Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Siswa perubatan NTU ingin bantu golongan kurang bernasib baik

Sep 07, 2021 | 05:30 AM



MENDENGAR kisah dari rakan-rakan luar negaranya tentang pengalaman hidup dalam negara dilanda perang dan dalam masyarakat kurang bernasib baik mengukuhkan tekad Encik Muhammad Haziq Rohani mahu menjadi seorang doktor pada satu hari kelak.



Ini termasuk cerita dikongsi rakan yang tinggal di kem pelarian di Perancis dan pengalaman rakan dari Amerika Tengah yang berhijrah ke Amerika Syarikat dalam usaha mengejar kehidupan lebih baik.



Harapan beliau adalah untuk membantu masyarakat sedemikian di seluruh dunia pada satu hari nanti supaya dapat meringankan beban yang dialami dan membuat kelainan dalam hidup mereka.



Pernah juga beliau terfikir mahu menjadi seorang guru, saintis dan jururawat sebelum ini, tetapi Encik Haziq berpendapat bahawa menceburi bidang perubatan merupakan cara terbaik untuk menabur bakti kepada masyarakat.



"Semua perkara dalam suasana biologi membuat saya rasa terpegun. Namun, apa yang mengukuhkan kemahuan saya untuk menjadi seorang doktor adalah kerana saya mahu membantu masyarakat kurang bernasib baik di seluruh dunia," kata beliau.



"Sebagai seorang individu biasa, saya tidak akan dapat melakukan banyak perkara melainkan saya seorang ahli politik berkuasa yang dapat mengubah undang-undang.



"Oleh itu, saya rasa cara terbaik di mana saya boleh menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan orang ramai adalah dengan menjadi seorang karyawan perubatan," tambahnya.



Encik Haziq, 19 tahun, adalah antara 168 penuntut jurusan perubatan di Sekolah Perubatan Lee Kong Chian Universiti Teknologi Nanyang (NTU) yang secara rasmi menyertai golongan perubatan dalam satu Majlis Kot Putih bagi Kelas 2026 yang diadakan baru-baru ini.



Encik Haziq, yang kini dalam tahun pertama pengajiannya, berkata beliau memilih melanjutkan pengajian dalam jurusan perubatan di NTU kerana tertarik dengan pendekatan Pembelajaran Berdasarkan Kumpulan (TBL) Sekolah Perubatan Lee Kong Chian.



Di bawah pendekatan pedagogi itu, penuntut dibahagikan ke dalam kumpulan dan disuruh membaca tentang topik pembelajaran sebelum menghadiri kelas. Di kelas, pensyarah akan memberikan soalan kepada setiap kumpulan dan mereka dikehendaki berbincang dan memikirkan jawapannya. Jawapan mereka kemudian akan dikongsi dengan seluruh kelas.



"Saya suka dengan suasana duduk dalam bilik dengan ratusan orang lain, tetapi secara peribadi, saya meraih lebih banyak manfaat apabila saya dapat meneroka apa yang saya sedang belajar sendiri.



"Saya suka tanya soalan dan bahas, dan oleh itu, saya rasa pendekatan TBL ini sesuai dengan gaya pembelajaran saya," kata alumni Raffles Institution itu.



Ditanya apakah pengkhususan yang akan beliau ceburi pada masa depan, Encik Haziq berkata beliau mungkin akan memasuki bidang perubatan kecemasan kerana ia bersesuaian dengan cita-citanya mahu membantu masyarakat kurang bernasib baik di negara dilanda perang.



Encik Haziq berharap beliau dapat mendorong lebih ramai anak Melayu menyertai bidang perubatan, dan juga bertemu dengan penuntut bidang perubatan lain di seluruh dunia.



"Saya berharap dapat mengadakan perbincangan dengan penuntut bidang perubatan di dunia untuk belajar bagaimana mereka menggunakan kemahiran dan memahami cara berbeza dalam mendekati masalah perubatan yang boleh saya gunakan dalam kerjaya saya kelak," kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >