AH Long San, pemiutang wang tanpa lesen atau tailong terkenal Singapura yang telah mewujudkan rangkaian anggota polis untuk membantu sindiketnya, meninggal dunia kelmarin.
Menurut laporan The Straits Times, Encik Chua Tiong Tiong, 62 tahun, telah diserang penyakit jantung semasa dalam kereta seorang diri.
Kereta tersebut diletakkan di tepi jalan di Geylang, di mana ‘perniagaannya’ sebagai tailong beroperasi pada 1990
Beliau dibawa ke Hospital Tan Tock Seng dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 9 pagi.
Apabila dihubungi, polis berkata bahawa seorang lelaki, yang ditemui tidak bergerak di simpang Lorong 31 Geylang dan Sims Avenue, disahkan meninggal dunia di hospital.
Kes tersebut dikategorikan sebagai kematian luar biasa dan sedang dalam siasatan.
Pemerikasaan oleh Penguasa Perakaunan dan Korporat menunjukkan bahawa Encik Chua merupakan pemilik tempat karaoke sejak 2012.
Lebih terkenal dengan nama samarannya, yang bermaksud “Encik Tailong”, Ah Long San menjalankan sindiket berjuta dolar yang tersebar luas dan melibatkan adiknya sendiri, Chua Tiong Chye dan sekitar 40 kakitangan dan lebih 1,000 peminjam.
Sindiket tersebut meraih keuntungan sekitar $500,000 sebulan dan dipercayai sebagai salah satu operasi terbesar pada masa itu.
Ah Long San berjaya mengelak daripada ditangkap disebabkan hubungannya dengan rangkaian anggota polis pada masa itu.
Beliau bergantung kepada anggota-anggota polis tersebut untuk mendapatkan maklumat tentang serbuan dan sebagainya.