SEBAHAGIAN Tampines Avenue 12 akan dijajarkan semula mulai 22 Disember untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada penduduk di empat projek Bina Ikut Tempahan (BTO) di kawasan Tampines North.
Pada hari itu juga, sebahagian Tampines Avenue 12 akan ditutup selama-lamanya kepada trafik, kata Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Bahagian yang dijajarkan semula itu akan dihubungkan dengan Tampines North Drive 2.
Perubahan ini berlaku kerana empat projek BTO - Tampines GreenCourt, Tampines GreenVines, Tampines GreenFoliage dan Tampines GreenDew - hampir siap.
Antara perubahan yang akan berlaku bermula 22 Disember ialah:
- Sebahagian Tampines Avenue 12 akan dijajarkan semula untuk dihubungkan ke Tampines Avenue 7 dan Tampines Avenue 9. Simpang T sedia ada akan diubah kepada simpangan silang.
- Lintasan pejalan kaki berisyarat baru akan dipasang di simpang trafik yang akan dibina pada masa depan di Tampines Avenue 12 dan Tampines North Drive 2.
- Bahagian Tampines Avenue 12 yang ada menuju ke Tampines Avenue 9 akan ditutup selama-lamanya. Simpang trafik Tampines Avenue 12 dan Tampines Avenue 9 akan dialih dan diganti dengan lintasan pejalan kaki berisyarat.
Pegawai polis tambahan akan ditempatkan di lokasi itu untuk membantu pemandu.
Pemandu dinasihatkan agar memandu dengan berhati-hati dan mematuhi petunjuk isyarat lalu lintas.