AKHBAR terbitan SPH Media Trust (SMT) perlu membuktikan kewibawaannya kepada pembaca dengan sentiasa bersikap objektif supaya ia dapat terus kekal sebagai media yang diyakini.
"Buktikan menerusi apa yang kita terbitkan. Jika setiap hari pembaca melihat kita melaporkan sesuatu secara tidak lengkap, atau hanya melaporkan berita dari satu sudut sahaja, kita akan tewas dalam perjuangan ini," ujar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sementara SMT, Encik Patrick Daniel.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemungkinan persepsi pembaca bahawa, dengan peralihan daripada syarikat swasta kepada syarikat berhad dengan jaminan (CLG) yang boleh menerima pendanaan pemerintah, penerbitanpenerbitan di bawah SMT tidak akan bersikap objektif, atau lebih buruk lagi menjadi media yang dikawal pemerintah.
Pemerintah sebelum ini telah mengatakan ia bersedia menyediakan sokongan pendanaan, sama seperti yang diberikan kepada MediaCorp.
Encik Daniel menjelaskan, meskipun dengan pendapatan menerusi perniagaan media yang merosot, syarikat SPH sebelum ini mencatatkan pendapatan sekitar $404 juta dalam tahun kewangan lalu.
Jumlah ini lebih daripada mencukupi untuk menampung gaji kakitangan media, katanya.
SMT menerbitkan akhbar Berita Harian di samping lain-lain penerbitan antaranya The Straits Times, Lianhe Zaobao dan Tamil Murasu.
"Kita mampu meraih sendiri pendapatan untuk menampung gaji kakitangan kita. Pendanaan daripada luar SMT ialah untuk lain-lain tujuan seperti program tertentu meningkatkan keupayaan digital dan latihan, contohnya," tegas beliau.
Meskipun demikian, Encik Daniel berkata media setempat akan sentiasa mempunyai pengkritiknya. Lantas, matlamat SMT ialah untuk mendapat keyakinan dan penerimaan secara luas.
"Jadi, kita hanya perlu melakukan kerja kita sebaik mungkin, dan buktikan kepada pembaca. Saya yakin, kita dapat meyakinkan dan mendapat sokongan sebahagian besar pembaca kita.
"Malah pengkritik kita pun terus membaca kita, mereka masih bergantung kepada kita sebagai sumber berita. "Itu adalah satu pencapaian," kata beliau lagi.
"Kita mampu meraih sendiri pendapatan untuk menampung gaji kakitangan kita. Pendanaan daripada luar SMT ialah untuk lain-lain tujuan seperti program tertentu meningkatkan keupayaan digital dan latihan, contohnya.
Saya yakin, kita dapat meyakinkan dan mendapat sokongan sebahagian besar pembaca kita. Malah pengkritik kita pun terus membaca kita, mereka masih bergantung kepada kita sebagai sumber berita. Itu adalah satu pencapaian."
- Encik Patrick Daniel, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sementara SMT.