pindaan itu telah dibincangkan di Parlimen kurang daripada empat minit.



"Tidak ada perbincangan tentang fakta bahawa peruntukan itu menjenayahkan kelakuan homoseksual lelaki yang bersetuju walaupun tujuan yang dinyatakan adalah untuk menjenayahkan serangan seksual," kata Encik Shanmugam.



Di samping S11 UKCL itu, UK sebelum ini juga mempunyai tiga kesalahan lain yang kadangkala digunakan untuk mendakwa kelakuan homoseksual.



Yang pertama ialah sodomi, yang kali pertama dijenayahkan di bawah Akta Liwat 1533 semasa pemerintahan Raja Henry VIII.



Encik Shanmugam berkata mengikut sejarah, asal usul kesalahan sodomi telah diperkenalkan sebagai sebahagian daripada perebutan kuasa antara Raja Henry dengan Gereja Katolik, dan bukan kerana sebarang pandangan bahawa sodomi harus dijenayahkan.



Encik Shanmugam menambah beliau menyatakan konteks sejarah secara fakta, dan tidak mencadangkan bahawa liwat sepatutnya atau tidak sepatutnya dijenayahkan.



Kesalahan kedua yang digunakan ialah kesalahan mendapatkan atau mendesak di tempat awam untuk tujuan tidak bermoral, yang kali pertama diperkenalkan dalam Akta Gelandangan 1898.



Ia pada mulanya bertujuan menyasar bapa ayam, yang hidup daripada pendapatan pelacur wanita. Namun, dalam amalan, undang-undang itu digunakan hampir secara eksklusif untuk mendakwa lelaki yang terlibat dalam kelakuan homoseksual di tempat awam, meskipun homoseksualiti lelaki tidak dibincangkan di Parlimen, apabila rang undang-undang diperkenalkan.



Yang ketiga ialah kesalahan serangan tidak senonoh terhadap lelaki, yang diperkenalkan dalam Akta Kesalahan Terhadap Individu 1861. Kesalahan itu menjenayahkan perbuatan homoseksual yang dilakukan terhadap lelaki tanpa kebenaran.



Bagaimanapun, peruntukan dan pertindihannya dengan kesalahan homoseksual sedia ada dan homoseksualiti lelaki tidak dibincangkan sama sekali semasa perbahasan Parlimen.




“Mengenai homoseksualiti, kita harus mengakui bahawa terdapat segelintir dalam masyarakat kita yang berdepan dengan cabaran-cabaran peribadi dan kadangkala mereka diejek, dikutuk dan dipinggirkan atau ketinggalan tanpa sokongan keluarga mereka sejak muda. Dalam menanam nilai-nilai kekeluargaan, kita juga harus memupuk dan menunjukkan nilai-nilai agama kita, seperti rahmah, belas kasihan dan kasih sayang antara satu sama lain, supaya individu-individu ini tidak berasa tersisih dan tersingkir daripada masyarakat kita.”
- Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Punggol).



“Walaupun rang-rang undang-undang ini diundi secara berasingan, ia harus dilihat secara menyeluruh kerana ini bukanlah mainan campur tolak, di mana satu pihak menang dan satu lagi kalah. Dan dalam semangat bagaimana kedua-dua rang undang-undang itu digubal, kami berharap warga Singapura dengan pelbagai pandangan mereka mengenai isu itu, dapat bersatu dalam hasrat kita mencari titik persamaan supaya kita boleh bergerak ke hadapan bersama-sama.”
- Cik Sun Xueling, Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri).



“Pemansuhan (Seksyen 377A) adalah perkara yang betul untuk dilakukan. Ia mencerminkan kehendak kolektif Singapura ke arah kesaksamaan serta nilai dan realiti zaman kita. Kita juga telah, pada masa sama, mendapatkan persetujuan luas bahawa perkahwinan adalah kesatuan antara lelaki dan perempuan. Ia adalah pakatan menarik, dan satu cara Singapura yang unik dalam meluahkan kehendak rakyat kita melalui Dewan ini.
- Encik Murali Pillai (Bukit Batok).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >