Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sesi dialog kupas peranan, keprihatinan gaji asatizah di S'pura

Maliki: Asatizah main peranan penting sebagai pemimpin, bantu tangani isu kontemporari dalam masyarakat
Jan 12, 2023 | 05:30 AM



ASATIZAH masa depan memainkan peranan penting sebagai pemimpin masyarakat, malah ibarat kakitangan barisan hadapan atau frontliner yang membantu menangani isu-isu kontemporari yang kian timbul dalam kalangan masyarakat Islam, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman.



Justeru, sokongan perlu diberikan kepada asatizah supaya mereka dapat terus memberi panduan kepada masyarakat Islam yang tinggal dalam negara sekular seperti Singapura.



Memberi rumusan bagi dialog Berita Harian (BH) bersama seramai tujuh asatizah di bangunan Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) semalam, Dr Maliki berkata bahawa peranan asatizah boleh dilihat dalam cara mereka menangani persoalan agama berkaitan sekatan Covid-19, serta pemansuhan seksyen 377A baru-baru ini.



Dr Maliki memberi contoh bahawa Covid-19 telah mengubah cara masyarakat mengamalkan agama, tetapi asatizah memberi kepastian kepada anggota masyarakat bahawa apa dilakukan itu tidak bercanggah dari segi agama.



"Mereka beri kepercayaan bahawa kita boleh terus hidup dalam negara sekular seperti Singapura sebagai umat Islam dan perjalanan kita akan terus menyemarakkan, membangunkan dan juga memajukan masyarakat kita," katanya.



Antara cabaran utama yang disuarakan asatizah, kata Dr Maliki, adalah cara berdakwah menerusi platform baru seperti media sosial.



Beliau akur ia bukan sesuatu yang mudah tetapi ruang ini dinamik dan mereka memerlukan sokongan, katanya.



Menyentuh tentang media sosial juga, Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, yang turut hadir bagi sesi dialog tersebut berkata beliau berharap asatizah terus menggunakan wadah media sosial untuk menarik minat anak muda meskipun ia mendatangkan cabaran tersendiri.



Ini kerana asatizah merupakan sumber rujukan, kata Dr Wan Rizal.



Selain itu, beliau berkongsi bahawa keprihatinan lain yang timbul adalah mengenai gaji asatizah.



"Ini adalah satu di mana kita sedang melihat dan memahami bagaimana kita boleh meningkatkan lagi gaji mereka tetapi pada masa yang sama, meningkatkan lagi kemahiran mereka, bagaimana mereka dapat mengajar atau meluahkan informasi kepada para jemaah yang mereka ada. Saya harap dalam satu dua tahun ini, kita dapat memberi saranan yang baik untuk bagaimana kita boleh meningkatkan lagi gaji dan kemahiran mereka," ujarnya.



Antara asatizah yang menghadiri sesi dialog semalam ialah Ustazah Shameem Sultanah Abdul Gaffoor, pengasas IlmHub, dan penceramah motivasi Islamik.



Beliau berkata bahawa penting menjaga kesihatan mental golongan asatizah, dan berharap asatizah terus bersemangat membimbing masyarakat.



"Sebagai asatizah, kita jangan mundurlah kalau ada orang beri komen negatif. Sebagai asatizah kita harus kuat, kita harus bersama. Niat kita adalah untuk membantu masyarakat. Peranan kita bukan untuk memberitahu ini halal, ini haram. Tugas kita adalah untuk membantu masyarakat membuat pilihan yang terbaik," katanya.



Asatizah lain yang hadir ialah Ustaz Mohammed Taufiq Mohamed Ismail, Pengurus Masjid di Masjid Alkaff Kampung Melayu; Ustaz Muhammad Imran Othman, Ketua Pejabat Imam di Masjid Al-Ansar; Ustaz Achmed Fahdy Mohd Kamsari, Ketua Jabatan Akademik Persatuan Guru-Guru Al-Quran (Pergeraq); Ustaz Muhammad Faris Ilyasa Baharin, Pegawai Pembangunan Belia di Masjid Darul Aman; Ustazah Rooslina Md Noor, Pegawai Eksekutif, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dan Ustazah Azeemah Mustafa, Ketua, Jabatan Pendidikan, Masjid Yusof Ishak.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >