Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

GEOPOLITIK & EKONOMI

S'pura harus kekal bersatu padu, sedia hadapi cabaran geopolitik

PM Lee tambah sekitaran luaran 'amat bermasalah' akibat hubungan AS-China, perang Russia-Ukraine
Aug 22, 2022 | 05:30 AM



SINGAPURA mesti kekal bersatu padu sebagai satu rakyat dan bersedia dari segi psikologi bahawa keamanan yang dinikmati sejak sekian lama di rantau ini boleh berubah dengan sekitaran geopolitik luaran yang semakin penuh dengan cabaran, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.



Memberi contoh hubungan antara Amerika Syarikat dengan China yang semakin teruk dan serangan Russia terhadap Ukraine, Encik Lee berkata Singapura juga mesti berdiri teguh pada prinsip asas undang-undang antarabangsa.



Selain itu, rakyat mesti memandang serius terhadap Perkhidmatan Negara (NS), dan memastikan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Home Team kekal kukuh dan berwibawa.



Encik Lee berkata sekitaran luaran telah menjadi "amat bermasalah" sedang negara ini bangkit daripada pandemik Covid-19.



Hubungan antara Amerika dengan China semakin teruk, dengan dua kuasa besar itu berpecah belah dalam banyak isu, seperti dalam saingan ideologi dan sistem pemerintah, pengaruh China yang semakin berkembang di dunia, pertikaian perdagangan, dan baru-baru ini, ketegangan mengenai Taiwan.



Namun, Amerika dan China perlu bekerjasama dalam pelbagai isu sejagat yang mendesak, termasuk perubahan iklim, pandemik dan percambahan nuklear.



"Hubungan tegang mereka menjadikan ini hampir mustahil. Ini adalah berita buruk bagi dunia," kata Encik Lee.



Meskipun Presiden Amerika, Encik Joe Biden, dan Presiden China, Encik Xi Jinping, baru-baru ini telah mengadakan panggilan video dan bersetuju untuk bertemu, kedua-dua pihak itu tidak menjangkakan hubungan mereka bertambah baik dalam masa terdekat.



"Tambahan pula, kita semua mesti berharap bahawa tidak ada salah perhitungan atau masalah, yang akan menjadikan perkara lebih buruk dengan cepat," tambah Encik Lee.



Selain itu, serangan Russia ke atas Ukraine juga mempunyai implikasi mendalam kepada dunia, dan untuk Singapura.



Encik Lee berkata serangan itu melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan prinsip asas kedaulatan dan kewibawaan wilayah, yang amat penting kepada Singapura.



Beliau menambah bahawa keselamatan, dan malah, kewujudan Singapura, bergantung pada negara-negara yang menegakkan prinsip tersebut.



"Kita tidak boleh mengesahkan tindakan salah Russia. Russia mendakwa apa yang dipanggil sebagai "operasi ketenteraan khas" di Ukraine adalah wajar disebabkan "kesilapan sejarah dan keputusan gila".



"Jika kita menerima logik ini, apakah yang berlaku jika suatu hari nanti orang lain menggunakan hujah yang sama terhadap kita?" kata beliau.



Beliau menambah bahawa perang di Ukraine itu juga telah mewujudkan permusuhan antara Russia dengan negara lain, terutamanya Amerika dan negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), selain menjejas keselamatan di Asia Pasifik.



Untuk menangani bahaya luaran ini, Encik Lee berkata Singapura perlu bekerjasama dengan negara lain untuk menegakkan perintah berasaskan peraturan.



"Contohnya, dengan bersuara di PBB. Berlindung dan berdiam diri akan merugikan kita dalam jangka masa panjang," kata beliau.



"Seterusnya, kita mesti memandang serius terhadap NS, dan memastikan SAF dan Home Team kekal kukuh dan berwibawa. Jika kita tidak mempertahankan diri sendiri, tiada siapa yang akan mempertahankan kita," tambah Encik Lee.



Namun, yang terpenting adalah negara ini mesti kekal sebagai rakyat yang bersatu padu, kata beliau.



"Jangan biarkan diri kita berpecah - sama ada mengikut bangsa, agama, pendapatan, perbezaan sosial, atau tempat kelahiran," kata Encik Lee.



Encik Lee juga berkata rakyat harus berwaspada terhadap pelaku asing yang cuba mengeksploitasi kelemahan negara ini dan mempengaruhi rakyat bagi kepentingan mereka sendiri.



"Jika kita dipengaruhi dan berpecah, kita tidak akan mempunyai peluang. Tetapi bersatu padu, kita boleh menangani sebarang masalah yang datang," kata beliau.




PENTING BAGI RAKYAT SINGAPURA UNTUK TERUS BERSATU PADU



“Paling penting, kita mesti kekal sebagai satu rakyat yang bersatu padu. Jangan biarkan diri kita berpecah – sama ada mengikut bangsa, agama, pendapatan, perbezaan sosial, atau tempat kelahiran. Sentiasa berwaspada terhadap pelaku asing yang cuba mengesploitasi kelemahan kita dan mempengaruhi rakyat kita bagi kepentingan mereka sendiri.”




TIGA CARA TANGANI CABARAN LUARAN



- Singapura mesti berdiri teguh pada prinsip asas undang-undang antarabangsa, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong. Negara ini perlu bekerjasama dengan negara lain untk menegakkan perintah berasaskan peraturan, misalnya dengan bersuara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).



- Rakyat juga mesti memandang serius terhadap Perkhidmatan Negara (NS), dan memastikan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Home Team kekal kukuh dan berwibawa.



- Paling penting, Singapura mesti kekal bersatu padu sebagai satu rakyat, kata Encik Lee. Negara ini tidak boleh membiarkan dirinya berpecah belah, sama ada mengikut bangsa, agama, pendapatan, perbezaan sosial, atau tempat kelahiran. Encik Lee menambah bahawa rakyat harus berwaspada terhadap pelaku asing yang cuba mengeksploitasi kelemahan negara dan mempengaruhi rakyat bagi kepentingan mereka sendiri.



– Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >