Subuh
5:35
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:30
Maghrib
7:10
Isyak
8:25
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ANALISIS BERITA

S'pura punya upaya sesuai diri, ubah strategi tangani cabaran

Meski tidak semua keputusan tepat dan buahkan hasil, ia kekal berdaya bingkas
May 16, 2022 | 05:30 AM



SINGAPURA telah menunjukkan keupayaannya untuk menyesuaikan diri dan mengubah strategi mengikut keadaan sepanjang dua tahun ditimpa pandemik Covid-19, meskipun tidak semua keputusan yang dibuat bertepatan dan membuahkan hasil yang diinginkan.



Lantaran itu, untuk bergerak ke depan, negara ini harus terus membuat penyesuaian dan belajar daripada perangkaan terkini dan pengalamannya agar dapat menangani pandemik lain pada masa depan.



Bagi mencapai ini juga, kepercayaan warga terhadap pemerintah - yang dianggap kunci dalam cara pemerintah menangani pandemik - harus gigih dikekal dan dikukuhkan.



Di Parlimen baru-baru ini, Menteri Kewangan yang juga pengerusi bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF), Encik Lawrence Wong berkata semakan terhadap respons Singapura semasa fasa pertama pandemik Covid-19 sehingga Ogos tahun lalu, sedang dijalankan.



Dapatan semakan itu yang bermatlamat untuk belajar daripada pengalaman Covid-19 bagi mempersiapkan diri menghadapi pandemik seterusnya, akan dikongsi dengan rakyat.



Meneliti perjalanan Covid-19 Singapura sejauh ini, Zamil Kanan, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat berkata secara keseluruhannya, negara ini telah memberikan respons yang baik dan serupa dengan banyak negara lain.



"Saya sifatkan respons kita sebagai proaktif tetapi berhati-hati, kerana Covid-19 adalah virus yang belum pernah dilihat sebelum ini.



"Kita juga tidak tahu kesannya sejauh mana," ujar beliau.



"Saya rasa pemerintah agak tegas pada awalnya, kerana pada waktu itu masih banyak kajian tentang kesan Covid-19 dan cara ia berjangkit masih perlukan lebih banyak maklumat.



"Pada waktu itu, vaksin belum ditemukan, dan ramai masih ragu. Setelah kesan penyakit lebih jelas, baru pemerintah melonggarkan kawalan sedikit demi sedikit," terang Dr Norshahril.



Memberi pandangannya, Profesor Madya Eugene Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata:



"Sementara respons awal boleh lebih baik dari segi menutup sempadan dan mengenal pasti kelemahan di tempat seperti dormitori pekerja migran, saya fikir respons keseluruhan adalah pantas dan mantap.



"Secara keseluruhan, sistem yang ada cepat mempelajari, menyesuaikan diri dan menggembeleng sumber bagi apa sahaja respons yang diperlukan," kata beliau.



Dalam hal ini, pengamat berpendapat Singapura telah mengambil keputusan dan tindakan yang tepat dalam beberapa perkara penting.



Antaranya ialah pemerolehan vaksin secara awal dalam krisis, penggunaan teknologi dan maklumat yang telus dan dikongsi dengan rakyat.



Timbalan pengarah bagi kajian dan felo pengkaji kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Gillian Koh berpendapat satu perkara paling penting yang pemerintah lakukan dengan tepat ialah menjamin pembelian vaksin pada tempoh sangat awal dalam krisis.



"Strategi menyekat jangkitan adalah munasabah pada masa itu kerana pemerintah tahu taktik sekatan pengurusan selamat yang kukuh merupakan langkah interim kerana vaksin sudah tersedia dan terbukti berkesan untuk diberikan kepada rakyat Singapura.



"Ini bermakna banyak sumber diperuntukkan untuk beberapa pilihan vaksin pada masa yang belum jelas mana satu paling berkesan dengan kesan sampingan paling sedikit serta pengesanan penghantaran dan hasilnya, dijalankan dengan ketat," katanya.



Dr Koh turut menarik perhatian satu lagi tindakan penting diambil pemerintah ialah meningkatkan proses pengujian supaya ia cepat, mudah, dimampui, dipercayai serta dilakukan seberapa dekat dengan tempat tinggal penduduk.



Pandangan serupa turut diberikan oleh Dr Tan.



"Pengenalan vaksinasi wajar dipuji dan menjadikan pelitup, pensanitasi tangan dan kit ujian mudah diakses orang ramai, telah mengukuhkan keupayaan kita dalam menangani penularan pandemik," ujarnya.



Tambah beliau lagi, keputusan pemerintah melaksanakan tempoh pemutus litar jangkitan pada April 2020 dan Fasa Dua Kewaspadaan Dipertingkat (2HA) pada 2021 adalah tindakan dan keputusan yang diperlukan.



Encik Wong pernah mengatakan sebelum ini bahawa antara keputusan paling sukar untuk diambil pasukannya adalah pelaksanaan Fasa 2HA, yang menjejas mata pencarian ramai warga tetapi pemerintah juga mempunyai tanggungjawab melindungi nyawa lantas perlu mencari keseimbangan.



Tindakan itu, kata Encik Wong, dipercayai telah membantu memastikan kadar kematian akibat Covid-19 di Singapura adalah antara terendah di dunia di samping membolehkan pekerjaan dan pendapatan pulih cepat kepada kadar sebelum Covid-19.



Pengamat juga bersetuju penggunaan teknologi digunakan pemerintah dengan baik untuk melaksanakan langkah pengurusan selamat.



"SafeEntry merupakan langkah mesra pengguna yang boleh digunakan pada skala besar dan diperkenalkan dengan agak cepat.



"Selain itu, perkongsian data terbuka dan maklumat seperti corak jangkitan amat membantu dalam mewujudkan kepercayaan orang awam terhadap pihak berkuasa serta pematuhan langkah Covid-19," tambah Dr Koh.



Walau demikian, pengamat berkata ada aspek pengurusan pandemik ini, yang boleh diperbaiki.



Dalam satu ucapannya baru-baru ini, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong akur bahawa pemerintah tidak membuat keputusan tepat setiap masa sepanjang dua tahun ini dan penting untuk terus belajar daripada pengalaman ini.



Dr Koh menggariskan dasar pemakaian pelitup muka.



"Nasihat pertama diterima kita semua ialah hanya mereka yang benarbenar sakit sahaja perlu memakai pelitup.



"Selepas kajian oleh Kementerian Kesihatan, semakin jelas bahawa mereka yang tidak mengalami gejala juga boleh menjangkiti Covid-19, sekali gus bermakna kita semua harus memakai pelitup."



Isu keadaan dan prasarana dormitori pekerja migran yang membolehkan jangkitan menular cepat juga mendapat perhatian tetapi pemerintah telah memberi respons yang pantas dengan mereka dormitori yang selamat sejak itu, tambah Dr Koh.



Bagaimanakah kita dapat belajar daripada pengalaman sejak dua tahun lalu ini sebagai persiapan berdepan dengan pandemik masa depan?



Dr Tan berkata antara pengajaran makro ialah menangani isu ketidaksaman seperti jurang digital dan menguji bekalan keperluan seperti makanan agar kita dapat berdaya tahan.



"Komunikasi lebih baik diperlukan bagi mengurangkan salah atau kurang maklumat dalam masa kebimbangan dan ketidaktentuan... contohnya isu data TraceTogether adalah satu pengajaran penting bahawa pendedahan sepenuhnya dan pembetulan yang bertepatan adalah penting.



"Kita beruntung yang keyakinan dan kepercayaan terhadap pemerintah dalam keadaan baik dan orang ramai umumnya memberi kerjasama. Inilah yang memberi kesan kepada bagaimana kita menangani pandemik."



Tambah Dr Norshahril pula: "Pengajaran penting adalah untuk kita sentiasa berwaspada dan bersedia. Mungkin kita perlu sentiasa ada bekalan pelitup dan pensanitasi tangan di rumah.



"Kita juga perlu ingat bahawa aspek keselamatan perlu mengambil kira juga tahap kesihatan."



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >