Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

S’pura harus sambut orang luar yang ingin tinggal di sini, sumbang kepada negara: Kok Song

Aug 26, 2023 | 03:32 PM



Singapura harus mengalu-alukan individu dari luar negara yang ingin tinggal di sini serta menjadi rakyat Singapura dan menyumbang kepada kebajikan negara sama ada menerusi jawatan politik atau sebagai warga biasa, kata calon Pilihan Raya Presiden, Encik Ng Kok Song.

Mantan ketua pegawai pelaburan GIC berusia 75 tahun itu berkata demikian pada Sabtu sebagai respons terhadap komen pesaingnya, Encik Tan Kin Lian, yang menyatakan pada Jumaat bahawa rakyat Singapura lebih suka jika kededua Presiden Dipilih dan pasangannya dilahirkan di negara ini.

Komen Encik Tan itu dilihat sebagai ditujukan kepada Encik Ng dan mantan Menteri Kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam.

Tunang Encik Ng, Cik Sybil Lau, dilahirkan di Canada namun menjadi rakyat Singapura 18 tahun lalu.

Sementara itu, isteri Encik Tharman, Cik Jane Yumiko Ittogi – yang bapanya dari Jepun dan ibunya dari Singapura – pula berpindah ke Singapura ketika beliau berusia tiga tahun.

Ditemui media semasa kunjungannya ke Pasar dan Pusat Makanan Chong Pang pada Sabtu pagi, Encik Ng berkata Presiden Dipilih dan pasangannya tidak semestinya lahir di Singapura untuk berbakti kepada negara ini dengan baik.

“Jika anda lihat beberapa pemimpin politik kita, individu seperti Dr Goh Keng Swee (mantan Timbalan Perdana Menteri) dan Encik Hon Sui Sen (mantan Menteri Kewangan), adakah mereka lahir di Singapura? Tidak,” kata beliau, yang diiringi Cik Lau semasa kunjungannya itu.

Kededua Dr Goh dan Encik Hon – antara pemimpin pengasas Singapura – dilahirkan di Malaysia.

Encik Ng berkata Singapura amat beruntung kerana negara ini mempunyai rakyat Singapura dan juga orang dari luar negara yang kagum dengan Singapura dan mahu menjadi rakyat Singapura.

“Jika anda lihat sejarah pemimpin kita di Singapura, kita harus mengalu-alukan orang dari negara lain yang ingin datang dan tinggal di Singapura serta mendapatkan kerakyatan dan menyumbang kepada kebajikan Singapura sama ada dalam jawatan politik, jawatan Presiden atau sebagai rakyat,” kata beliau.

Dalam pada itu, Encik Ng berkata beliau berharap dapat memulakan inisiatif amal sekiranya dipilih sebagai Presiden, mengikuti jejak langkah mantan Presiden, mendiang Encik S R Nathan, yang memulakan Cabaran Presiden pada 2000 untuk mengumpulkan derma bagi golongan yang memerlukan.

“Saya dan Sybil mahu menggunakan Pejabat Presiden untuk melakukan sesuatu yang serupa, dan berharap kita boleh melakukan lebih banyak lagi,” kata beliau.

Dalam pada itu, calon “tidak berpihak” itu turut menekankan pentingnya bagi seorang Presiden untuk tidak berat sebelah dan bebas daripada ikatan mana-mana parti politik supaya dapat bertindak demi kepentingan semua rakyat Singapura.

“Dalam erti kata lain, rakyat Singapura sepatutnya mahukan seorang Presiden yang tidak menjalankan agenda politik mana-mana parti politik, dan atas sebab yang sama, saya telah memutuskan untuk tidak menerima sebarang derma politik bagi kempen Pilihan Raya Presiden saya,” ujar Encik Ng.

Encik Ng dijangka mengunjungi Pasar dan Pusat Makanan Ang Mo Kio Central pada Sabtu malam.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >