SEMBOYAN isyarat 'Mesej Penting' akan dibunyikan melalui rangkaian semboyan Sistem Amaran Awam (PWS) pada hari Rabu (15 Feb).
Latihan satu minit itu akan bermula pada 6.20 petang sebagai menandakan Hari Pertahanan Mutlak, kata Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dalam satu kenyataan akhbar pada Isnin (13 Feb).
Ia menandakan masa British menyerah diri kepada Angkatan Imperial Jepun semasa Perang Dunia Kedua pada tarikh yang sama pada 1942.
"Semboyan PWS berbunyi untuk menekankan pentingnya mengingati detik bersejarah ini. Ia juga menekankan pentingnya persediaan kecemasan dan bagi rakyat Singapura mempertahankan tanah air kita," tambah SCDF.
Orang ramai dinasihatkan supaya jangan cemas jika mereka mendengar semboyan PWS itu.
Telefon pintar dengan aplikasi SGSecure yang dimuat turun (dan tidak dalam mod senyap atau getaran) akan juga membunyikan isyarat itu.
Setelah mendengar isyarat itu, mereka boleh segera mendengar mana-mana stesen radio tempatan bagi mesej ringkas mengenai PWS, atau layari laman web SCDF untuk mengetahui lebih lanjut tentang isyarat PWS.