Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Takut gagal lagi suntik semangat gigih belajar

Feb 23, 2021 | 05:30 AM



KEPUTUSAN GCE A: 3 GRED A BAGI KESEMUA TIGA SUBJEK H2 TERMASUK PENGURUSAN PERNIAGAAN, SEJARAH DAN BAHASA MELAYU DAN KESUSASTERAAN



SEDANG teman-temannya berpindah ke tahun kedua, pelajar Institut Millenia, Cik S Nurathirah S Jumat terpaksa gigit jari dan mengulangi tahun pertama kerana gagal dalam peperiksaannya.



Meski rasa terkilan, Nurathirah tidak menjadikannya hambatan untuk maju ke hadapan sepanjang lima tahun beliau di institut tersebut.



Malah semasa tempoh pemutus litar tahun lalu, pelajar 20 tahun ini juga perlu membuat pelbagai penyesuaian semasa belajar di rumah.



Namun berkat kegigihan dan kesungguhan ingin meraih kejayaan dan mengukir senyuman kepada wajah ibu bapa yang sudah bertahun bertungkus-lumus demi keluarga, Cik Nurathirah mampu bangkit dan mencatat keputusan cemerlang.



Cik Nurathirah muncul sebagai pelajar terbaik kohortnya dengan 3 gred A bagi kesemua tiga subjek H2 termasuk Pengurusan Perniagaan, Sejarah dan Bahasa Melayu dan Kesusasteraan.



Menyingkap kembali proses pembelajaran di rumah di tengah-tengah pandemik Covid-19, Cik Nurathirah berkata ia memang suatu pengalaman yang cukup mencabar.



Seramai tujuh anggota keluarga perlu berhimpit di rumah kecil tiga biliknya.



Selain beliau tiga beradik dan ibu bapanya, neneknya, yang kini perlu menjalani dialisis beserta pembantunya turut tinggal di rumah itu, dan tidur di ruang tamu.



Apabila sesetengah pembelajaran sekolah memerlukanya melakukan panggilan video, Cik Nurathirah mengaku agak sukar kerana ramai yang akan lalu-lalang atau bunyi perbualan anggota keluarga lain akan kedengaran.



''Agak sukar juga untuk saya berikan perhatian, dengan orang lalu-lalang, kondisi rumah serta orang berbual di rumah. Saya ada kongsi masalah saya dengan guru dan meminta maaf tidak dapat menghadiri sesetengah kelas guru.



''Jadi saya akan hanya mengulangkaji pelajaran selalunya bermula 1 pagi apabila keadaan lebih tenang dan tidak begitu bising.



''Saya akan duduk di dapur belajar sehingga 4 pagi. Kalau ahli keluarga tidur siang, saya mulakan pelajaran seawal 11 malam,'' kongsinya.



Apa yang terus membakar semangat bekas pelajar Sekolah Menengah Springfield ini ialah rasa takut pada kegagalan.



Ternyata pengalaman gagal di tahun pertama memberikan kesan yang begitu mendalam kepadanya sehingga tidak mahu perkara yang sama berulang.



Meskipun demikian, dalam kesungguhan untuk melakukan yang terbaik, pernah sekali beliau menangis di hadapan gurunya sebelum peperiksaan prelim.



''Ketika itu saya teringat, saya rasa betul-betul tertekan. Macam banyak sangat yang perlu diulangkaji dan saya takut saya tidak boleh melakukan yang terbaik.



''Satu hari tu, saya terduduk kerana betul-betul tidak faham sesuatu yang diajar guru saya.



''Entah macam mana, saya rasa guru saya dapat lihat rasa tertekan pada mata saya meskipun saya gunakan pelitup.



''Sebaik beliau bertanyakan khabar, saya terus menangis tak henti,'' ujarnya.



Guru yang dimaksudkan ialah Cikgu Marnee Suhiat yang mengajarnya Bahasa Melayu.



Guru itu jugalah, yang menurut Cik Nurathirah, banyak memberikan kata-kata perangsang dan dorongan supaya tidak putus asa.



Dengan keputusan baik yang diraihnya, Cik Nurathirah berkata beliau berminat untuk menyambung pelajarannya di menara gading tempatan sama ada dalam pengurusan sains sukan atau fisioterapi.



''Jangan sesekali putus asa atau menjadikan sekitaran sekeliling anda membentuk diri anda.



''Anda yang bertanggungjawab atas masa depan anda sendiri.



''Cari teman yang baik yang sama-sama mahu maju ke hadapan. InsyaAllah dengan berkat usaha dan doa, kejayaan menanti anda,'' katanya lagi.




JANGAN SESEKALI BERPUTUS ASA



"Jangan sesekali putus asa atau menjadikan sekitaran sekeliling anda membentuk diri anda. Anda yang bertanggungjawab atas masa depan anda sendiri.

Cari teman yang baik yang sama-sama mahu maju ke hadapan. InsyaAllah dengan berkat usaha dan doa, kejayaan menanti anda."

- Cik S Nurathirah S Jumat




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >