Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

WAWANCARA BERSAMA PENGURUS BESAR WISMA GEYLANG SERAI, MULYADI AHMAD

'Semangat kerja berpasukan nadi penggerak WGS'

Sep 01, 2019 | 05:30 AM



USAHA melaksanakan idea menjadikan Wisma Geylang Serai (WGS) sebagai nadi masyarakat Melayu tidak mampu dilakukan tanpa semangat kerja berpasukan, kata pengurus besar WGS, Encik Mulyadi Ahmad.



Beliau, yang akan menyerahkan kepimpinan operasi pusat itu tahun depan, berkata semangat itulah yang membantu menjayakan beberapa acara besar-besaran WGS tahun ini.



Ini termasuk majlis pelancaran WGS pada Januari lalu dan bazar Raya di Geylang Serai, yang diperbaharui tahun ini dan menarik sekitar 2 juta pengunjung dalam sebulan pada Mei hingga Jun lalu.



Sedang WGS kini mula bertapak, Encik Mulyadi pula bersiap sedia untuk mengundur diri daripada jawatan tersebut awal tahun depan.



Setelah melalui pahit manis bersama sepanjang tempoh hampir dua tahun, Encik Mulyadi berkata beliau menghargai pasukan yang bekerja keras di balik tabir.



"Kami ada skop tanggungjawab masing-masing tetapi kami juga saling bantu-membantu. Siapa yang lihat apa yang perlu dilakukan, dia akan melakukannya.



"Itulah dinamik pasukan kami. Kami sudah seperti keluarga. Saya dikurniakan sebuah pasukan yang baik," ujar Encik Mulyadi dalam satu wawancara dengan Berita Harian/Berita Minggu baru-baru ini.



Beliau bekerja dalam sektor awam sebelum dilantik menjadi pengurus besar WGS pada Januari 2018 - beberapa bulan sebelum WGS mula beroperasi pada Mei tahun itu.



Pasukannya itu kemudian mempunyai beberapa bulan sahaja untuk memastikan bangunan di bekas tapak Kampung Melayu WGS itu siap bagi pelancaran rasmi pada Januari lepas.



Majlis pelancaran itu dirasmikan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.



Tempoh itu merupakan antara masa paling mencabar bagi pasukan Encik Mulyadi, yang pada awalnya hanya mempunyai tiga anggota lain.



Mereka ialah Penolong Pengarah, Pengaturcaraan Bersepadu dan Hubungan Pelanggan, Encik Yunus Haroon; Ketua Pemasaran dan Perhubungan, Encik Erwin Yuhanis Yunahar; dan Penolong Pengarah Perkhidmatan Korporat, Encik Hu Weijian.



Merenung kembali tempoh dua tahun itu, Encik Mulyadi berkata bazar Raya Geylang Serai pada Ramadan lepas merupakan antara tanggungjawab paling besar yang digalas pasukan itu.



WGS, yang menyelaras acara itu buat kali pertamanya tahun ini, telah mengambil kira maklum balas orang awam daripada bazar yang lepas dan membuat beberapa perubahan.



Antaranya, pihak penganjur mengehadkan sewa gerai kepada $14,000, memastikan semua gerai halal, serta menyediakan kemudahan seperti gerai kontena berhawa dingin dan ruang makan dua tingkat.



Bazar itu telah menarik 2 juta pengunjung termasuk pelancong dari luar negara.



Namun, usaha gigih pasukan WGS selama hampir dua tahun itu tidak tanpa pengorbanan.



Bagi Encik Mulyadi, ini bermakna beliau telah berkorban banyak masa bersama keluarganya.



Apabila beliau mula bekerja dengan WGS, isterinya, Cik Nur Aini Md Yat, telah berhenti kerja setelah berkerjaya lebih 20 tahun, untuk meluangkan lebih masa bersama lima orang anak mereka.



"Pengorbanan paling besar adalah daripada isteri saya yang menyokong saya sepanjang tempoh ini," ujar Encik Mulyadi.



Beliau turut meluahkan penghargaan kepada pelbagai pihak, termasuk pemimpin masyarakat dan pertubuhan Melayu/Islam, yang telah memberi bimbingan dan sokongan mereka kepada WGS.



Encik Mulyadi bersedia memberi laluan bagi pengurus baru untuk meneruskan usaha menjadikan WGS sebagai hab masyarakat Melayu.



"Saya percaya pembaharuan kepimpinan amat penting. Kami harus terus mempunyai idea baru dan konsep baru.



"Itulah yang kami cuba lakukan di WGS selama ini," ujar Encik Mulyadi, yang akan kembali ke sektor awam.




"Kami ada skop tanggungjawab masing-masing tetapi kami juga saling bantu-membantu. Siapa yang lihat apa yang perlu dilakukan, dia akan melakukannya. Itulah dinamik pasukan kami. Kami sudah seperti keluarga. Saya dikurniakan sebuah pasukan yang baik."
- Encik Mulyadi Ahmad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >