Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sektor air manfaat tenaga secara lebih berkesan: Grace Fu

Jun 22, 2021 | 05:30 AM



SEKTOR air di Singapura akan menggunakan tenaga secara lebih berkesan di masa depan, selaras dengan usaha mempertingkat jaminan bekalan air di sini.



Antara lain, ini akan dilakukan dengan menambah penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan menggunakan sumber secara lebih berkesan menerusi sinergi bersama sektor lain, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu.



Cik Fu berkata demikian semalam, semasa berucap di acara Minggu Air Antarabangsa Singapura (SIWW) yang diadakan secara maya.



Mengulas lebih lanjut mengenai strategi pembangunan negara secara berdaya tahan itu, Cik Fu berkata usaha utama dalam mengubah sektor air supaya menggunakan tenaga secara lebih berkesan adalah dengan memberi tumpuan pada sumber air negara yang paling banyak menggunakan tenaga.



Ini adalah NEWater dan air sulingan, yang bersama kolam simpanan air dan bekalan yang diimport membentuk empat sumber air utama genara.



Menurut Cik Fu, pemerintah telah menetapkan sasaran mengurangkan sebanyak separuh tenaga yang digunakan bagi menghasilkan air sulingan, atau menapis keluar garam dari air laut.



Bagi NEWater pula, Singapura sedang mengkaji teknologi baru dalam proses osmosis terbalik untuk meningkatkan kadar pemulihan sambil memastikan penggunaan tenaga dan kos penyelenggaraan stabil, kata Cik Fu.



NEWater ialah air sisa yang telah dirawat dan dikitar semula.



"Kita boleh kitar semula air yang digunakan tanpa henti, dengan menggunakan tenaga yang lebih rendah daripada yang digunakan sebelumnya," ujar beliau.



Selanjutnya, Singapura akan meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, di mana Julai ini, sistem panel suria terapung - yang antara terbesar di dunia - akan dibuka di Kolam Air Tengeh.



Sistem panel suria ini akan menjana kuasa suria yang cukup bagi memenuhi permintaan lima loji rawatan air sini. Ini menjadikan Singapura antara negara pertama di dunia mempunyai sistem penghasilan air yang hijau keseluruhannya, kata Cik Fu.



Menambah, beliau berkata pemerintah akan memasang secara bertahap lebih banyak sistem suria fotovoltan (PV) di kolam simpanan air seperti di Bedok dan Lower Seletar.



Sistem ini menggunakan tenaga suria untuk menjana kuasa bagi stesen pam air mentah di tempat-tempat itu.



Terakhir sekali, Cik Fu berkata Singapura akan menggunakan sumber dengan lebih berkesan menerusi sinergi bersama sektor lain. Beliau memberi contoh Tuas Nexus, loji rawatan sisa dan air bersepadu yang bakal dibuka pada 2025.



Tuas Nexus dijangka boleh menjana sendiri kesemua tenaga yang diperlukannya untuk menjalankan operasi. Ini dilakukan dengan menggunakan kuasa suria, mengubah sisa menjadi tenaga (WTE), dan dengan menghasilkan biogas, iaitu menggabungkan air dan sisa makanan yang digunakan untuk dijadikan tenaga.



Cik Fu berkata: "Ada keperluan lebih genting berbanding pada masa lalu, untuk kita mengambil pendekatan global untuk membangunkan huraian baru bagi masalah air kita. Kita perlu terlibat dalam pertukaran ilmu dan huraian inovatif secara terbuka untuk menangani isu sumber air global dengan cara yang mampan."



SIWW, yang bermula dengan sidang puncak semalam, berlangsung sehingga 2 Julai.



Ia menghimpunkan pemimpin awam dan privet, serta pakar dan pengamal sektor air, antara lain, untuk berbincang tentang cabaran kemampanan air.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >