Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

 PERSIDANGAN MASA DEPAN ASIA 

SM Teo: Pelan kepimpinan penting pastikan kesinambungan, kestabilan negara

Oct 04, 2023 | 05:25 PM



Mempunyai rancangan peralihan kepimpinan yang baik adalah penting bagi Singapura untuk memastikan kesinambungan dan kestabilan dasar negara, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelarasan Keselamatan Negara, Encik Teo Chee Hean. 

Ini adalah antara panduan ditetapkan mantan Perdana Menteri Pengasas Singapura, mendiang Lee Kuan Yew, yang terbukti berkesan untuk negara ini dan pendekatan serupa diteruskan oleh pemerintah sekarang. 

Dalam menghadapi dunia baru sekarang, Encik Teo berkata strategi dan huraian Singapura mungkin berubah namun prinsip di sebaliknya tetap dipegang seperti dasar terbuka, menghormati integriti daerah serta kedaulatan semua negara dan mengambil tindakan kolektif mengenai isu global. 

Beliau berkata demikian semasa Sidang Puncak Masa Depan Asia, yang dianjurkan oleh SPH Media di The Ritz-Carlton, Millenia Singapore, pada Rabu.

Menjelaskan lebih lanjut, Encik Teo berpendapat tugas mencari generasi pemimpin baru telah dilaksanakan dengan baik oleh pemerintah sekarang.

Lantaran itu, beliau yakin kepimpinan 4G yang akan menerajui Singapura dalam fasa seterusnya akan menjalankan tugas mereka dengan baik. 

Encik Teo berkata demikian apabila diminta pandangannya dalam sesi dialog, tentang apa yang mungkin dilakukan oleh Encik Lee sekiranya menghadapi cabaran global sekarang.  

Mengimbas kembali, Encik Teo berkongsi bahawa perdana menteri pengasas itu merupakan seorang yang sangat bijak dalam menguruskan peralihan dan generasi pemimpin baru. 

“Beliau (Encik Lee) akan berkongsi pandangannya tetapi beliau akan menekankan bahawa anda sebagai pemimpin baru, perlu buat keputusan... dan ini adalah pendekatan yang tepat,” jelasnya. 

“Jadi bagi persoalan tentang bagaimana memastikan kesinambungan dan kestabilan dalam dasar negara, jawapannya ialah bukan mencari penawar yang boleh menyelesaikan semua masalah... tetapi mempunyai pelan peralihan kepimpinan yang baik dan ini terbukti bagi mana-mana pertubuhan mahupun negara. 

“Dan inilah panduan yang ditetapkan oleh Encik Lee untuk kita – mencari individu yang berbakat dengan motivasi yang tepat, beri mereka peluang dan kepercayaan untuk bertindak,” ujar Encik Teo. 

Tambahnya, generasi pemimpin 4G mempunyai lebih banyak pengalaman mengendalikan organisasi apabila memegang peranan menteri berbanding dengannya dan rakan generasi 3G lain. 


Dalam mengharungi cabaran dunia baru sekarang, Encik Teo berkata dunia sekarang dalam fasa baru, dengan keadaannya tampak seperti kembali kepada masa lampau tetapi dalam konteks berbeza. 

“Persaingan antara negara semakin memuncak dengan nasionalisme dan dasar perlindungan menjejas perdagangan bebas, perdagangan, pelaburan, rantai bekalan dan akses teknologi semakin didorong oleh pertimbangan geopolitik dan bukan ekonomi,” ujar beliau sambil menyebut tentang perang di Eropah dan tahap kepercayaan strategik antara Amerika Syarikat dan China di paras terendah. 

Negara kecil, seperti Singapura, terperangkap di tengah-tengah dan berasa tertekan untuk berpihak.

Justeru, apakah panduan Singapura dalam dunia baru ini dan bagaimana ia boleh memandang ke depan secara kolektif serta menjamin kedudukan di persada dunia?

“Sekali lagi strategi dan huraian kita mungkin berubah tetapi prinsip di sebaliknya tetap kekal. 

“Kita tidak mampu bersikap tertutup. Sepanjang kitaran sejarah, kita tahu bahawa keterbukaan dan kerjasama akan mewujudkan kemakmuran untuk dunia. 

“Pada masa sama, keterbukaan juga tidak seharusnya tidak mempunyai batasan. Pendekatan yang pragmatik perlu dalam memiliki sistem peraturan dalam dan luar negara untuk memastikan pengagihan manfaat yang saksama di samping mekanisme yang adil bagi menghurai pertikaian yang muncul,” jelas Encik Teo. 

Satu lagi prinsip yang ditegakkan negara ini ialah menghormati integriti daerah dan kedaulatan semua negara, seperti yang ditekankan Singapura mengenai pencerobohan Russia ke atas Ukraine semasa perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Kita mesti menegaskan prinsip ini, jika tidak, kita akan berada dalam dunia yang mempertahankan bahawa hanya yang berkuasa sahaja benar…” tambahnya.

Dalam pada itu, Encik Teo berkata bahawa terdapat banyak isu global yang memerlukan tindakan kolektif seperti perubahan iklim dan jenayah siber. 

“Terdapat peluang untuk mempengaruhi dan membentuk keputusan. Dan ini boleh dilakukan dengan melahirkan pandangan kita, menawarkan laluan inovatif dan bekerjasama dengan rakan yang berfikiran sama menerusi wadah seperti Forum Negara Kecil (Foss) dan Kumpulan 77,” ujar beliau. 

Menurut Encik Teo lagi, Singapura hari ini lebih perkasa dari segi modal insan, sumber bahan dan rangkaian antarabangsa untuk memainkan peranan dalam menggalak dunia agar terbuka dan inklusif untuk manfaat bersama rantau dan dunia secara keseluruhan. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >