Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

RENCANA

Staf sarjan SCDF wira operasi menyelamat diiktiraf

Nov 13, 2023 | 05:30 AM



Meskipun jantung berdebar-debar, Staf Sarjan Encik Muhammad Tamimi Mohamad Mamsi dengan lancar dan cepat menuruni tali hingga ke tingkat ke-10 dan berjaya menyelamatkan seorang wanita yang mahu terjun.


Dalam situasi genting di flat di Bukit Batok pada 17 Jun, beliau bersama Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (Dart) segera bertindak, menyiapkan peralatan tali dan jaring penyelamat di dua tingkat di atas wanita berusia 74 tahun.

Satu video yang merakam operasi tersebut telah menjadi tular dan mendapat pujian netizen luar negara.

Keberanian Encik Tamimi turut dihargai dengan Anugerah Perkhidmatan Bintang Terbilang Kementerian Ehwal Dalam Negeri baru-baru ini.

Anak muda berusia 32 tahun dan masih bujang itu, menjadi pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) sepenuhnya pada 2015 dan menjadi anggota Dart dua tahun lalu.

Prinsip Encik Tamimi, “menyelamatkan orang dan berbakti kepada masyarakat” kekal teguh sejak dirinya menjadi anggota kerahan pada 2013.

“Bagi saya membantu orang lain yang memerlukan, memberikan saya tujuan dan kepuasan dalam hidup.

“Menjadi pakar Dart memberi saya pelbagai pengalaman dan cabaran baru, mendorong saya untuk terus meningkatkan diri dan berkembang sebagai seorang individu,” ujarnya.

Encik Tamimi juga berkongsi tentang pengalaman menyelamatkan seorang budak lelaki berusia 12 tahun yang terperangkap di bawah runtuhan setelah gempa bumi melanda Turkey pada Februari 2022.

Beliau ialah sebahagian kontinjen Operasi LionHeart, dikerahkan ke Turkey selama 10 hari untuk menyediakan bantuan mencari dan menyelamat, bersama pasukan penyelamat tempatan dan Sepanyol.

Encik Tamimi ialah orang pertama menemui budak lelaki yang telah terperangkap selama lebih 48 jam sejak gempa bumi mula-mula berlaku pada 6 Februari.

Setelah mengesahkan lokasi budak itu dengan menggunakan anjing penyelamat, pasukan penyelamat memecahkan dan membuat lubang pada runtuhan itu.

Encik Tamimi memasuki lubang itu dahulu dan merangkak lebih kurang 30 meter, memotong tilam yang ditemui di atas tanah dan melihat bahagian belakang budak itu.

Masih terpahat dalam fikirannya, beliau berkongsi:

“Apabila saya rasakan nadi budak lelaki itu lemah, saya berasa sangat gembira dan gelisah pada masa yang sama. Namun, seperti biasa, saya tiada masa untuk rasa ragu-ragu atau panik dan akhirnya berjaya mengeluarkan budak lelaki itu.”

“Yang tidak dapat dilupakan juga ialah keramahan dan kebaikan luar biasa penduduk tempatan di kawasan itu.

“Walaupun menghadapi kesusahan, mereka sering membekalkan kami air panas, malah mereka berusaha membuat tempat pendiangan (tempat unggun api) sementara, membolehkan kami berehat dan menghangatkan badan selepas seharian kerja (waktu) panjang dan meletihkan,” katanya sambil tersenyum.

Ditanya bagaimana beliau dapat mengharungi pengalaman operasi menyelamat yang mencabar, beliau berkata Unit Sains Tingkah Laku Kecemasan dan Penjagaan, yang menyokong Operasi Lionheart, memainkan peranan penting dalam membantu pasukan mengekalkan semangat dan kesejahteraan mental dalam misi mereka.

Tindakan beliau semasa operasi menyelamat itu juga datang “mengikut naluri”, seperti yang dipelajarinya dalam latihan SCDF yang membolehkannya menjangka pelbagai senario dan bersedia dengan pelan tindakan mental, bertindak cepat dan tegas dalam kecemasan.

Encik Tamimi turut menekankan peranan penting keluarganya dalam perjalanan hidupnya:

“Keluarga saya sentiasa berada di sisi saya untuk memberi sokongan emosi, memberikan nasihat dan mendengarkan setiap kali saya memerlukan mereka.

“Perkara paling penting bagi saya dalam sebuah keluarga ialah mempunyai talian komunikasi dan sokongan terbuka. Ketika berada di Turkey, saya sentiasa akan menelefon mereka supaya tidak membimbangkan mereka “ kata Encik Tamimi.

Baginya, keluarganya menjadi tunjang utama dalam melaksanakan tugas mencabar itu.

Namun, beliau juga sedar kadangkala sukar untuk mengimbangkan masa antara tugas dengan keluarganya, apatah lagi kerana beliau sedang mengambil ijazah sambilan dalam bidang kejuruteraan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) kerana minat melanjutkan pelajaran.


“Saya amat menghargai keluarga yang sentiasa menerima dan memahami apabila saya harus lebih menumpukan masa pada pelajaran dan kerja daripada keluarga,” ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >