Subuh
5:40
Syuruk
7:04
Zuhur
1:11
Asar
4:36
Maghrib
7:16
Isyak
8:30

Suzhou dan sejarah Islam di China

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Dunia
28
0

LINGKARAN ASIA

Suzhou dan sejarah Islam di China

Kota makmur yang didiami 12 juta penduduk ini kaya dengan kesan sejarah ketika Islam berkembang di bawah pemerintahan pelbagai maharaja
Apr 05, 2021 | 05:30 AM

DI SEBALIK lorong dan kaki lima kota lama Suzhou, tersimpan satu rahsia: serpihan sejarah Islam yang panjang di China.

Laporan media antarabangsa yang menonjolkan layanan kurang adil ke atas masyakat Muslim di Wilayah Autonomi Xinjiang Uighur seakan mengaburi fakta bahawa Islam pernah dipandang tinggi oleh maharaja China.

Daripada catatan bertulis dan dekri yang terukir pada monumen istana, jelas bahawa masyarakat Islam di China menikmati layanan istimewa golongan maharaja - terutama dalam Dinasti Tang (618-907 selepas Masehi), Dinasti Yuan (1271- 1368), Dinasti Ming (1368 -1644) dan Dinasti Qing (1644-1912).

Islam dipandang tinggi oleh golongan bangsawan kerana etikanya, yang - pada pandangan mereka - mempromosikan hidup harmoni, aman dan tenteram antara masyarakat pelbagai bangsa.

Sebelum pemberontakan Panthay dan Tungan pada separuh kedua kurun ke-19 di barat China, ketika berjuta-juta umat Islam dibunuh atau dipindahkan, Islam dianggap sebagai satu ancaman oleh mubaligh Kristian di negara itu - terutama oleh sarjana Russia.

Islam pada ketika itu dianggap oleh ramai di Barat sebagai berpotensi menjadi agama rasmi di China - yang akan menjadikan China negara Islam terbesar di dunia.

MASJID-MASJID DI SUZHOU

Hari ini, Suzhou adalah sebuah bandar yang makmur dengan 12 juta penduduk dan terletak hanya 20 minit dari kota besar Shanghai dengan menaiki kereta api berkelajuan tinggi.

Namun, kesan-kesan sejarah Islamnya masih boleh didapati di barat luar tembok kota itu.

Ada sebuah sahaja masjid yang aktif di siti iaitu Taipingfang, yang terletak di daerah komersial dan hiburan di utara Shilu.

Taipingfang dibaik pulih pada 2018 dan menjadi tempat umat Islam setempat dan pengunjung mendirikan solat.

Ia terletak di kejiranan yang sibuk, sempit dan dikelilingi restoran dan hotel kecil, kantin, gerai makanan dan kedai menjual daging bagi masyarakat Muslim Uighur dan Hui.

Penjual daging di Taipingfang - seperti di Niujie, Beijing, kawasan yang didiami majoriti masyarakat Muslim - terkenal dengan daging terbaik.

Sebelum 1949, Suzhou mempunyai sekurang-kurangnya 10 masjid dengan pelbagai ukuran dan kepentingan sosial. Kebanyakkannya merupakan bangunan besar dengan perabot berharga dan hiasan canggih tetapi ada juga setakat ruang solat lebih kecil, antaranya sebuah masjid khusus bagi wanita.

Masjid wanita itu, Baolinqian, adalah salah daripada sekumpulan empat masjid yang dibina pada zaman Dinasti Qing. Ia dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Yang, yang kaya raya, yang tinggal di barat laut kota.

Dibangunkan pada 1923, masjid itu didirikan oleh tiga wanita daripada keluarga Yang yang mendermakan bangunan itu dan mengumpulkan dana daripada keluarga Muslim lain untuk mengubahnya menjadi sebuah masjid bagi wanita.

Namun, semasa Revolusi Kebudayaan (1966 hingga 1976), perpustakaan masjid itu, yang mengandungi kitab-kitab suci, dirosakkan dan bangunan tersebut diubah menjadi rumah persendirian. Hari ini, tidak ada kesan yang tinggal untuk menunjukkan ia sebuah masjid.

Sebuah lagi masjid yang dibangunkan keluarga Yang, Tiejunong, dibina dalam tempoh tiga tahun semasa pemerintahan Maharaja Guangxu Dinasti Qing dari 1879 hingga 1881. Ia dikatakan masjid terbesar di Suzhou seluas lebih 3,000 meter persegi dan menampilkan tujuh halaman. Dewan solat utamanya untuk solat Jumaat mempunyai 10 bilik dan boleh memuatkan lebih 300 orang. Masjid itu turut mempunyai sebuah menara dan astaka yang menempatkan sebuah monumen bangsawan.

Tiejunong kini dijadikan sekolah menengah tetapi masih dapat dikenali daripada seni bina luaran dan pintu sisi kayunya. Di sebalik pintu masuknya yang besar, masih kelihatan halaman utama yang dikelilingi oleh pokok. Kawasan berwuduk berjubin biru jelas menunjukkan kewujudan sebuah masjid.

Sebuah lagi masjid, Tiankuqian, dibina pada 1906 dan kini menjadi tempat tinggal penduduk miskin - kemungkinan besar ekoran dasar semasa Revolusi Kebudayaan untuk menempatkan keluarga miskin di bangunan besar milik bangsawan atau yang berciri keagamaan. Masjid ini asalnya seluas hampir 2,000 meter persegi, dengan dewan solat utama, ruang tamu dan bilik wuduk. Struktur dewan solat utamanya mirip dewan kuliah yang besar, yang mengandungi - menurut catatan sejarah setempat - sebuah plak kayu ginkgo dihiasi tulisan kaligrafi pelukis terkenal Yu Yue.

Masjid ini juga dikatakan paling makmur di seluruh China kerana ramai pengusaha batu jed Muslim yang berniaga di situ membuat sumbangan untuk memakmurkannya. Dan, pada tahun 1920-an, sebuah sekolah yang mengajar teks Islam dan Confucius dibuka di sini.

HAB INTELEKTUAL HIBRID

Kebanyakan masjid di Suzhou juga dikatakan mempunyai talian dengan sekolah-sekolah yang mengajar bahasa Arab kepada anak-anak masyarakat Islam.

Malah, Suzhou menjadi salah satu pusat kebudayaan pertama yang menerbitkan kitab suci Islam yang diterjemah dalam bahasa setempat. Terjemahan daripada bahasa Parsi ke bahasa Cina dibuat oleh sarjana Suzhou abad ke-16 seperti Zhang Zhong dan Zhou Shiqi, menjadikan kota ini pusat awal budaya intelektual Islam - yang disesuaikan dalam konteks masyarakat China, kata penulis Jonathan Lipman dalam bukunya Familiar Strangers: A History Of Muslims In Northwest China.

Masjid paling tua di Suzhou dikenali sebagai Xiguan, sempena nama jambatan Xiguan bersebelahannya di pusat bandar lama. Ia dibangun pada abad ke-13 dalam Dinasti Yuan dan difahamkan dibiayai keluarga Sayyid yang terkenal, dan gabenor provinsi Yunnan yang berpengaruh, Sayyid Ajall Shams al-Din Omar al-Bukhari (1211-1279).

Masjid ini kemudian diubah menjadi bangunan pemerintah dalam Dinasti Ming, jadi hanya catatan setempat yang membuktikan kewujudannya. Ini menunjukkan bahawa - dan diakui sejarah - bahawa Dinasti Yuan memberi layanan istimewa kepada umat Muslim dari Asia Tengah dalam pentadbiran dan perkhidmatan pemerintahannya. Kumpulan penduduk yang besar ini kemudian, pada tahun 1950-an, diklasifikasikan sebagai minoriti Hui dan membentuk sekitar separuh umat Islam China yang ada sekarang.

REVOLUSI KEBUDAYAAN

Namun, segalanya berubah semasa Revolusi Kebudayaan. Fahaman itu secara efektif mengharamkan amalan agama Islam di China kerana pengamalan agama dalam apa jua bentuk dianggap sebagai alat menindas dan menafikan keperluan masyarakat.

Akibatnya, hanya sedikit diketahui mengenai masjid dan bangunan berkaitan Islam ini di Suzhou hari ini.

Apa yang tinggal sekarang - sebuah pintu, batu, struktur bangunan atau hanya alamat yang tertulis dalam arkib - menjadi gambaran simbolik kehidupan silam.

Pakar bahasa dan budaya China asal Amerika Syarikat Frederick Mote, yang juga profesor sejarah di Universiti Princeton, berhujah bahawa sejarah silam Suzhou termaktub dalam kata-kata, bukan batu, dan serpihan sejarah masyarakat Islam Suzhou dapat dicantumkan semula menerusi catatan sejarah.

Alessandra Cappelletti profesor madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa, Universiti Xi'an Jiaotong Liverpool. Rencana ini pernah diterbitkan dalam The Conversation di bawah tajuk 'City of lost mosques: how Suzhou tells the story of China's Islamic past'.

Revolusi Kebudayaan secara efektif mengharamkan amalan agama Islam di China kerana pengamalan agama dalam apa jua bentuk dianggap sebagai alat menindas dan menafikan keperluan masyarakat.

Akibatnya, hanya sedikit diketahui mengenai masjid dan bangunan berkaitan Islam ini di Suzhou hari ini.

Apa yang tinggal sekarang - sebuah pintu, batu, struktur bangunan atau hanya alamat yang tertulis dalam arkib - menjadi gambaran simbolik kehidupan silam.


Revolusi Kebudayaan secara efektif mengharamkan amalan agama Islam di China kerana pengamalan agama dalam apa jua bentuk dianggap sebagai alat menindas dan menafikan keperluan masyarakat. Akibatnya, hanya sedikit diketahui mengenai masjid dan bangunan berkaitan Islam ini di Suzhou hari ini. Apa yang tinggal sekarang – sebuah pintu, batu, struktur bangunan atau hanya alamat yang tertulis dalam arkib – menjadi gambaran simbolik kehidupan silam. 
 

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3