Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sewa gerai bazar Raya naik 10-50%

Jun 09, 2017 | 05:30 AM



KADAR sewa gerai bazar Raya di Geylang Serai meningkat antara 10 dengan 50 peratus tahun ini berbanding tahun lalu ekoran kos perniagaan dan harga bidaan lebih tinggi.



Gerai makanan di kawasan popular seperti Haig Road adalah antara yang mengalami kenaikan sewa tertinggi, sekurang-kurangnya 30 peratus, menurut tinjauan Berita Harian.



Harga sewa gerai di Geylang Road, Pasar Geylang Serai dan Joo Chiat Complex itu adalah daripada $3,000 bagi gerai pakaian sehingga $20,000 untuk gerai makanan - bergantung kepada lokasi gerai.



Syarikat yang memenangi tender bazar di tiga lokasi itu ialah Ability Trade Fair, dengan bidaan tertinggi $1.788 juta.



Bagi bazar di tapak Kampung Melayu lama, kadar sewa bermula daripada $3,000 hingga $5,000 untuk gerai pakaian, manakala gerai makanan antara $12,000 dengan $18,000.



Tender bazar bagi lokasi itu dimenangi syarikat Venture Trade Fair, dengan bidaan tertinggi $1.55 juta. Ini tahun kedua Venture Trade memenangi tender itu.



Menurut kededua syarikat, 90 hingga 95 peratus gerai yang ditawarkan sudah diambil.



Semasa dihubungi, jurucakap Venture Trade Fair menjelaskan sewa gerai di bahagian tertentu di Kampung Melayu lama telah dinaikkan kerana faktor kos.



Contohnya, gerai di barisan depan dinaikkan sekitar 10 peratus secara purata.



"Kami terpaksa naikkan sewa kerana harga bidaan dan kos lebih tinggi seperti kos keselamatan.



"Misalnya tahun ini, kami dikehendaki memasang kamera CCTV untuk gerai makanan bagi tujuan kebersihan. Kami telah memasang 10 CCTV dan ini sahaja menelan kos hingga $30,000," ujar beliau.



Awal dari ini, Anggota Parlimen (AP) GRC Marine Parade, Profesor Madya Dr Fatimah Lateef, yang merupakan penasihat kepada jawatankuasa penganjur Bazar Geylang Serai 2017, telah menjelaskan bahawa harga sewa ditentukan pasaran.



Ketika ditemui di gerainya, Encik Azhar Sulaiman, pemilik Dendeng Duo yang berjualan sejak lima tahun lalu di Haig Road, berkata sewa gerainya yang bersaiz sama seperti tahun lalu kini $16,000 berbanding $12,000 tahun lalu.



"Apabila kami mengadu, penganjur kata mereka terpaksa naikkan sewa sebab nilai bidaannya tertinggi, jadi perlu dikongsi sama dengan peniaga. Tetapi mereka juga patut fikirkan tentang peniaga terutama dengan ekonomi hari ini.



"Saya khuatir jika sewa terus melonjak ditambah wang pendahuluan tinggi, peniaga kecil-kecilan tidak berpeluang menyertai bazar Raya seperti ini," ujar Encik Azhar yang menyewa dua gerai lain di Engku Aman dan Tanjong Katong Complex.



Encik Muhd Ridzuan Senin, yang mengendalikan perniagaan keluarganya, Munah Ramly Burger, membayar lebih $90,000 untuk empat gerainya tahun ini - berbanding $50,000 hingga $60,000 tahun lalu.



"Sewa tahun ini hampir 50 peratus lebih tinggi. Kami juga terkejut bayaran untuk singki dan tempat elektrik pun naik, misalnya satu singki naik $100 lebih kepada $500 dan tempat elektrik pula naik seganda kepada $500.



"Sudah lebih tujuh tahun kami berniaga di sini, tetapi tahun ini sewa paling tinggi kami rasa," keluh beliau.



Bagi peniaga seperti Encik Muhammad Hasif Othman - yang membayar sewa $10,000 berbanding $8,000 tahun lalu - mereka tidak ada pilihan kerana walaupun sewa lebih mahal, permintaan tetap tinggi.



"Kalau kami tidak ambil, nanti orang lain akan ambil. Tidak ada apa yang boleh dilakukan dan tidak ada badan penguasa yang mengawal hal-hal ini. Satu-satunya huraian ialah apabila permintaan lemah.



"Tetapi sejak beberapa tahun ini, semakin banyak perniagaan bukan Melayu yang berniaga di bazar Geylang kerana melihat potensinya," tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >